Blogger news

Memaparkan catatan dengan label Puisi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Puisi. Papar semua catatan

Jumaat, 24 April 2015

Kemaafan Ramadhan (Bab 6)



KRING!!!!!

Sekarang bermulanya sesi rehat. Semua pelajar berpusu-pusu ke kantin. Almaklumlah, siapa cepat dia dapat semangkuk mi kari yang menjadi kegilaan murid-murid di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak. Kalau tidak, pilihlah apa yang ada. Namun diantara 350 jumlah murid disekolah itu, kelihatan seorang murid begitu muram dan tidak bersemangat seperti yang lain.

“Apalah nak buat sekarang ni?” Ramadhan sendiri tidak pasti apa yang ingin dilakukan pada waktu rehat. Hendak makan, duitnya tidak cukup. Hendak tidur, pelajar tidak dibenarkan berada didalam kelas pada waktu rehat. Hendak berbual, Rabiah sudah tiada disini.

“Ishhh, tak habis-habis pasal Rabi. Adan, Rabi dah duduk KL dah. Bawak-bawaklah terima hakikat weyh” Ramadhan bermonolog didalam hatinya. Memang benar, dia dan Rabiah memang umpama belangkas. Ke mana Ramadhan pergi, Rabiah pasti akan mengekori. Sekiranya Ramadhan tidak mempunyai sebarang aktiviti pada waktu itu, Rabiah pasti dicarinya untuk diajak berbual.

Di perpustakaan, Ramadhan sendiri tidak pasti akan genre buku apa yang ingin dibacanya. Diperginya setiap satu persatu rak buku, melihat jika ada buku yang mampu menarik perhatiannya. Jika.

“hurmmm…” satu dengusan panjang dikeluarkan. Hampa melihat koleksi buku yang ada, seakan semua buku sudah dibacanya.

Ramadhan segera mendapatkan kerusi yang terletak di sudut perpustakaan tersebut. Mengadap jendela, dia memandang lambaian dahan pokok yang ditiup angin dan burung-burung yang singgah di dahan. Berehat.

Sebenarnya, Ramadhan masih tidak mampu membuang bayangan Rabiah dari benaknya. Cubalah apapun untuk mengalih perhatiannya, namun ternyata Rabiah seolah-olah masih menari-nari di mindanya. Apalah yang mampu dia lakukan pada saat ini? Bukannya dia ada kawan yang lain. Tidak semua murid-murid di sekolah itu yang mampu menerima dirinya sebagai anak luar nikah. Dia sedar siapa dirinya untuk bersosial dengan budak sebayanya. Baru sahaja dia mencuba untuk berkawan, sudah dicemuh murid-murid disekeliling. Bagi mereka, Ramadhan anak haram, tidak layak dan tak sama taraf untuk berkawan dengan mereka. Hairan Ramadhan memikirkan dari manalah budak-budak ni belajar untuk berperangai sedemkian?

Nampaknya, sepanjang hari Ramadhan tidak memberikan fokus sepenuhnya.  Sepanjang hari dan berhari-hari baginya serupa. Dia seakan tidak mampu memberikan perhatian pada perkara-perkara 
lain. Semenjak hilangnya Rabiah, Ramadhan banyak menghabiskan masa bersendirian di tepi pantai. Merenung setiap hempasan air di pesisir agar memberikannya ilham untuk meneruskan kehidupan dan merasakan tiupan bayu laut untuk menyampaikan salam rindunya pada Rabiah.

“Rabiah, baliklah kampung. Aku rindukan kau” pinta anak muda itu disudut hatinya. Kosong hatinya tiada berteman. Hendak diadu pun, pada siapa? Harapkan ibunya, alamat dimaki-makilah jawabnya. Hendak ditanya khabar pada Mak Jah, takut terusik hati wanita itu. Dia tahu yang Mak Jah juga dilanda perasaan rindu sepertinya.

“Apa kata aku jumpa Ustaz Syah? Dia mesti faham” sejenak dia teringat pada Ustaz Syah kesayangannya.

“Assalammualaikum, Ramadhan. Apa kamu renung lagi tu?” sapa Ustaz Syah dari belakangnya.
Bagaikan tidak percaya. Baru saja disebut-sebut orangnya, tak sangka sudah siap standby dibelakangnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui hati hamba-hambaNya. Itulah yang terfikir difirasat Ramadhan.

“eh, Ustaz. Waalaikummusalam. Tak perasan saya ustaz ada kat belakang saya tadi. Ustaz buat apa kat sini?” Ramadhan masih sedikit kaget. Namun, dia segera bersalam dengan Ustaz Syah.

“aik, dia tanya balik soalan yang sama. Kamu tu, ada apa renung pantai tu dalam-dalam?” usik Ustaz Syah. Dia cuba untuk memahami anak muridnya.

“takde apala ustaz. Saja je duduk sini. Jemputlah duduk ustaz,” pelawa Ramadhan.
perkara yang sama seperti Ramadhan; merenung pantai. Lalu, Ustaz Syah bertanya;

“kamu teringat seseorang ke?”

“takdela ustaz,” Ramadhan membidas.

“ingat makwe?” usik Ustaz Syah.

“ishh, ke situ pulak. Hahahaha” ketawa Ramadhan mendengar pertanyaan itu. Dia tahu, Ustaz Syah cuma melawak sahaja.

“Sabarlah, nanti adalah khabar dari Rabiah,” kata Ustaz Syah. Tersentak Ramadhan apabila nama Rabiah disebut. Tidak menyangka ustaz kesayangannya itu mampu membaca isi hatinya.
Ramadhan memandang tepat ke arah mata Ustaz Syah. Masih memandang pada lautan, Ustaz Syah meneruskan kata-katanya;

“kamu lihat pada lautan tu.” Tunjuk Ustaz Syah pada Ramadhan.

“Apa yang kamu nampak?” tanya Ustaz Syah pada Ramadhan. Dia cuba mengakali Ramadhan.

“saya nampak lautan, burung-burung laut, awan, langit, matahari,” jawab Ramadhan tidak mengerti akan maksud soalan itu.

“Cuba kamu lihat pada burung-burung laut tu. Ramadhan, sejauh mana pun burung itu berterbangkan ke serata dunia, ia tetap akan pulang ke sini. Lihat pula pada lautan, biar mana besar pun lautan tu, pada pantai juga dia setia menghempas. Pada pantai jugalah lautan itu kembali. Begitu juga Rabiah. Biar jauh mana pun dia berada, InsyAllah pasti Rabiah akan kembali. Kamu bersabarlah,” pujuk Ustaz Syah. Sungguh tidak menyangka Ustaz Syah mampu memberikan kata-kata sedemikian rupa. Ramadhan hanya mampu mengiyakan segala kata-kata Ustaz Syah.

*          *          *
Lautan adalah misteri. Kedalamannya sukar dijangka, isinya adalah khazanah yang tidak terkira banyaknya, luasnya pula meliputi 2/3 bumi ini. Terlalu luas nikmat Allah. Lalu, nikmat Allah mana yang kau mahu dustakan?

