Blogger news

Memaparkan catatan dengan label Resipi Orang Bujang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Resipi Orang Bujang. Papar semua catatan

Jumaat, 23 Januari 2015

Resipi Orang Bujang: Oreo Cheese Cake



Assalammualaikum, semua. Lama PL tak update pasal Resipi Orang Bujang ni. Almaklumla sejak dah berpindah duk kampung ni, nak masak pun ikut selera mak abah. Tak nak bereksperimen sangat. Tapi baru-baru ni, kakak PL tiba-tiba mengidam nak makan kek oreo cheese yang dulu pernah PL buat, katanya. PL pulak kebetulan semenjak dah duk  kampung ni memang rindu sangat-sangat nak makan kek macam duk kat Putrajaya dulu. So, berkat permintaan kakak ni PL akan kongsikan pada kalian bagaimana nak buat kek Oreo Cheese yang mudah, tak perlu nak bakar pun. Cuma, kena sejuk bekukan & paling best, korang akan dapat tekstur tak ubah macam kek aiskrim cheese. Sangat sesuai untuk dimakan kala nak masuk musim panas/kemarau ni.

Bahan-Bahan:


Oreo (2 bungkus. Kalau kat kedai bahan-bahan kek, ada jual ready-made crumble oreo. Lagi senang.)
Cream Cheese (satu paket yang macam dalam gambar ni 250g)
Yogurt (perisa Plain. satu cup kecil dah cukup)
Whipping Cream (kotak kecil: 200g)
Butter (Pakai 1/3 jek. Tak perlu banyak.)
Gula Aising (100g. Kalau takde, boleh blend/kisar gula kasar sampaila jadi halus. Jadila gula aising. hehe)
Esen Vanilla 
Gelatin (ambil 2 sudu & larutkan dalam air panas.)

Cara-cara:


1. Buka 2 paket oreo. Asingkan krim dari biskutnya. Jangan dibuang krimnya. Sementara itu, cairkan butter dengan api perlahan. Pastikan tidak hangus.


2. Bahagikan biskut oreo yang diasingkan krim tadi kepada 2 bahagian. Satu bahagian dikisar menjadi serbuk halus yang akan dicampurkan dalam krim keju, manakala lagi satu bahagian pula dihancurkan menjadi serbuk kasar untuk dijadikan tapak/base.


3. Serbuk kasar yang dihancurkan tadi digaulkan dengan butter yang dicarikan. Adunkan sebati. Setelah itu, masukkan adunan biskut tadi kedalam acuan/bekas kek dan mampatkan untuk dijadikan lapisan tapak kek. Namun, jangan terlalu mampat untuk mengelakkan tapak menjadi terlalu keras apabila dibekukan. Setelah selesai, masukkan acuan kedalam peti sejuk untuk mengeraskan tapak kek sebelum krim keju akan dilapiskan diatas.


5. Untuk menyediakan topping/lapisan keju diatas, pukul krim keju dengan kelajuan serdahana sehingga kembang. Kemudian, masukkan pula Whipping Cream dan Krim Biskut yang diasingkan tadi. Pukul dengan kelajuan serdahana sehingga sebati.


6. Masukkan pula Yogurt dan Gula Aising. Pukul sebentar. Masukkan pula gelatin yang dilarutkan ke dalam acuan krim. Pukul sehingga sebati. Selepas itu, masukkan serbuk halus oreo yang dikisar & pukul adunan sehingga sebati adunan.


7. Keluarkan bekas adunan yang disejukkan dalam peti sejuk tadi. Tuangkan adunan krim keju tadi ke atas tapak kek dan ratakan. Setelah itu, masukkan acuan kek yang berisi adunan krim keju dan tapak kek tadi ke dalam bahagian sejuk beku. Bekukan selama semalaman atau sampai tekstur krim kejunya sudah menjadi keras seperti aiskrim.


Macam mana? Seronok tak? Senang bukan nak buat kek oreo cheese ni? Tak perlu nak bakar masuk oven bagai, even bagi PL pun budak-budak pun boleh belajar buat kek ni sendiri. Tapi, ok course la mak bapak kena pantau anak-anak ni. Apapun, selamat mencuba yek!! Kalau ada sapa-sapa dah try buat, jangan lupa boleh postkan kat PL untuk rasa ke? hahahaha. Anyway, happy cooking!

