Blogger news

Rabu, 21 Mei 2014

Anak Malaysia pertama memenangi Masterchef UK!!!

Assalammualaikum semua. Khasnya pada peminat seni kulinari dan dunia masakan Malaysia, adalah satu pencapaian yang membanggakan dan mengharumkan nama Malaysia apabila seorang surirumah yang berasal dari Ipoh, Perak kini menjadi Juara Masterchef UK. 

Menurut Puan Catherine Chin Wan Ping Combes merupakan seorang anak Malaysia kaum cina, beliau berasal dari "bandar kulinari" (Ipoh). Membesar dibawah citarasa dan inspirasi ibunya, beliau mempelajari bahawa masakan adalah salah satu cara untuk meluahkan kasih sayang. Beliau mula mempelajari ilmu masakan secara serius ketika menyambung pelajaran ke universiti. Kini, beliau telah berkahwin dan bersama keluarganya menetap di Bath, England. Biarpun bermaustautin di England, kenangan dan masakan Malaysia tidak dilupakan & baginya, tujuan memasuki Masterchef UK adalah untuk memperkenalkan seni kulinari Malaysia pada orang ramai, khasnya di United Kingdom. Antara masakan yang dipersembahkan di MasterChef Uk pusingan akhir adalah Sup Wantan dan Sari  Straw Mushroom (pembuka/appetizer), Nasi Lemak bersama Sambal Udang dan Ikan Bilis, Ayam Goreng Oat dan Telur Puyuh (hidangan utama/main course) dan Kelapa Panachotta dan Sari Nenas dan Mangga.


Ucapan setinggi tahniah pada Puan Catherine Chin Wan Ping Coombes. Semoga terus berjaya memperkenalkan masakan kebanggaan Malaysia.

PL: ni yang bersemangat nak masuk Masterchef tahun depan ni...

Selasa, 13 Mei 2014

Kemaafan Ramadhan (Bab 4)

Bab 4

"Rabiah tak mau ikut!! Rabiah tak mau!! Rabiah nak tinggal dengan nenek..." rayu Rabiah kepada ibunya. Dia tidak mahu berpisah dengan Mak Jah. Dia tidak mahu tinggal bersama ibu bapanya di Kuala Lumpur.  

"Jangan macam ni, sayang. Kalau Biah ikut mummy dengan daddy, nanti kita beli banyak mainan tau," Datin Sharrina seakan hilang daya memujuk anaknya pulang bersama ke Kuala Lumpur.

"Sudahlah tu, Sherry! Buang masa je pujuk budak tu balik. Biarlah dia duduk dengan mak you tu," kata Haikal yang menyampah dengan Rabiah dan rimas dengan hangatnya teratak ibu mertuanya kerana tidak mempunyai pendingin hawa.

"Biah, kesianlah kat mummy ni. Penat-penat tau mummy dengan daddy datang dari jauh nak pujuk Biah," sekali lagi Datin Sharrina cuba memujuk.

"Rabiah tak nak! Rabiah tak nakla mak. Rabiah tak nak tinggalkan nenek sorang-sorang. Nek, Rabiah nak duduk dengan nenek," Rabiah erat memeluk Mak Jah. Mak Jah hanya sebak mendiamkan diri.

"Ishh!! Dahla tu Sherry. Jomlah kita balik. Tak kuasalah nak tunggu lama-lama. Panaslah rumah you ni," rungut Haikal sambil mundar mandir.

"You ni diamlah! Mengalahkan budak-budak! Takkan panas sikit tak boleh tahan?!" Datin Sharrina pula naik menyampah dengan gelagat suaminya yang baru dinikahi 3 bulan itu. Haikal pula terkedu dengan herdikan Datin Sharrina dan terus berjalan ke luar rumah. Tidak puas hati agaknya.