Rabiah terpesona melihat sekumpulan ikan berenang-renang di akuarium besar itu. Pertama kalinya dia menjejak kaki di Aquaria, KLCC. Sebelum ini, dia cuma mendengar Aquaria dari kaca televisyen. Tidak terjangka ibunya ingin membawanya berjalan-jalan dan dibawanya ke Aquaria.
“Kalau Adan nampak ni, mesti dia suka,” Rabiah berbisik sendirian. Dia ingat benar kegemaran Ramadhan. Hampir setiap hari, Ramadhan akan datang ke rumah Mak Jah untuk menonton rancangan National Geographic pada pukul 2 petang bersama Rabiah.

Panorama laut ciptaan disekelilingnya benar-benar menghanyutkan Rabiah pada suatu dunia yang asing. Memori, impian, ilusi segalanya bercampur baur. Tidak sedikit pun dia terkejut melihat lintasan ikan jerung dihadapannya. Didalam hatinya, terwujud satu cita-cita yang jarang didengar; ahli sains marin.

“budak kampung…” suatu suara halus menghentikan lamunan imaginasi Rabiah. Rabiah menoleh kiri dan kanan. Terlihat di belakangnya 4 orang budak perempuan lebih kurang sebayanya saling tergelak dan menjeling sinis ke arahnya. Mereka berlalu pergi.

Baru Rabiah sedar, kata-kata tersebut ditujukan padanya. Rabiah hanya cuma memandang mereka. Sedikit dihatinya tidak terusik dengan sindiran. Bekas ajaran Mak Jah; jangan mudah sombong dan bangga diri masih diingati hingga ke hari ini. Biarpun Rabiah cuma gadis cilik kampung berbaju kurung, namun tak luntur semangatnya pada gadis kota yang tiada adab sopan. Rabiah tersenyum bangga dengan peribadinya.

“Seronok anak mama jalan-jalan yek,” Datin Sharrina menyapa anaknya. Rabiah memandang ibunya dan mengangguk tanda setuju. Sudah lama mereka tidak keluar bersama-sama. Nasib baik bapa tirinya tidak ikut serta. Kalau tidak, hilang mood agaknya.

“Mama, nanti ada masa, mama kan. Apa kata kita bawak nenek sekali? Nenek mesti suka tengok ikan-ikan ni, mama,” Rabiah memberikan cadangan pada ibunya. Datin Sharrina tersenyum kelat mendengar cadangan Rabiah itu. Dia membalas;

“Nanti kita bawa nenek yek sayang,” balas Datin Sharrina sekadar menyenangkan hati anaknya. Dia tahu sejak perkahwinan dia dan Haikal, Mak Jah seakan-akan merajuk dengannya. Diajak tinggal bersama pun ditolak mentah-mentah oleh Mak Jah.

Mereka berdua pergi ke kedai cenderamata di Aquaria. Datin Sharrina ingin membelikan Rabiah anak patung berupa ikan lumba-lumba. Rabiah begitu menyukainya. Sudah lama dia tidak mendapat hadiah dari ibunya. Inilah masa dan peluang untuk bermanja dengan ibunya setelah sekian lama. Tiba-tiba, Rabiah ternampak kepingan poskad berillustrasikan lautan dan hidupan marin. Dia 
mengambil sekeping dan menyerahkan pada ibunya;

“mama, boleh tak Rabi nak ni?” soal Rabiah.

“Sayang nak buat apa dengan poskad ni? Sayang nak bagi kat siapa?”, Datin Sharrina sedikit pelik dengan permintaan anaknya.

“Rabi nak bagi kata Adan, dia suka tengok laut..” belum sempat Rabiah menghabiskan kata-katanya, Datin Sharrina mencelah;

“tak payah beli apa-apa untuk budak tu. Membazir jek. Tak boleh!” tegas Datin Sharrina. Moodnya serta merta berubah mendengar nama Ramadhan. Reaksi Rabiah sama sekali terkejut melihat perubahan sikap ibunya yang mendadak.

Di dalam kereta, suasana menjadi suram. Rabiah tidak tahu bagimana untuk menyapa ibunya setelah apa yang berlaku. Dia sama sekali tidak menyangka akan apa yang terjadi. Kini, dia terpaksa membisu mengharapkan ibunya memulakan perbualan dulu.

Datin Sharrina pula menjadi serba salah tentang apa yang terjadi. Dia tidak berniat untuk menengking Rabiah di Kedai Cenderamata Aquaria tadi. Tindakan spontan tadi berlaku hanyalah kerana satu nama yang tidak disukainya: Ramadhan. Anak haram itu tidak sedarjat dan tidak sepatutnya berkawan dengan Rabiah. Takut-takut tempias “sial” akan melekat pada Rabiah.   

Dia sama sekali tidak menyukai Rabiah berkawan dengan Ramadhan. 

Rabu, 22 April 2015

Kemaafan Ramadhan (Bab 5)


Di jendela sebuah banglo di Taman Jaya, seorang gadis kecil termenung jauh. Sesekali dia menyeka air mata yang tiba-tiba mengalir. Ingatannya pada Mak Jah, Ustaz Shah, Ramadhan, basikal tua selalu ditunggangnya, desiran pantai yang menghempas, gelak tawa bersama rakan sekelas. Rabiah terpaksa akur dengan pujukan neneknya. Kini, dia di sebuah bandar yang asing. Rumah yang terletak ditengah hutan konkrit Kuala Lumpur kini menjadi tempat baru baginya. Meskipun dia berada dirumahnya, namun kenangan terhadap di rumah itu teramat sedikit. Seingatnya, kali terakhir dia dirumah banglo itu ketika dia berusia 3 tahun. Apalah memori yang dapat diingat pada umur 3 tahun?

Sesekali dia membelek satu album lama yang hampir berhabuk. Rabiah terpandang satu gambar lama keluarganya. Gambar dimana Rabiah masih bayi, didukung oleh arwah ayahnya dan sisinya ada Datin Sharrina, ibunya. Hampir dia terlupa akan rupa arwah ayahnya. Manakala, rupa ibunya dulu kelihatan jauh lebih jelita dari sekarang yang tak lebih dari kesan mekap berlebihan untuk menutup kesan kedutan. Ternyata Rabiah hampir terlupa, dia juga mempunyai sebuah keluarga bahagia suatu ketika dahulu.

“ehh, kenapa tak tidur lagi? Esokkan nak mula dah sekolah?” sapa lembut Datin  Sharrina. Rabiah sedikit terkaget, tidak menyedari ibunya membuka pintu biliknya.

“Apa anak mama tengok tu?” Datin Sharrina tertanya apakah yang membuat anaknya terleka sehingga tidak menyedari kehadiran seketika tadi.