Ahad, 13 Julai 2014

Resipi Orang Bujang: Garlic Chicken Grill with Mushroom




Assalammualaikum, semua. Semenjak menyertai fitness ni, PL belajar dan mula menyukai makanan-makanan berpanggang(grill) dan kukus(steam) untuk menjaga tahap lemak dan calori-intake seharian. Jadi untuk Resepi Orang Bujang kali ini, PL akan menunjukkan satu resipi panggang yang amat mudah dan lazat serta rendah kalori. Resipi Garlic Chicken ni sebenarnya PL belajar melalui buku masakan, tapi diolah cara masakan dan penggunaan bahan untuk mengurangkan kadar kalori dan melazatkan rasa dan aroma resipi ini dengan menambahkan elemen aroma cendawan dan herba. So, jadilah resipi Garlic Chicken Grill and Mushroom!!

Bahan-Bahan:


Ayam (terpulang pada bahagian kegemaran kalian. Kali ini, PL menggunakan whole leg)

Bawang Putih (satu labu, cincang. Jumlah bawang putih bergantung pada saiz ayam)
Cendawan Kering (bilangan terpulang pada kalian)
Daun Parsley/Daun Sup (boleh guna yang dalam botol. Kalau dapat yang segar, lagi bagus)
Marjerin (Kalau boleh, dapatkan mentega yang rendah kolesterol dan lemak tepu. Dalam resipi ini, PL menggunakan marjerin Planta kerana rendah kandungan lemak tepu dan  0% kolesterol. Selain itu, baunya agak wangi dan senang didapati di kedai.)

Air (untuk merebus cendawan)

Untuk resipi ini, PL mengesyorkan kalian menggunakan Pemanggang Ajaib (tak kisahlah mana-mana jenama pun) kerana sifatnya tidak melekat dan penutup yang rapat memudahkan ayam dipanggang sempurna(isi dalamnya masak dan lapisan luar tidak hangus).

Cara-cara:


1. Jerang air didalam periuk dan masukkan cendawan kering. Sementara itu, cincang selabu bawang putih dan ketepikan. Apabila cendawan sudah menjadi kembang, tos dan sejukkan. Jangan dibuang air rebusan cendawan kerana akan digunakan ketika memasak ayam.


2. Leburkan marjerin (sukatannya bergantung pada saiz ayam. Ketika ini, PL menggunakan 3 sudu besar marjerin). Kemudian, masukkan pula bawang putih yang sudah dicincang. Sautekan sehingga naik bau bawang putih. Sementara menunggu tumisan naik bau, bolehlah menghiris sebentar cendawan dan buang batangnya. Apabila naik bau, masukkan cendawan yang baru dihiris tadi kedalam bahan tumisan dan kacau. Elakkan bawang putih menjadi hangus. Apabila tumisan menjadi kering, masukkan air rebusan cendawan tadi. Kacau sehingga mengelegak.


3. Setelah mengelegak, masukkan ayam bersama daun parsley yang dihiris kecil. Rebus ayam sehingga suku masak (jangan sampai masak sepenuhnya). Selepas itu, tutup api dan sejukkan sebelum dipindahkan ke dalam bekas penyimpanan/perapan. Selepas ayam dipindahkan ke dalam bekas penyimpanan/perapan, perap ayam  bersama air rebusan dan cendawan selama 1-2 jam.


5. Setelah ayam siap diperap, bolehlah ayam dan cendawan dipanggang. Sentiasa perhatikan ayam agar tidak terlalu masak dan hangus (peruntukkan satu bahagian dipanggang selama 5-6 minit). Ketika memanggang, curahkan sedikit air rebusan ke atas ayam untuk mengelakkan lapisan luar terlalu garing.

6. Isi ayam yang dipanggang sempurna apabila isinya  bertukar putih sepenuhnya, tetapi lembut ketika memotong. Setelah ayam diyakini masak, hidangkan bersama hirisan cendawan yang di panggang bersama. Siap!!!