Mak Jah hanya mengeleng melihat fiil menantunya yang tidak matang itu. Masakan tidak, perbezaan usia dimana Datin Sharrina tua 10 tahun dari Haikal bagai tidak sepadan langsung. Lebih kelihatan seperti adik dan kakak sahaja. Kalau tidak disebabkan desakan Datin Sharrina jugaklah, tentu Mak Jah tidak mahu merestui perkahwinan mereka. Namun memikirkan keadaan Rabiah yang tidak berbapa & Datin Sharrina yang memerlukan kasih seorang suami setelah kehilangan suami pertamanya akibat barah, Mak Jah terpaksa merelakan hubungan yang serba tak kena itu. Baginya, jodoh pertemuan itu adalah rahsia Allah S.W.T. Pasti ada hikmahnya.

Lamunan Mak Jah terhenti pabila Rabiah meronta-ronta tidak mahu melepaskannya. Terus dia mendakap cucunya itu dan memujuknya:

"Rabiah, tak baik buat mummy macam tu. Rabiah baliklah KL yekk. Nanti cuti sekolah, Rabiah datang lagi rumah nenek."

"Rabiah tak nak balik KL. Rabiah nak duduk sini dengan nenek. Nak sekolah sini dengan Adan. Rabiah tak nak balik KL, nek. Tolonglah, nek.." sendu sedan Rabiah menangis tidak rela berpisah dengan Mak Jah. Bergenang mata Mak Jah. Jauh di sudut hatinya, dia juga tidak mahu berpisah dengan cucunya itu.

"Rabiah, dengar sini sayang. Nenek akan ada kat rumah ni, tunggu Rabiah balik. Nenek janji takkan pergi mana-mana. Nenek nak Rabiah ikut mummy balik KL, temankan mummy yerr. Jaga mummy, belajar rajin-rajin. Nanti akan datang, bila Rabiah dah masuk sekolah menengah, dah besar, Rabiah boleh balik kampung, kayuh basikal keliling kampung, temankan nenek pergi mengurut. Lepas tu, nenek pula duduk kat tempat duduk belakang basikal pulak. Waktu tu, Rabiah mesti dah besarkan? Rabiah boleh bawak pulak nenek pergi jalan-jalan. Rabiah jangan menangis, sayang.."

Perhubungan nenek dan cucu itu terlalu erat, sehinggakan ibunya sendiri tidak mampu untuk meleraikan mereka berdua. Datin Sharrina berasa kesal kerana terlalu lama membiarkan Rabiah dijaga ibunya kerana terlalu sibuk dengan urusan perniagaan perninggalan arwah suami pertamanya dahulu. Dia terlupa bahawa apa yang diperlukan Rabiah bukanlah wang ringgit, tetapi perhatian dan kasih sayang dari seorang ibu.

Mak Jah segera mengelap air mata Rabiah dan berkata:

"Nenek akan tunggu Rabiah kat rumah ni, sampai Rabiah datang. Nenek janji..."

Mereka berdua berpelukan sambil menitiskan air mata.

*          *          *

"Isshh, tak boleh jadi ni." rungut Haikal sendirian. Sejak Datin Sharrina berhajat untuk membawa Rabiah tinggal bersama, Haikal menjadi tidak senang duduk. Takut-takut Rabiah akan menjadi penghalang antara dia dan Datin Sharrina. Namun, dia tidak boleh membantahkan terang-terangan untuk mengelakkan Datin Sharrina mengetahui niat asalnya perkahwinannya dengan Datin Sharrina. Bagi Haikal, cita-citanya wajib tercapai & segala penghalang matlamat harus dimusnahkan. Termasuk Rabiah.

"Assalammualaikum, pakcik," 

Terkejut Haikal dari perancangannya. Tidak sedar dibelakangnya ada seorang budak lelaki bersama basikalnya. Namun, dia terasa terhina digelar "Pakcik", sedangkan umurnya masih 20-an.

"Woiii!! Apa pakcik-pakcik?! Kurang ajar punya budak.." sergah Haikal. Ramadhan tergamam. Dia tidak menyangka lelaki itu akan memarahinya.