“takde ada apa ibu. Rabi terjumpa ni,” Rabiah menunjukkan album lama itu.
Datin Sharrina menyambut album lama itu dari anaknya, lalu dibelek setiap halaman satu-persatu. Terimbas kembali segala kenangan lamanya bersama arwah suaminya lima tahun yang lalu. Dahulu, dia, Rabiah dan arwah suaminya saling melengkapi sebagai satu keluarga. Namun apakan daya, sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kehilangan arwah suaminya akibat barah meretakkan segala impian bahagia dia. Kini, dia sendiri bersama Rabiah. Nak harapkan Haikal, ternyata bagai langit dan bumi kalau nak dibandingkan dengan arwah suaminya. Dia menikahi Haikal pun kerana sangkanya Haikal mampu memberinya cinta kedua, tapi ternyata hampa.

“Mama..”Rabiah menyedarkan ibunya dari lamunan.

“Mama tak apa-apa ke? Kenapa mama senyap?” Tanya Rabiah kehairanan melihat gelagat ibunya.

“Takde apa-apa Rabi. Rabi simpanlah album ni elok-elok. Dahlah, sayang tidur yek. Esok mama nak daftar Rabi kat sekolah baru. Nanti Rabi ada kawan-kawan baru. Rabi tidur yek, sayang”, kata Datin Sharrina lembut. Selepas itu, dia mengucup dahi Rabiah dan meyelimutnya selepas itu. Album lama tadi diletakkan diatas meja tulis. Beransur dia keluar dari bilik tidur anaknya, dia melihat sekali lagi Rabiah sebelum merapatkan pintu. Sebaik pintu bilik ditutup, satu keluhan dilepaskan oleh Datin Rabiah. Dia sangkakan Rabiah masih bersedih dan tidak dapat menyesuaikan diri. Ini adalah kali pertama Rabiah pulang ke rumah semenjak kematian bapanya dan juga kali pertama Rabiah akan tinggal bersama-sama dengan bapa tirinya. Sebelum ini, Rabiah tidak berpeluang untuk lebih mengenali Haikal. Biarpun sudah hampir 3 tahun usia perkahwinan Datin Sharrina dan Haikal, tetapi mereka jarang meluangkan masa bersama-sama dengan Rabiah. Jikalau balik ke kampung pun, hanya pada cuti hari raya sahaja. Itupun cuma 2, 3 hari sahaja sementelah Haikal selalu memaksa Datin Sharrina untuk pulang awal.

“Hah, mana pulak laki aku ni? Senyap jek,” teringat pulak dia akan suaminya. Selalunya bagi Datin Sharrina, Haikal pasti akan berada di depan televisyen untuk menonton Liga Inggeris pada waktu ini.
Perlahan-lahan dia berjalan ke arah bilik tidur utama. Pintu bilik dibuka.

“kat sini rupanya,” keluh Datin Sharrina melihat Haikal sudahpun tidur diatas katil. Pada mulanya, dia berhajat ingin menyambung perbincangan bersama Haikal mengenai Rabiah yang tertangguh semalam. Sedikit kesal di hati Datin Sharrina memikirkan semalam tingkah Haikal yang acuh tak acuh apabila diajukan isu mengenai Rabiah.

“Biarpun Rabiah bukan anak kandung kau, tapi segala tanggungan dah jatuh pada kau sebagai bapa tiri,” Datin Sharrina monolog di dalam hatinya. Kesal memikirkan sikap Haikal yang seakan-akan ingin lepas tangan dalam soal tanggungjawab terhadap Rabiah. Malas memikirkan karenah suaminya, Datin Sharrina terus menuju ke katil dan menarik comforter menutup badannya. Dia ingin segera melelapkan mata dan berhenti untuk memikirkan soal dunia yang tak sudah.  

*          *          *

“alah, sayang. I rindula kat you. Bilala kita nak jumpa lagi?” demikianlah mesej whatssapp yang diterima oleh Haikal. Tersenyum simpul dia dibuatnya. Fikirnya jerat sudah mengena. Memikirkan Aliza, pembantu peribadi isterinya sendiri bermain cinta dengannya.

“hurmm, betina ni. Tak puas lagi ke? Esok jela aku layan kau,” sinis Haikal didalam hati. Dia ingin membuat perempuan simpanannya itu tertunggu-tunggu dan seterusnya kemaruk dirinya. Inilah diantara skill yang pernah dibuat Haikal pada skandal-skandalnya yang lain.

Opss silap. Tiada istilah cinta dihati Haikal. Dia ingin bermain nafsu dan menajamkan skill mata keranjangnya dengan memikat sesiapa yang dia suka. Dulu baginya, memperisterikan Datin Sharrina adalah satu kejayaan besar. Sekarang tidak lagi. Dia masih tidak puas bermain nafsu. Segala wanita jelita ingin didakapnya dan pastinya semudah ABC untuk mendapat segalanya sementelah menikahi Datin Sharrina. Wang ringgit langsung tidak menjadi isu apabila ditaja segalanya. Datin Sharrina sama sekali tidak mengetahui segala tindak tanduk curang Haikal dibelakangnya.

BEEPP…BEPPP…..sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi, tanda mesej baru saja masuk.
“Hai, sayang!!!  Let’s shopping tomorrow! Bukan ke you ada janji dengan I nak belikan new Gucci dress?” kata mesej tersebut. Kali ini, bukan dari Aliza. Tapi dari skandalnya yang lain, Sarah.
Haikal memikirkan sesuatu dan lalu membalas mesej tersebut;

I tak lupa, sayang. I’m always waiting to date with you, baby. Esok, I akan datang ambil you” balas Haikal. Sepintas lagi handphonenya berbunyi;

auww, sweet. I love you baby. Muahhh” balas mesej tersebut bersama emoticon beruang comel dan simbol hati. Selesai membaca, handphonenya menerima mesej sekali lagi;

“ok. I nak tidur dulu, sayang. I love you” bunyi mesej terakhir itu. Haikal segera membalas;

“ok. Sweet dream baby. Love you too”.

Puas di hati Haikal dapat mempermainkan perasaan wanita-wanita tersebut. Dia merasakan dirinya adalah lelaki buruan wanita yang takkan henti digilai sesiapa sahaja. Berbekalkan wajah yang kacak dan gaya lelaki urban, dia merasakan dirinya bebas dan mampu untuk menggoda sesiapa sahaja di dunia ini. Bukan sahaja wanita, malahan ada juga sesetengah lelaki juga yang juga ter”pesong” melihat dirinya. Kini terasa dirinya lengkap segala-galanya; duit, perempuan, kereta mewah, kekacakkan, pangkat dan harta. Lengkap segalanya untuk melayakkan diri digelar KASANOVA.

Tiba-tiba pintu bilik terbuka. Seakan panik, Haikal terus berpura-pura melelapkan mata sambil handphonenya disorokkan dibawah bantal. Dia tahu siapa yang memasuki bilik itu;

“sampai dah perempuan tua ni. Kacau betul!” getus Haikal dalam hati. 

Datin Sharrina berdiri belakang badannya yang tidur mengiring. Haikal tahu yang Datin Sharrina masih memerhatinya dari belakang.