Begitulah resipi Garlic Chicken and Mushroom. Ayam yang dipanggang beraroma herba bawang putih dan daun parsley, serta cendawan yang enak mampu membuka selera. Siapa sangka hidangan ini rendah lemak tepu. Tanpa garam pulak tu. Sekian resepi sihat ini Selamat mencuba!!


Rabu, 21 Mei 2014

Anak Malaysia pertama memenangi Masterchef UK!!!

Assalammualaikum semua. Khasnya pada peminat seni kulinari dan dunia masakan Malaysia, adalah satu pencapaian yang membanggakan dan mengharumkan nama Malaysia apabila seorang surirumah yang berasal dari Ipoh, Perak kini menjadi Juara Masterchef UK. 

Menurut Puan Catherine Chin Wan Ping Combes merupakan seorang anak Malaysia kaum cina, beliau berasal dari "bandar kulinari" (Ipoh). Membesar dibawah citarasa dan inspirasi ibunya, beliau mempelajari bahawa masakan adalah salah satu cara untuk meluahkan kasih sayang. Beliau mula mempelajari ilmu masakan secara serius ketika menyambung pelajaran ke universiti. Kini, beliau telah berkahwin dan bersama keluarganya menetap di Bath, England. Biarpun bermaustautin di England, kenangan dan masakan Malaysia tidak dilupakan & baginya, tujuan memasuki Masterchef UK adalah untuk memperkenalkan seni kulinari Malaysia pada orang ramai, khasnya di United Kingdom. Antara masakan yang dipersembahkan di MasterChef Uk pusingan akhir adalah Sup Wantan dan Sari  Straw Mushroom (pembuka/appetizer), Nasi Lemak bersama Sambal Udang dan Ikan Bilis, Ayam Goreng Oat dan Telur Puyuh (hidangan utama/main course) dan Kelapa Panachotta dan Sari Nenas dan Mangga.


Ucapan setinggi tahniah pada Puan Catherine Chin Wan Ping Coombes. Semoga terus berjaya memperkenalkan masakan kebanggaan Malaysia.

PL: ni yang bersemangat nak masuk Masterchef tahun depan ni...

Sabtu, 5 Oktober 2013

Resipi Orang Bujang: Nasi Aromatik Cendawan



Assalammualaikum, semua. Untuk resipi bulan oktober ni, PL nak tunjukkan one of signature dish PL sendiri. hehehe. Hidangan nasi ni mempunyai aroma cendawan yang wangi, dan rasa pun lazat jugak. PL sendiri mengemari hidangan ni sebab ia lain dari yang lain, tidak terikat pada cliche hidangan nasi seperti nasi minyak,jagung, beriani, dll. Hidangan ini juga sesuai dimakan juga lauk pauk seperti Ayam Masak Merah, Dalca, Kari Ayam, Kuzi Kambing atau lauk-lauk sewaktu dengannya. So, untuk hidangan Resipi Orang Bujang Bulan Oktober ini adalah Nasi Aromatik Cendawan!!


Bahan-Bahan:

Beras (dua cawan, tapi terpulanglah pada kalian nak buat berapa banyak)

Bawang Putih (3-4 ulas, cincang)
Bawang Besar Holland(sebiji, cincang)
Halia (seinci, dicincang halus)

Cendawan Cina Kering (4-5 kuntum, rendam terlebih dahulu sehingga kembang)
Sayur Campur (secawan)
Tomato Cherry (dibelah dua. Boleh diganti dengan tomato biasa, tapi dipotong dadu)
Kacang gajus

Minyak Masak 
Rempah Daun Ketumbar/Parsley
Serbuk Rempah Cina (bunga lawang, bunga cengkih, kayu manis, ketumbar)
Stok Ayam (boleh ganti dengan kiub pati ayam)
Sedikit garam

Cara-cara:



1. Rebus cendawan cina untuk mendapatkan air pati cendawan. Setelah air rebusan bertukar ke warna keperangan, toskan cendawan dan hiriskan menjadi kepingan. Jangan dibuang air rebusan. Selepas itu, siapkan bahan saute' (bawang besar holland, bawang putih, halia)


2. Panaskan minyak masak didalam periuk nasi. Setelah panas, sauté kan bahan-bahan cincang tadi. Setelah naik wangi, masukkan pula sedikit air rebusan cendawan untuk mengelakkan tumisan menjadi kering. Masukkan pula sesudu rempah daun ketumbar dan rempah cina. Kacau sehingga sebati.