"Heh, kenapa kau nak marah budak tu tak tentu pasal?!" giliran Mak Jah pula menyergah Haikal. Haikal tidak menyedari mak mertua, isteri dan anak tirinya sedang menuruni tangga rumah. Datin Sharrina pula kelihatan menjinjing beg pakaian anaknya.

"Budak tu mana kenal kau. Sebab tu, dipanggilnya kau pakcik Lagipun, dia panggil kau pakcik sebab dia hormatkan kau. Takkan sebab "Pakcik" pun kau nak kata budak tu kurang ajar?? Engkau tu perangai mengalahkan budak-budak!!" leter Mak Jah dengan perangai menantunya yang serba tak matang. Haikal pula terpinga-pinga mendengar leteran Mak Jah. Datin Sharrina pula merasa malu dengan ibunya kerana bersuamikan "budak-budak".

"Assalammualaikum, makcik, Nek Jah", Ramadhan memberi salam pula kepada Datin Sharrina dan Mak Jah.

"Waalaikummussalam", sahut Mak Jah. Manakala Datin Sharrina pula hanya berdiam, seakan tidak senang dengan kehadiran Ramadhan.

"Hah, kebetulan kau ada kat sini, Adan. Rabiah kena pindah ke Kuala Lumpur, tinggal dengan emaknya. Ni Rabiah ada ni. Rabiah, pergilah cakap-cakap dengan Adan sebelum balik. Nanti rindu." Mak Jah menyuruh Rabiah untuk bertemu Ramadhan untuk kali terakhir sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Tiba-tiba, Datin Sharrina menghalang Rabiah dan berbisik kepada ibunya:

"Ehh, mak buat apa ni pulak?"

"La, kenapa pulak?" Mak Jah tidak faham dengan pertanyaan anaknya.

"Tu, budak tu bukan ke anak Salmah? Mak biarkan anak saya berkawan dengan budak luar nikah tu?"

"Astaghfirullah al azim!!!! Kau ni kenapa, Sharrina? Kenapa kau nak beza-bezakan dia dengan anak kau?" Mak Jah ternyata terkejut dengan kenyataan anaknya.

"Mak ni, budak tu kan anak haram. Saya tak nak anak saya terikut-ikut perangai tak senonoh..." belum sempat Datin Sharrina menghabiskan ayatnya, Mak Jah membalas balik,

"Ohh, kau nak katalah budak ni berdosa besar, bawa malang, sial, macam tu?? Heii Sharrina, kau ni duduk bandar bukan makin pandai, makin bodoh agaknya. Budak tu lahir pun aku yang sambut, dia pun tak tahu dia lahir jadi anak luar nikah. Dia pun tak minta lahir jadi anak haram. Yang kau ni, heboh soalkan dosa haram orang. Baik kau cermin sikit diri kau tu. Aku tak besarkan kau dengan baju tak cukup kain ni. Pakai baju dah serupa telanjang. Rambut tu dah warna serupa tupai merah. Pakai seluar ke apa ni? Ikut bentuk kaki betul. Buruk aku tengok. Ni, baju kau ni dada kau tu dah nak tersembul keluar aku tengok. Jangan pakai bajulah senang!!" Mak Jah memarahi anaknya. Dia tidak pernah mengajar anaknya menjadi sedemikian rupa. Siapa sangka, anak yang dibesarkannya dahulu dengan baju kurung dan tudung kini memilih untuk berpakaian seperti perempuan murahan.