“isshh, perempuan tua ni. Apa kau nak? Tak puas pasal semalam la tu. Kecoh sangat pasal budak kampung tu.” Haikal tahu yang Datin Sharrina masih ingin berbincang mengenai anaknya. Dia tak mahu pun ambil kisah mengenai anak tirinya, malahan menganggap Rabiah sebagai satu ancaman pada rancangan “besar”nya.

Agak lama Datin Sharrina berdiri dibelakangnya, barulah Datin Sharrina baring di sebelah dan tidur. Pada yang sama, Haikal juga merasakan dirinya juga memerlukan rehat dan keesokkan hari juga dia harus ke pejabat dan berdating dengan Sarah. 

Selasa, 21 April 2015

September

Untuk kami,
Untuk September,
Kami adalah anak seni di alam mimpi

Kami pemimpi,
Untuk kisah fantasi,
Ajnas dari realiti, kesempurnaan.

Kami adalah biru,
Seperti saphirre dan lautan,
Kasih kami sedalam jurang marina,
Tersimpan rahsia yang tak teungkap
Tak tercapai dek akalmu

Mentari adalah ilham kami,
Jadi sinar untuk setiap harapan,
Jadi harapan untuk setiap kemungkinan,
Jadi kemungkinan untuk setiap masa depan.

Untuk kami, September.

Selasa, 13 Mei 2014

Kemaafan Ramadhan (Bab 4)

Bab 4

"Rabiah tak mau ikut!! Rabiah tak mau!! Rabiah nak tinggal dengan nenek..." rayu Rabiah kepada ibunya. Dia tidak mahu berpisah dengan Mak Jah. Dia tidak mahu tinggal bersama ibu bapanya di Kuala Lumpur.  

"Jangan macam ni, sayang. Kalau Biah ikut mummy dengan daddy, nanti kita beli banyak mainan tau," Datin Sharrina seakan hilang daya memujuk anaknya pulang bersama ke Kuala Lumpur.

"Sudahlah tu, Sherry! Buang masa je pujuk budak tu balik. Biarlah dia duduk dengan mak you tu," kata Haikal yang menyampah dengan Rabiah dan rimas dengan hangatnya teratak ibu mertuanya kerana tidak mempunyai pendingin hawa.

"Biah, kesianlah kat mummy ni. Penat-penat tau mummy dengan daddy datang dari jauh nak pujuk Biah," sekali lagi Datin Sharrina cuba memujuk.

"Rabiah tak nak! Rabiah tak nakla mak. Rabiah tak nak tinggalkan nenek sorang-sorang. Nek, Rabiah nak duduk dengan nenek," Rabiah erat memeluk Mak Jah. Mak Jah hanya sebak mendiamkan diri.

"Ishh!! Dahla tu Sherry. Jomlah kita balik. Tak kuasalah nak tunggu lama-lama. Panaslah rumah you ni," rungut Haikal sambil mundar mandir.

"You ni diamlah! Mengalahkan budak-budak! Takkan panas sikit tak boleh tahan?!" Datin Sharrina pula naik menyampah dengan gelagat suaminya yang baru dinikahi 3 bulan itu. Haikal pula terkedu dengan herdikan Datin Sharrina dan terus berjalan ke luar rumah. Tidak puas hati agaknya.

Mak Jah hanya mengeleng melihat fiil menantunya yang tidak matang itu. Masakan tidak, perbezaan usia dimana Datin Sharrina tua 10 tahun dari Haikal bagai tidak sepadan langsung. Lebih kelihatan seperti adik dan kakak sahaja. Kalau tidak disebabkan desakan Datin Sharrina jugaklah, tentu Mak Jah tidak mahu merestui perkahwinan mereka. Namun memikirkan keadaan Rabiah yang tidak berbapa & Datin Sharrina yang memerlukan kasih seorang suami setelah kehilangan suami pertamanya akibat barah, Mak Jah terpaksa merelakan hubungan yang serba tak kena itu. Baginya, jodoh pertemuan itu adalah rahsia Allah S.W.T. Pasti ada hikmahnya.

Lamunan Mak Jah terhenti pabila Rabiah meronta-ronta tidak mahu melepaskannya. Terus dia mendakap cucunya itu dan memujuknya:

"Rabiah, tak baik buat mummy macam tu. Rabiah baliklah KL yekk. Nanti cuti sekolah, Rabiah datang lagi rumah nenek."

"Rabiah tak nak balik KL. Rabiah nak duduk sini dengan nenek. Nak sekolah sini dengan Adan. Rabiah tak nak balik KL, nek. Tolonglah, nek.." sendu sedan Rabiah menangis tidak rela berpisah dengan Mak Jah. Bergenang mata Mak Jah. Jauh di sudut hatinya, dia juga tidak mahu berpisah dengan cucunya itu.

"Rabiah, dengar sini sayang. Nenek akan ada kat rumah ni, tunggu Rabiah balik. Nenek janji takkan pergi mana-mana. Nenek nak Rabiah ikut mummy balik KL, temankan mummy yerr. Jaga mummy, belajar rajin-rajin. Nanti akan datang, bila Rabiah dah masuk sekolah menengah, dah besar, Rabiah boleh balik kampung, kayuh basikal keliling kampung, temankan nenek pergi mengurut. Lepas tu, nenek pula duduk kat tempat duduk belakang basikal pulak. Waktu tu, Rabiah mesti dah besarkan? Rabiah boleh bawak pulak nenek pergi jalan-jalan. Rabiah jangan menangis, sayang.."

Perhubungan nenek dan cucu itu terlalu erat, sehinggakan ibunya sendiri tidak mampu untuk meleraikan mereka berdua. Datin Sharrina berasa kesal kerana terlalu lama membiarkan Rabiah dijaga ibunya kerana terlalu sibuk dengan urusan perniagaan perninggalan arwah suami pertamanya dahulu. Dia terlupa bahawa apa yang diperlukan Rabiah bukanlah wang ringgit, tetapi perhatian dan kasih sayang dari seorang ibu.

Mak Jah segera mengelap air mata Rabiah dan berkata:

"Nenek akan tunggu Rabiah kat rumah ni, sampai Rabiah datang. Nenek janji..."

Mereka berdua berpelukan sambil menitiskan air mata.

*          *          *

"Isshh, tak boleh jadi ni." rungut Haikal sendirian. Sejak Datin Sharrina berhajat untuk membawa Rabiah tinggal bersama, Haikal menjadi tidak senang duduk. Takut-takut Rabiah akan menjadi penghalang antara dia dan Datin Sharrina. Namun, dia tidak boleh membantahkan terang-terangan untuk mengelakkan Datin Sharrina mengetahui niat asalnya perkahwinannya dengan Datin Sharrina. Bagi Haikal, cita-citanya wajib tercapai & segala penghalang matlamat harus dimusnahkan. Termasuk Rabiah.

"Assalammualaikum, pakcik," 

Terkejut Haikal dari perancangannya. Tidak sedar dibelakangnya ada seorang budak lelaki bersama basikalnya. Namun, dia terasa terhina digelar "Pakcik", sedangkan umurnya masih 20-an.