3. Setelah minyak mengelegak, boleh masukkan stok ayam. Masukkan sedikit air rebusan cendawan dan kacau sehingga pekat. Masukkan pula sayur campur, cendawan yang dihiris dan gajus. Masak sehingga sedikit mengelegak.


4. Apabila sedikit mengelegak, masukkan pula beras yang sudah siap dicuci. Masukkan selebihnya air rebusan cendawan. Renjis-renjiskan sedikit garam untuk menambah perisa. Kacau agar beras, bahan-bahan tumisan dan garam sebati. Pastikan sukatan air untuk menanak nasi mencukupi.

6. Setelah nasi hampir masak, masukkan pula tomato dan gaulkan dengan nasi supaya nasi tidak melekat didasar periuk. Tanak nasi lagi sehingga 5 minit & SIAP!

Begitulah resipi saya untuk bulan oktober ni. Jadi pada kalian yang teringin menyediakan hidangan nasi yang lain dari kebiasaan, PL mengesyorkan resipi ini. So, selamat mencuba!!!

Khamis, 5 September 2013

Resipi Orang Bujang: Herbal Cheesy Cream with Spinach Fettucine




Assalammualaikum, semua. Wargghhh!!! Dah lama siot tak update blog ni. Bersawang habis!! OK, takpe, takpe. Sekarang ni, banyak rumah-rumah terbuka sempena Syawal+hari Kemerdekaan ni. Macam kat tempat kerja PL sekalipun, kami tidak terlepas untuk menganjur rumah terbuka kami sendiri. Inilah resipi yang PL masakkan untuk rumah terbuka jabatan kitorang. Siapa sangka, resipi PL ni mendapat kritikan positif & laku pulak tu. Tak sangka semua menyukainya.  Jadi untuk resipi kedua untuk Resipi Orang Bujang, PL akan menunjukkan satu resipi, khas untuk mereka yang meminati resipi pasta@western. Resipi ini dipanggil Herbal Cheesy Cream with Spinach .

Bahan-Bahan:


Spinach Fettucine (sebungkus, tapi terpulanglah pada kalian nak buat berapa banyak)

Bawang Putih (4-5 ulas, cincang)
Bawang Besar Holland(sebiji, cincang)

Cendawan Butang (setin, hiris)
Lada Benggala (2 biji, dipotong dadu)
Tomato Cherry (dipotong empat. Boleh diganti dengan tomato biasa, tapi dipotong dadu)
Lobak Baby (dihiris)
Frankfurter berkeju (satu pek, dihiris)

Minyak Zaitun (boleh diganti dengan minyak bunga matahari)
Sos Herba & Keju Prego (dua tin)
Rempah Daun Oregano
Serbuk Lada Hitam Kasar
Cheese Powder

Cara-cara:


1. Sediakan bahan tumis (Bawang Holland, bawang putih ) terlebih dahulu. Sementara tu, boleh rebus Spinach Fettucine. Jangan lupa untuk letakkan sesudu minyak zaitun kedalam rebusan pasta untuk mengelakkan pasta melekat. Pabila pasta Fettucine sudah masak, tos dan sejukkan. Air rebusannya jangan dibuang terlebih dahulu.

2. Panaskan minyak zaitun. Setelah panas, sauté kan bahan-bahan tumis tadi. Setelah naik wangi, masukkan pula sedikit air rebusan pasta untuk mengelakkan tumisan menjadi kering. Masukkan pula sos Prego Herba dan Keju. Kacau sehingga mengelegak.


3. Setelah mengelegak, boleh masukkan bahan-bahan sayur (Lada Benggala, Tomato Cherry, Baby Carrot). Pabila sos menjadi sedikit pekat, campurkan sedikit air rebusan pasta. Kacau sehingga sebati. Kemudian, masukkan pula frankfurter berkeju yang telah dihiris. Masak sehingga sedikit mengelegak.