Datin Sharrina hanya tertunduk malu dengan amarah ibunya. Haikal pula tersenyum sinis sambil berkata dalam hati:

"Padan muka. Dah tua pun nak jadi orang muda"

"Sudah. Rabiah, pergilah jumpa Ramadhan. Cepat, mummy dah nak bertolak kejap lagi." Mak Jah mengarahkan Rabiah agar lekas. Sejak dari Tadika, Ramadhan dan Rabiah sering bersama. Biarpun pernah menjadi buah mulut orang kampung, tetapi Mak Jah tidak kisah. Dia tahu siapa Ramadhan dan baginya Ramadhan seperti sebutir mutiara yang terpalit lumpur. Sayang sungguh dia menjadi mangsa syak wasangka manusia-manusia yang jumud dan sayang sekali, anaknya Datin Sharrina tergolong dalam manusia yang sebegitu juga.

Ramadhan dan Rabiah segera ke berteduh di bawah pokok. Dengan muka kekeliruan, Ramadhan bertanya pada Rabiah:

"Rabi, betul ke apa Nek Jah cakapkan tadi, kau nak pindah ke Kuala Lumpur?"

Rabiah masih tunduk kesedihan. Mulutnya masih terkunci, masih mengenang nasib berpisah dengan orang tersayang.

"Rabi, betul ke?", Ramadhan cuba mendapatkan kepastian.

Rabiah cuma mengangguk diam. masih tidak berupaya berkata-kata. Namun, Ramadhan memahami isyarat itu. Hatinya terasa berat, tidak menyangka akan berpisah dengan sahabat karibnya itu.

"Saya tak nak pindah, Adan. Saya nak duduk sini..."

"Takpelah. Awak ikutlah mak awak. Nanti cuti sekolah, awak boleh balik kampung kita main sama-sama, ok?". Ramadhan sedar dia akan berpisah dengan Rabiah.

"Saya takde kawan kat KL. Kat KL takde nenek dengan awak."

"Isshh, janganlah nangis. Mak dan ayah awak mesti rindu awak. Awak mesti tinggal dengan mak ayah awak. Saya dan Nek Jah akan tunggu awak kat sini. Jangan lupa kami disini, ya?" . Ramadhan cuba menahan kesedihan.

Rabiah hanya mendiam seribu bahasa. Dia kelu untuk menyuarakan kesedihan untuk berpisah. Apalah daya untuk berpisah, sedangkan neneknya dan Ramadhan meredhai pemergiannya. Mereka mahukan yang terbaik untuk Rabiah.

*     *    *

Di tepi pantai, lagi sekali air mata Ramadhan menitis. Jika selalunya Rabiah ada disisi menghulurkan tisu, kita segalanya hanyalah kenangan. Rabiah sudah 2 minggu berada di Kuala Lumpur bersama ibu dan bapa tirinya. Kini dihatinya hanyalah kerinduan dan kekosongan yang tak berganti untuk sahabat karibnya. 

Sesi mengaji dan hafazan bersama Ustaz Shah menjadi serba tak kena. Beberapa kali dia tersasul dan tersalah tajwid. Ustaz Shah kehairanan melihat muridnya yang paling bijak kini menjadi hilang arah. Selesai kelas mengaji, Ramadhan segera ke basikal dan pulang ke rumah. Takut-takut ibunya menunggu di pintu rumah nanti. 

"Kenapalah kelam kabut budak ni?" rungut Ustaz Shah sendirian. Baru tadi dia berniat untuk menyapa Ramadhan yang sudah jauh mengayuh basikal. 

Selasa, 6 Mei 2014

Perginya Pak Ajis, Bujang Lapok terakhir



Assalammualaikum, semua pembaca. Hari ini kita dikejutkan dengan pemergian seorang hamba Allah S.W.T yang merupakan lagenda komedi Malaysia. Pak Ajis atau dikenali Datuk Abdul Aziz bin Sattar(8 Ogos 1925 – 6 Mei 2014) telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.30 pagi tadi di Pusat Perubatan KPJ, Kajang. Khabar pemergian Allahyarham telah disahkan oleh cucu Allahyarham, Ibaidah A. Ishak melalui laman twitter.