"Woiii!! Apa pakcik-pakcik?! Kurang ajar punya budak.." sergah Haikal. Ramadhan tergamam. Dia tidak menyangka lelaki itu akan memarahinya.

"Heh, kenapa kau nak marah budak tu tak tentu pasal?!" giliran Mak Jah pula menyergah Haikal. Haikal tidak menyedari mak mertua, isteri dan anak tirinya sedang menuruni tangga rumah. Datin Sharrina pula kelihatan menjinjing beg pakaian anaknya.

"Budak tu mana kenal kau. Sebab tu, dipanggilnya kau pakcik Lagipun, dia panggil kau pakcik sebab dia hormatkan kau. Takkan sebab "Pakcik" pun kau nak kata budak tu kurang ajar?? Engkau tu perangai mengalahkan budak-budak!!" leter Mak Jah dengan perangai menantunya yang serba tak matang. Haikal pula terpinga-pinga mendengar leteran Mak Jah. Datin Sharrina pula merasa malu dengan ibunya kerana bersuamikan "budak-budak".

"Assalammualaikum, makcik, Nek Jah", Ramadhan memberi salam pula kepada Datin Sharrina dan Mak Jah.

"Waalaikummussalam", sahut Mak Jah. Manakala Datin Sharrina pula hanya berdiam, seakan tidak senang dengan kehadiran Ramadhan.

"Hah, kebetulan kau ada kat sini, Adan. Rabiah kena pindah ke Kuala Lumpur, tinggal dengan emaknya. Ni Rabiah ada ni. Rabiah, pergilah cakap-cakap dengan Adan sebelum balik. Nanti rindu." Mak Jah menyuruh Rabiah untuk bertemu Ramadhan untuk kali terakhir sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Tiba-tiba, Datin Sharrina menghalang Rabiah dan berbisik kepada ibunya:

"Ehh, mak buat apa ni pulak?"

"La, kenapa pulak?" Mak Jah tidak faham dengan pertanyaan anaknya.

"Tu, budak tu bukan ke anak Salmah? Mak biarkan anak saya berkawan dengan budak luar nikah tu?"

"Astaghfirullah al azim!!!! Kau ni kenapa, Sharrina? Kenapa kau nak beza-bezakan dia dengan anak kau?" Mak Jah ternyata terkejut dengan kenyataan anaknya.

"Mak ni, budak tu kan anak haram. Saya tak nak anak saya terikut-ikut perangai tak senonoh..." belum sempat Datin Sharrina menghabiskan ayatnya, Mak Jah membalas balik,

"Ohh, kau nak katalah budak ni berdosa besar, bawa malang, sial, macam tu?? Heii Sharrina, kau ni duduk bandar bukan makin pandai, makin bodoh agaknya. Budak tu lahir pun aku yang sambut, dia pun tak tahu dia lahir jadi anak luar nikah. Dia pun tak minta lahir jadi anak haram. Yang kau ni, heboh soalkan dosa haram orang. Baik kau cermin sikit diri kau tu. Aku tak besarkan kau dengan baju tak cukup kain ni. Pakai baju dah serupa telanjang. Rambut tu dah warna serupa tupai merah. Pakai seluar ke apa ni? Ikut bentuk kaki betul. Buruk aku tengok. Ni, baju kau ni dada kau tu dah nak tersembul keluar aku tengok. Jangan pakai bajulah senang!!" Mak Jah memarahi anaknya. Dia tidak pernah mengajar anaknya menjadi sedemikian rupa. Siapa sangka, anak yang dibesarkannya dahulu dengan baju kurung dan tudung kini memilih untuk berpakaian seperti perempuan murahan.

Datin Sharrina hanya tertunduk malu dengan amarah ibunya. Haikal pula tersenyum sinis sambil berkata dalam hati:

"Padan muka. Dah tua pun nak jadi orang muda"

"Sudah. Rabiah, pergilah jumpa Ramadhan. Cepat, mummy dah nak bertolak kejap lagi." Mak Jah mengarahkan Rabiah agar lekas. Sejak dari Tadika, Ramadhan dan Rabiah sering bersama. Biarpun pernah menjadi buah mulut orang kampung, tetapi Mak Jah tidak kisah. Dia tahu siapa Ramadhan dan baginya Ramadhan seperti sebutir mutiara yang terpalit lumpur. Sayang sungguh dia menjadi mangsa syak wasangka manusia-manusia yang jumud dan sayang sekali, anaknya Datin Sharrina tergolong dalam manusia yang sebegitu juga.

Ramadhan dan Rabiah segera ke berteduh di bawah pokok. Dengan muka kekeliruan, Ramadhan bertanya pada Rabiah:

"Rabi, betul ke apa Nek Jah cakapkan tadi, kau nak pindah ke Kuala Lumpur?"

Rabiah masih tunduk kesedihan. Mulutnya masih terkunci, masih mengenang nasib berpisah dengan orang tersayang.

"Rabi, betul ke?", Ramadhan cuba mendapatkan kepastian.

Rabiah cuma mengangguk diam. masih tidak berupaya berkata-kata. Namun, Ramadhan memahami isyarat itu. Hatinya terasa berat, tidak menyangka akan berpisah dengan sahabat karibnya itu.

"Saya tak nak pindah, Adan. Saya nak duduk sini..."

"Takpelah. Awak ikutlah mak awak. Nanti cuti sekolah, awak boleh balik kampung kita main sama-sama, ok?". Ramadhan sedar dia akan berpisah dengan Rabiah.

"Saya takde kawan kat KL. Kat KL takde nenek dengan awak."

"Isshh, janganlah nangis. Mak dan ayah awak mesti rindu awak. Awak mesti tinggal dengan mak ayah awak. Saya dan Nek Jah akan tunggu awak kat sini. Jangan lupa kami disini, ya?" . Ramadhan cuba menahan kesedihan.

Rabiah hanya mendiam seribu bahasa. Dia kelu untuk menyuarakan kesedihan untuk berpisah. Apalah daya untuk berpisah, sedangkan neneknya dan Ramadhan meredhai pemergiannya. Mereka mahukan yang terbaik untuk Rabiah.

*     *    *

Di tepi pantai, lagi sekali air mata Ramadhan menitis. Jika selalunya Rabiah ada disisi menghulurkan tisu, kita segalanya hanyalah kenangan. Rabiah sudah 2 minggu berada di Kuala Lumpur bersama ibu dan bapa tirinya. Kini dihatinya hanyalah kerinduan dan kekosongan yang tak berganti untuk sahabat karibnya. 

Sesi mengaji dan hafazan bersama Ustaz Shah menjadi serba tak kena. Beberapa kali dia tersasul dan tersalah tajwid. Ustaz Shah kehairanan melihat muridnya yang paling bijak kini menjadi hilang arah. Selesai kelas mengaji, Ramadhan segera ke basikal dan pulang ke rumah. Takut-takut ibunya menunggu di pintu rumah nanti. 

"Kenapalah kelam kabut budak ni?" rungut Ustaz Shah sendirian. Baru tadi dia berniat untuk menyapa Ramadhan yang sudah jauh mengayuh basikal. 