5. Apabila sedikit mengelegak, sedikit daun oregano, serbuk lada hitam kasar dan Cheese Powder. Masak sehingga naik bau, sedikit pekat & rasa sedikit kuahnya untuk memastikan rasa keju dan lada hitamnya sebati.

6. Setelah kuahnya siap, anda boleh memilih untuk menghidangnya dengan menyiram sos ke atas pasta fettucine atau menggoreng pasta fettucine bersama-sama sosnya. Siap dihidang & enak di makan sementara masih panas!!

Hah?? Amacam? Senang tak resipinya? Selepas ini, anda tidak perlu lagi untuk ke kedai-kedai pasta lagi untuk merasa . Selamat mencuba!!

Jumaat, 18 Januari 2013

Resipi Orang Bujang: Mee Maggi Ala Ladna



Assalammualaikum, semua. Urmm, tentu ada diantara kalian yang penat bekerja, bukan? Almaklumlah, macam PL yang bujang ni. Balik kerja je, mesti rasa penat dan lapar. Nak masak sedap-sedap, kena pulak nak berjimat. Lagilah kalau duduk KL. Macam semua benda nak kena catu. So itulah, kadang-kadang sebagai langkah berjimat, PL selalu masak sendiri di rumah. Dapat jimat sedikit, bukan? Untuk resipi ulung kalinya dalam blog Izzy Izzudin..Penglipur Lara Bercerita ni, PL akan tunjukkan satu resipi yang mudah, sedap, plus ringkas: Mee Maggi Ala Ladna.

Sesuailah nak kata resipi orang bujang. Terlalu simple, tapi sedap sebab rasanya ala-ala Mee Ladna. So pada mereka-mereka yang suka Mee Ladna bolehlah mencuba resipi ni. Bahan-bahan dia pun mudah nak jumpa & murah. So, bahan-bahannya adalah:

Bahan-Bahan:
Mee Maggi Perisa Ayam (sebungkus, tapi terpulanglah pada kalian nak buat berapa banyak)
Telur (Sebutir)

Bawang Putih (3 ulas, hiris)
Bawang Besar (sebiji, hiris)
Lada Cili Padi (3 tangkai, hiris)
Halia (Setengah inci, dititik)
Isi Ayam (Dalam artikel ni, PL tak tambah ayam sebab kehabisan. Haha)

Minyak Bijan
Sos Tiram (Sesudu)
Tepung Jagung (Sesudu, dilarutkan dalam air bersama perencah Mee Maggi)

Kobis (Terpulang pada citarasa. Kalau nak ganti Sawi pun takde masalah)
Cendawan Cina (Rendam terlebih dahulu sehingga kembang. Terpulang pada citarasa. Boleh sama ada nak tambah atau tak)

Cara-cara:

1. Sediakan bahan tumis(bawang besar, bawang putih, halia, cili padi) terlebih dahulu. Sementara tu, boleh rebus Mee Maggi (jangan buang perencah dia!!). Bila dah lembut mee, toskan dan biarkan.

2. Panaskan minyak bijan. Setelah panas, tumiskan bahan-bahan tumis tadi. Setelah naik wangi, masukkan pula isi ayam tadi dan gorengkan bersama bahan-bahan tumis tadi. Sementara itu, panaskan minyak lain untuk menggoreng mee.

3. Sementara menunggu isi ayam separa masak, kacau telur dan gaulkan bersama mee. Setelah sebati, gorengkan mee sepantas mungkin supaya mee tidak terlalu menyerap minyak dan supaya menjadi garing. Selepas itu, cepat-cepat toskan mee yang digoreng. Biarkan.

4. Setelah isi ayam masak, masukkan pula air tepung jagung yang telah dibancuh bersama perencah Maggi. Masak sehingga sedikit mengelegak.

5. Apabila sedikit mengelegak, masukkan sesudu sos tiram dan kacau. Selepas itu, masukkan pula sayur kobis dan cendawan cina. Biarkan sehingga mengelegak.