Allahyarham Pak Ajis merupakan salah seorang Lagenda Perfileman Melayu, seiring dengan barisan-barisan seniman seperti Allahyarham Tan. Sri P. Ramlee, Allahyarham S. Shamsuddin, Seniwati Mariani, Seniwati Sarimah, Allahyarhamah Normadiah, Allayarham Mahmood June dan lain-lain. Terkenal di era Perfileman Jalan Ampas, Pak Ajis telah membintangi lebih 50 buah filem dan drama dan diantara filem-filem terkenal lakonnya seperti Trilogi "Bujang Lapok (Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok)", "Nujum Pak Belalang", "Suami, Isteri &...", "Layar Lara", "Pontianak Harum Sundal Malam I,II". Bermulanya karier anak seni sebagai krew rakaman, perlahan-lahan Pak Ajis mendapat perhatian dengan lakonan pertamanya sebagai watak pembantu dalam filem pertama lakonannnya, "Putus Harapan(1952)". Diatas bakat semulajadi Pak Ajis sebagai pelawak dan penghibur, Pak Ajis terus mendapat watak lakonan di bawah arahan P.Ramlee melalui watak diri sendiri dalam trilogi terkenal, "Bujang Lapok".

Allahyarham Pak Ajis telah mendirikan rumah tangga sebanyak 3 kali dimana isteri pertama, Siti Rumina Ahmad (bercerai), isteri kedua, Allahyarhamah Seniwati Dayang Sofiah (bercerai), dan isteri ketiga, Hasimah Delan. Sepanjang perkahwinan bersama ketiga-tiga isteri, Pak Ajis dikurniakan 7 orang anak. 

Berikut adalah gambar-gambar tribute pada Allahyarham Pak Ajis:


Kini apa yang pasti, kita anak Malaysia yang membesar dibawah pengaruh filem lakonan Allahyarham Pak Ajis akan sentiasa mengingati beliau. Semoga Allah S.W.T mencucuri rahmat ke atas roh Pak Ajis selamanya. Amin. Kepada Pak Ajis, kami akan merindui keletah dan jenaka Pak Ajis sentiasa & tenanglah di sana.

Rujukan: Utusan Online: Seniman Aziz Sattar meninggal dunia
              Astro Gempak: Tiada Lagi Bujang Lapok
              Wikipedia

Ahad, 4 Mei 2014

Adik Arman Dani memerlukan O+!!!

Assalammulaikum semua. Sedekah dan Ihsan tidak semestinya melibatkan wang ringgit. Macam adik Arman Dani, adik ni amat-amat memerlukan darah jenis O+ untuk membantu dia meneruskan kelangsungan hidup. Berikut adalah mesej dari ibu kepada Adik Arman Dani:




Dear all,
Anak kami disahkan menghidapi Acute Lymphoblastic Leukemia empat minggu lalu. Sekarang ini dia sedang menerima rawatan kimoterapi yang intensif (tempoh rawatan dua tahun). Saya sangat berharap kalian dapat mendoakan kesihatan satu-satunya anak kami ini bertambah baik. InsyaAllah. Terima kasih atas sokongan dan nasihat. ‪#‎prayforarman‬ ‪#‎armandani‬ ‪#‎leukemia‬
Antara kriteria diperlukan adalah :
1 : Lelaki
2 : Umur 18-55
3 : Sihat
4 : Cukup makan
5 : Cukup darah jenis O+
Jika ada dikalangan pembaca ingin menderma darah, boleh ke SJMC, Bank Darah, Menara Utara, tingkat lima. Maklum nama adik Arman Dani untuk membantu.
Semoga Allah S.W.T bersama dan memberi kekuatan dan kesabaran pada keluarga Adik Arman Dani. Pada Pembaca yang mempunyai syarat-syarat yang cukup diatas, boleh sama-sama kita membuat amal jariah sempena Bulan Allah, Bulan Rejab ini.

PL: darah PL A+...hurmmm~~

Rujukan: FB pages HARIAN METRO

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...