Isnin, 24 September 2012

Misteri Tingkat 13 KLCC



Assalamualaikum dan selamat sejahtera, ini ada suatu kisah misteri yang berlaku di tingkat 13 KLCC, dikatakan kisah benar yang mengerikan lagi menyeramkan ini terjadi kepada seorang staff lelaki yang bekerja di tingkat 40 bangunan KLCC.

Pada hari tersebut (hari Khamis malam Jumaat) beliau ada membuat OT dan terpaksa pulang agak lewat kira-kira jam 11 malam sendirian. Sampai di depan lif, dia pun tekan tombol untuk turun. Kemudian,pintu lift terbuka tanpa ada sesiapa di dalamnya. Dia masuk dan tekan tombol “G” untuk ke Ground floor.

Tetapi entah mengapa, lift yang dia naiki itu terus naik ke atas, tidak turun ke bawah. Ketika sampai di tingkat 59, lift tersebut berhenti. Dan pintu lif terbuka… kemudian masuklah seorang perempuan yang cantik dan menawan sekali sambil tersenyum manis. Dia tak pernah melihat perempuan itu sepanjang bertugas di KLCC. Perempuan tadi pun masuk dan berdiri di belakangnya.

Dia tertanya-tanya di dalam hatinya… “Siapa perempuan itu, dan kenapa sudah lewat malam belum pulang ke rumah?” Mau disapa terasa malu pula, jadi masing-masing saling diamlah. Dalam suasana hening sepi itu, lift tersebut terus meluncur turun dari satu tingkat ke satu tingkat.

Tiba di tingkat 13, lampu lift terpadam dan lift terhenti. Dia mencium bau yang teramat busuk, yang mengganggu rongga hidungnya. Bulu romanya tiba-tiba berdiri. Dalam keadaan yang begitu cemas dan seram, dia cuba menenangkan perasaannya dengan membaca apa sahaja ayat-ayat suci yang terlintas diingatannya sambil memberanikan diri untuk menoleh ke belakang setelah lampu lift menyala. Tiba-tiba saja, perempuan yang berada belakangnya ketawa ……… dan segera berkata ……..

“Maaf ya… saya kentut…abang jangan marah ya ?” :p

Hahahahahha…

Thankz to: Pen Patah

Ahad, 29 Julai 2012

Jambatan ke Ilahi



Andai iman itu jambatan,
Bertiang lima bersendi enam,
Sempurna rukun islam dan iman,
Sempurnalah jua anak adam.

Perbuatkanlah jambatanmu dengan batu,
Agar terhindar dari malapetaka,
Bersaksilah Allah itu Satu,
Berkatalah Muhammad itu pesuruhNya.

Seraya Luqman berpesan,
Taatlah kepada ibu bapa kita,
Dikandung selama sembilan bulan,
Kasih dan sayang mereka untuk selamanya.

Kalau bertiti,
Biarlah berhati-hati,
Kalau berhajatkan cinta Ilahi,
Kejarlah Ukhrawi.

Umpamakan doa itu jambatan,
Maka jambatan itu ke syurga,
Teguhkan diri pada Sunnah dan Al-Quran,
InsyAllah terciptalah bahagia.

Selangkah demi selangkah,
Berjalanlah tanpa henti,
Tiada putus asa dalam ibadah,
Cekalkan iman, teguhkan hati.

Khamis, 15 Mac 2012

Kemaafan Ramadhan (Bab 3)


BAB 3

Angin menderu, ombak menghempas diri di pantai. Geloranya makin kuat tatkala air pasang. Begitu juga jiwa Ramadhan. Jiwanya kian melara mengenang nasib badan. Bekas pukulan ibunya semalam masih berbekas di lengannya. Dia merintih kesakitan. Di sekolah, dia terpaksa memberi alasan jatuh tangga kepada guru kelasnya yang bimbang melihat tanganya sedikit membengkak. Dia berbohong demi menjaga maruah ibunya.
“Ya Allah, sakitnya” Ramadhan cuba menahan kesakitan. Syukur Alhamdulillah diatas keprihatinan Cikgu Habibah, guru kelasnya yang telah membantu merawat dan mengurut bengkak di tangan, bisanya sedikit berkurangan. Namun, jiwanya melirih memikirkan sikap ibunya. Dia sebak didalam hatinya, harapannya seakan menipis.

Seawal 10 tahun, dia telah menerima pelbagai ujian dari Allah S.W.T. Tidak sesekali dia meminta dugaan begini, namun sudah tertulis takdir untuknya. Meskipun dia hidup tanpa kasih sayang ibunya, dia sentiasa percaya adanya kasih sayang dari Allah S.W.T. Bersaksikan matahari yang kian terbenam di garisan ufuk, dia sentiasa berdoa, agar suatu hari nanti dia berjaya meraih kemaafan dari ibunya seandainya itulah satu-satu cara agar ibunya dapat menerimanya. Tidak sekelumit dendam tersimpan, cuma jiwa yang penuh kekosongan itu menjadikan dia mengalir airmata. Dia tertanya, siapakah ayahnya? Kemanakah ayahnya menghilang? Seandainya ayahnya ada, apakah dia disayangi seperti kanak-kanak lain dikampung ini? Apakah dia berjaya mencium tangan ibunya sebelum tiba masa ajalnya nanti?

“Assalammualaikum, Ramadhan”
Lamunan kelam Ramadhan terhenti. Kehadiran Ustaz Shah dan Rabiah ternyata mengejutnya. Dia langsung tidak sedar yang Ustaz dan Rabiah sudah lama berada dibelakangnya.

“Waalaikummusalam, Ustaz,” Ramadhan segera menyeka air matanya sambil bersalaman dengan Ustaz Shah. Ustaz Shah dan Rabiah mengambil tempat duduk disebelah Ramadhan.

“Kenapa dengan tangan kamu ni?” tanya Ustaz Shah.

“Tak ada apa ustaz. Cuma, jatuh tangga...” tidak sempat Ramadhan menghabiskan alasannya, Rabiah menyampuk;

“Mak dia pukul, Ustaz”, terang Rabiah.

“Rabiah!” Ramadhan ternyata marah dengan penjelasan Rabiah. Usahanya untuk mempertahankan ibunya ternyata gagal dengan mulut tempayan Rabiah.

“Sudah kamu berdua. Tak payah bergaduh,” Ustaz Shah cuba meredakan ketegangan. Ramadhan sempat menjeling ke arah Rabiah, tanda tidak puas hati. Manakala, Rabiah seakan rasa bersalah dengan sikapnya yang sedikit lurus bendul memberitahu ustaz, dia tidak berniat menyinggung perasaan kawannya;

“aku minta maaf, Ramadhan. Aku tak sengaja..” Rabiah memohon maaf kepada Ramadhan.

“Sudahlah, Ramadhan. Istighfar banyak-banyak,” Ustaz Shah memahami keadaan Ramadhan. Dia tahu perkara sebenarnya yang berlaku.