6. Setelah kuahnya siap, siramkan kuah ke atas mee garing yang disediakan diatas pinggan. Siap dihidang & enak di makan sementara masih panas!!

Hah?? Amacam? Senang tak resipinya? Apalagi, cubalah!! Lepas ni, bolehlah kalian memcuba dan memberi pandangan dan komen. Hahaha. Selamat mencuba!!

Sabtu, 12 Januari 2013

Mukadimah Tukang Masak Amatur



Assalammualaikum, semua. Semua nampak gambar-gambar masakan diatas? Semuanya hasil masakan PL. Hehe. Pertama kali dalam sejarah, PL berani nak post something about masakan. Sebenarnya, bukan kali pertama PL memasak & hobi PL sememangnya suka memasak. Tapi, itulah. Mungkin agak PL ni merendah diri sikit kot. Orang kata PL pandai memasak pun PL tersipu-sipu malu (Ahakzz...XD). Well, PL sebenarnya memang ada belajar memasak bermula dari zaman budak-budak lagi. Almaklumlah, kecik-kecik adik beradik PL selalu ajak main masak-masak(adik beradik PL semua perempuan yek. Bila Allahyarhamah k'ekin meninggal, baru dapat adik lelaki seorang). So bila mula tingkatan 1, PL sendiri belajar memasak dari Mak sebab kononnya nak belajar berdikari, tak nak susahkan Mak. hehe.

Resipi pertama yang PL belajar daripada Mak ialah Nasi Goreng Cina(waktu tu, ni menu favorite PL). PL suruh Mak PL standby kat sebelah, konon-konon macam buat Assesment la. haha. So, PL ingat lagi macam mana Mak PL ajar cara-cara tumbuk ikan guna lesung batu, cara nak potong bawang, macam mana nak bezakan serbuk lada sulah dengan serbuk lada hitam, cara nak kopek ikan bilis(buang bahagian hitam kat perut ikan bilis)& setiap kali basuh bahan masakan, jangan lupa selawat atas nama Nabi S.A.W 3 kali. Waktu tu, rasanya Allah S.W.T je tau macam mana "excited"nya belajar memasak. Bila dah siap, bagi Mak rasa dulu. Mak komen, ok jek. hoho. Lepas tu, PL pulak merasa air tangan PL yang pertama kalinya. Bila dah rasa, terasa macam kekurangan sesuatu. Tak sama macam Nasi Goreng Cina yang Mak selalu buat, walhal dah ikut habis stail Mak. Bila difahamkan, baru kita tau tiada masakan yang setanding masakan Mak kita sendiri. Selama kita membesar, kita dah biasa rasa masakan Mak kita. So bila kita rasa masakan kita, walau macam mana sekalipun kita tetap akan cakap masakan Mak juga yang paling sedap di dunia kerana kita membesar dengan air tangan dan suapan dari ibu kita. I LOVE u, MAK!!


Sejak dari itu, PL akui telah menemui jiwa dan hobi PL terbaru iaitu masakan. Sejak dari itu, buku dan majalah masakan jadi bahan tatapan. Selalu juga PL belajar memasak sendiri. Almaklumlah, dah yakin diri sendiri waktu tu. Mak pun dah bagi kepercayaan kat Pl untuk memasak sendiri. Kakak-kakak PL pun selalu suruh PL memasak sebab diorang tak se"rajin" PL nak memasak kot & PL suka pelbagai resipi pelik-pelik. hahaha. PL juga seorang yang suka bereksperimen. Kalau masak Mee Maggi, PL takkan masak Mee Maggi tu kosong-kosong. Mesti ada tambah something lah. Tak kisahlah tambah cili k, sayur, santan, fish ball, tauhu, serai, daun limau purut, keju, apa-apalah untuk menambah perisa. Lepastu, cara masakan pun pelbagai: masak secara berkuah, goreng, bakar dengan microwave. Paling best, pernah buat Maggi Kari Ala Ramen(Mee Jepun). Haha.