“Dalam kehidupan kita, tak semua yang berlaku seperti yang kita rancang. Ramadhan, kamu terlalu muda untuk memahami semua ini. Ustaz faham dengan jiwa kamu yang semakin memberontak...”

Kata-kata Ustaz Shah terhenti tatkala terlihat air mata Ramadhan yang berlinang. Sebak hatinya melihat anak itu menghadapi dugaan ini. Dia sendiri kehairanan, apakah silapnya Ramadhan sampai separuh mati ibunya sanggup memukul & membenci anaknya seteruk ini?

“Nah, Ramadhan. Lap air mata kau tu,” Rabiah menghulurkan sehelai tisu. Itu sahaja yang mampu dilakukan olehnya untuk merawat luka Ramadhan.

“Biarpun ibu kita adalah sekejam-kejamnya manusia, dia tetap ibu kita. Janji Allah Subhanallah Taala menyatakan syurga seorang anak letaknya pada keredhaan ibu. Biarpun apa yang terjadi, patuhlah pada ibu kamu asalkan tidak menyuruh kamu membelakangkan agama. Kamu ingat lagikan apa yang Ustaz pernah cakap dalam kelas?” Ustaz Shah menjelaskan hakikat keredhaan seorang ibu adalah penting untuk seorang anak untuk terus berjaya di dunia & akhirat.

Ramadhan mengangguk pelahan menahan sedihnya. Dia beristghfar di dalam hatinya. Terlalu sukar untuk dia memahami semua ini. Terlalu berat dugaan yang dipikul. Tanggungjawab sebagai anak menjadi satu cabaran hidupnya.

Disepanjang perjalanan pulang, hatinya bingung memikirkan apa yang perlu dilakukan. Hari kian membuka jendela malam. Dia harus pulang secepat mungkin. Meskipun Ustaz Shah menemani dia pulang bersama, kesempatan itu jangan disalahgunakan.

“Assalammualaikum, mak..”

“Waalaikummussalam, masuk cepat,” Salmah mengarah Ramadhan. Niatnya untuk menghambur kemarahan terpaksa ditahan pabila terlihat Ustaz Shah di laman.

“Assalammualaikum, Sal”, Ustaz Shah mengutus salam kepada Salmah. Kelihatan Salmah seperti tidak senang dengan kehadirannya.

“Waalaikumussalam, Shah. Lama tak jumpa kau...” Salmah bagaikan menahan gelodak dalam hatinya. Biarpun sekampung, namun sudah sekian lamanya dia menjauhkan dirinya dari masyarakat. Teramat dia merindui hidupnya, sebelum peristiwa hitam “itu” berlaku.

“Aku pun. Dah lama kau mengasingkan diri dari orang kampung...” balas Ustaz Shah.
Terlihat Ustaz Shah, Salmah melihat ketenangan. Ustaz Shah bukan seseorang yang asing baginya. Dialah satu-satunya kawan yang masih setia bersama dan tempat untuk meluahkan perasaan setelah Salmah dibuang keluarga.

“Nak buat macam mana, Shah. Begini hidup dalam buangan, aku takde sesiapa lagi dalam hidup aku. Mak dan Ayah dah lama takde. Abang Azman terus hilang takde khabar berita. Adik beradik semua dah buang aku jauh-jauh..” sebak Salmah. Hiba di dada cuba ditahan, mengenangkan bilanya surut kesedihan di hati.

“Istighfar, Salmah. Bawak bersabar banyak-banyak,” ujar Ustaz Shah memahami.

“Kau jela satu-satu kawan yang aku ada. Kau seorang jela yang rajin nak jenguk orang yang hina macam aku,” kata Salmah menahan air matanya. Dia tidak dapat menahan perasaan terharu di hatinya.

“Kau jangan sebut macam tu, Salmah. Kita dah lama kenal. Biarlah orang kampung nak cakap apa pun. Aku faham perasaan kau dan aku tau, kau tak bersalah. Mungkin dah takdir ujian ni yang kau kena terima. Terimalah qada dan qadarNya”, kata Ustaz Shah turut sebak dengan kata-kata Salmah.

“InsyAllah”, Air mata Salmah akhirnya tertumpah jua. Dia tidak dapat sedihnya.

“Aku dan Ramadhan akan terus berada disisi kau. Kami takkan...” belum sempat Ustaz Shah menghabiskan ayatnya, Salmah segera memintas:

“Cukup, aku tak nak dengar nama budak tu lagi.”

“Sudahlah tu, Salmah. Sampai bila kau nak menghukum budak tu? Dia pun tak tau mana asal usul dia. Dia pun cuma mangsa keadaan. Kau pun...” sekali lagi, kata- kata Ustaz Shah dipintas oleh Salmah.

“Shah, cukuplah. Kau tak payah nak beritahu aku perlu buat kat budak tu. Dah, cukup. Baik kau balik, Shah. Sebelum orang kampung fitnah kau pulak dengan aku. Baik kau pergi sekarang!” Salmah ternyata marah dengan kata-kata Ustaz Shah.

“Astaghfirullah, Sal. Tak perlu nak syak wasangka pulak.” Ustaz Shah terkilan apabila Salmah menghalaunya. Salmah terus meluru ke dalam rumah. Dia segera menutup daun pintu, tanpa menghiraukan Ustaz Shah. Meskipun di hatinya bersalah memperlakukan kawannya sedemikian rupa, namun terasa perit mengenangkan kebenaran kata-kata kawannya. Umpama menelan kepahitan, Salmah terasa dirinya bodoh. Namun, baginya dendam mengatasi segala-galanya. Tiada guna dia menyayangi Ramadhan, anak celaka itu. Kerana anak itu, dia hilang semua yang dikasihi.

Selasa, 16 Ogos 2011

Kemaafan Ramadhan (Bab 2)




BAB 2

10 tahun kemudian

“Allahuakbar, Allahuakbar” azan maghrib berkumandang. Seisi kampung kini di rumah masing-masing menyambut ketibaan malam. Ada yang sedang bersiap hendak ke masjid, ada yang sedang memasak untuk makan malam, ada yang sedang menyucikan diri & ketika ini, Ramadhan sedang memperbetulkan baju dan kain pelikat yang dipakainya. Dia sedang bersiap untuk ke masjid untuk menyertai kelas mengaji bersama kawannya, Rabiah. Selesai bersiap, dia mengapai beg yang berisi Al-Quran serta rehal di atas almari bajunya. Dia terdengar jeritan Rabiah dari luar rumah;

“Assalammualaikum, Ramadhan. Wei, awak dah siap ke belum?”
Ramadhan tersenyum girang terus ke tingkap dan melihat rakannya, Rabiah yang comel mengenakan baju kurung siap bertelekung menunggang basikalnya.

“Waalaikummussalam. Rabi, kau tunggu kejap. Nanti aku turun” balas Ramadhan geli hati melihat telatah kawannya berpeluk tubuh sambil menunggunya.

Ramadhan segera berlari ke dapur untuk mendapatkan ibunya. Salmah yang ketika itu hendak ke bilik air untuk mengambil wuduk.