Sepanjang Pl belajar memasak ni, Alhamdulillah tak pernah lagi berlaku insiden-insiden teruk. Mungkin PL seorang yang teliti, so takde kes lagilah terpotong jari ke (pernah jugak hampir nak terpotong sebab nak belajar cara potong Julienne), dapur meletup ke, peralatan pecah ke (pernah sekali, itupun terlupa periuk kaca yang panas tak boleh terus rendam dalam air). Setakat terkena minyak panas meletup tu perkara biasalah waktu-waktu mengoreng (terutama, menggoreng telur). Tapi, PL tetap suka memasak sehingga hari ini.

PL akui, ada orang memandang serong pada PL kerana suka memasak. Pelik betul, zaman moden macam ni pun masih nak berpegang pada idea ortodoks (kononnya memasak ni kerja orang perempuan & lelaki suka memasak ni lelaki lembut). Lagilah pada waktu tu, Dato Chef Wan agak terkenal dengan style "mak cik kepoh" (ada sesetengah ibu bapa menakut-nakutkan anak lelaki mereka yang suka memasak: Bila dah besar nanti, nanti jadi lembut-lembut mcam Chef Wan). PL juga mengaku pernah diejek lembut kerana suka memasak. Huh, teruk betul. Tapi, nasib baik PL bukanlah seorang yang mudah tunduk pada kata-kata orang.Adoi!! PL tak tau nak cakap macam mana. Biasalah, kita mana boleh menahan mulut orang. Bagi PL, perkara dan ideologi bodoh ini perlu dihentikan segera.

Kita mungkin tidak sedar, terutama ibu bapa yang selalu menakut-nakutkan anak-anak mereka dengan cara begini sebenarnya anda telah pun "membunuh" sifat berdikari, berani, ingin tahu anak-anak anda. PL sendiri pernah terbaca suatu aritkel mengenai pendidikan keluarga iaitu "Cara untuk membesarkan anak-anak dengan yang betul". Sebenarnya, kita tidak harus menghentikan sifat ingin tahu kanak-kanak yang terutamanya dalam proses tumbesaran. Kanak-kanak begini seharusnya didedahkan dengan pelbagai bahan bantu belajar, agar dapar dikenalpasti kecenderungan dan minat anak anda & sekaligus dapat membantu anda untuk memahami bakat dan keistimewaan anak anda sendiri. Jika anak anda dikesan suka memasak, nasihat PL adalah sentiasa berada disisi anak anda untuk memahami dunia masakan. Untuk permulaan, biarkan anak anda menolong kecil-kecilan dengan tidak melibatkan instrumen memasak yang bahaya seperti membasuh buah-buahan, menyediakan pinggan. Pabila berganjak ke sekolah rendah, barulah diajarkan sedikit sebanyak mengenai dunia masakan. Pada waktu itu, pastikan anda sentiasa disisi anak-anak anda & mengawasi cara-cara mereka menggunakan instrumen masakan (Kini, banyak instrumen masakan yang dibuat khas untuk kanak-kanak ada dijual). Pada usia ini, mereka sudah boleh diajar untuk melakukan teknik-teknik mudah seperti menganyak tepung, memukul telur, membancuh minuman, menggoreng. Ajar mereka melakukan resipi-resipi mudah seperti sandwich, menggoreng keropok, nugget, cupcake dan lain-lain. Anda tidak boleh menghalang perkembangan anak-anak anda. Tapi, apa yang boleh anda boleh buat adalah sentiasa berada disisi anak-anak anda untuk "memandu" mereka untuk membezakan perkara baik dan buruk sehinggalah mereka dewasa.

Panjang pula mukadimah PL ni. Haha. Alangkah terujanya untuk membawa blog PL ini ke satu tahap istimewa. InsyaAllah, selepas ini terasa senang di hati Pl untuk berkongsi resipi-resipi masakan yang PL rasa mudah untuk di praktik untuk golongan muda@bujang. Kini, golongan bujang tiada lagi alasan untuk sentiasa meratah nasi bungkus di luar sahaja. Kebaikkan juga anda boleh berjimat dan mengasah bakat anda didapur. Suatu hari nanti, anda juga boleh memasak untuk keluarga anda juga. Teruskan membaca di Izzy Izzudin..Penglipur Lara Bercerita!!

Pages

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...