“Mak, mak. Adan pergi mengaji, mak” kata Ramadhan kepada ibunya. Namun, Salmah sedikit pun tidak memalingkan mukanya ke arah anaknya. Dia berpura-pura tidak peduli pada anaknya. Ramadhan yang sudah terbiasa dengan sikap ibunya terus berlalu pergi, biarpun dalam hatinya agak sedikit terkilan dengan perilaku ibunya selama ini. Bukan sekali ibunya bersikap begini. Dari kecil, dia tidak pernah dimanjakan ibunya. Baginya, caci maki serta sikap tidak peduli dari ibunya sudah menjadi kebiasaan. Adakalanya, ibu tidak memperdulikan apa yang terjadi pada dirinya. Pernah suatu ketika, dia diherdik ibunya sebagai “anak sial” di khalayak ramai kerana mahukan kereta mainan sewaktu dia kecil. Jauh disudut hati Ramadhan, dia sangat dahagakan kasih sayang dari satu-satu ibunya, sementelah mengetahui dia tidak menpunyai bapa. Dia pernah bertanyakan perihal bapanya pada ibunya, namun apa yang didapati hanyalah kata-kata kesat dan maki hamun dari ibunya yang mengatakan dia amat membenci bapanya & Ramadhan sendiri. Kini, biarpun dia cumalah budak berumur 10 tahun, namun dia sering bermunajat pada Allah agar ibunya dapat menerimanya & segala kebenaran mengenai siapa dirinya terungkap satu hari nanti. Seperti mana kata-kata Ustaz Shah yang sering menjadi pegangan bahawa “syurga di bawah tapak kaki ibu” tatkala dia bersabar tika mengenangkan nasib diri yang tidak diterima ibu kandungnya sendiri.

“lambatnya....” rungut Rabiah.

“Dah siap dah, jom”, ajak Ramadhan. Dia cuba menyembunyikan rasa sedihnya dari pengetahuan Rabiah. Mereka berdua terus mengayuh basikal masing-masing ke masjid. Di sepanjang perjalanan, keadaan Ramadhan yang senyap membuatkan Rabiah tidak senang hati;

“Wei, awak kenapa Ramadhan? Kenapa tiba-tiba senyap ni?”

“Eh, tak ada apalah, Rabiah. Aku macam tak sedap perut je sekarang ni”, Ramadhan tidak mahu menceritakan apa yang terbuku dihatinya. Dia tidak mahu Rabiah tahu mengenai sikap ibunya.
Sesampai di masjid, kelihatan Ustaz Shah baru sahaja selesai mengambil wuduk. Ramadhan dan Rabiah segera menempatkan basikal mereka di sebuah pokok, lalu berjalan ke arah Ustaz dan memberi salam dengan kuat;

“Assalammualaikum ya Ustaz!!” laung mereka.

“Waalaikumussalam. Astagfirullah, kamu berdua ni tak payahlah bagi salam kuat-kuat. Runtuh masjid ni nanti...” ngomel Ustaz Shah tersenyum melihat keletah dua anak murid kesayangannya yang tersengih-sengih.

“Sudah. Sekarang ni, kamu berdua dah ambil wuduk ke belum? Cepat, solat maghrib nak mula ni..”

“Baik, ustaz”, kata Ramadhan. Dia sentiasa akur & mendengar kata ustaz kesayangannya. Ustaz Shah sememangnya peramah serta menyayangi kanak-kanak & Ramadhan adalah antara murid kesayangannya. Sejak Ramadhan dilahirkan, dia selalu membantu Salmah menjaga Ramadhan kerana baginya, anak kawan-kawannya umpama seperti anaknya sendiri. Semenjak dia kehilangan isteri dan anaknya sewaktu nahas jalan raya dulu, dia memutuskan untuk tidak berkahwin lagi. Meskipun begitu, adakalanya Ustaz Shah cumalah bapa yang amat rindukan keletah kanak-kanak. Kerana itu, Ustaz Shah mengabdikan dirinya di masjid untuk mengajar hafazan Al-Quran dan ilmu-ilmu agama kepada anak-anak kecil di kampung, untuk merawat kedukaannya. Melihat Ramadhan, baginya seperti melihat anaknya yang telah lama mengadap ilahi. Sedikit sebanyak, melihat Ramadhan membesar membuatkan dia merasa bahagia.

Selesai solat maghrib berjemaah, kelas hafazan Al-Quran dimulakan. Ketika ini, semua murid Ustaz Shah bergilir-gilir membaca ayat Al-Quran sambil diteliti tajwidnya oleh Ustaz Shah. Begitu juga Ramadhan dan Rabiah. Untuk kelas pada malam itu, Ramadhan lebih fokus untuk memperbetulkan sebutan tajwidnya, manakala Rabiah masih mengaji Muqaddam. Kedua-duanya kelihatan tekun, namun adakalanya kemesraan antara dua sahabat ini terpancar apabila mereka sempat mengusik antara satu sama lain. Ustaz Shah yang memerhati cuma mengeleng kepala sahaja. Lucu melihat telatah dua sahabat karib itu.

“Sadakallahuazim”, demikian berakhirnya kelas hafazan pada malam itu. Kesemua pelajar beransur pulang. Begitu juga Ramadhan, Rabiah & Ustaz Shah. Setelah memohon diri dan bersalaman dengan Ustaz Shah, Rabiah dan Ramadhan segera mendapatkan basikal mereka untuk pulang.

“Adan, kau dah hafaz Al-Quran sampai Juzuk berapa?” tanya Rabiah.

“3, kenapa?” jawab Ramadhan ,hairan dengan soalan Rabiah.

“ Huhhh...Banyak lagi aku nak kejar kau. Kau dah sampai baca Al-Quran, aku ni tak habis lagi mengaji Muqaddam” rungut Rabiah. Ternyata, dia cemburu dengan pencapaian hafazan Ramadhan.

“Hahahaha....”, Ramadhan begitu geli hati mendengar penjelasan sahabatnya. Rabiah yang sedikit masam turut tertawa kecil.

“Ala, relaks la. InsyAllah, nanti lama-lama habislah mengaji Muqaddam tu. Lepas tu, kau tu bolehlah kau mula baca Al-Quran”

“Tapi, apapun kau tak boleh potong aku..hahahaha” usik Ramadhan. Rabiah yang mendengar terus mengacah basikal Ramadhan tanda tidak puas hati.

“Iyalah, aku taulah kau mengaji dulu dari aku. Memanglah kau cepat” rajuk Rabiah. Dia seolah-olah menyesal kerana menolak kata-kata neneknya untuk mengaji sejak dari darjah 1. Dia mula mengaji apabila mengetahui Ramadhan sudahpun membaca Al-Quran dari darjah 2 dari neneknya. Dia terasa ketinggalan dari kawannya.

Tiba-tiba, basikal Ramadhan terhenti. Rabiah yang mengikuti di sebelahnya terkejut;

“kenapa, Ramadhan? Kenapa kau berhenti?” soal Rabiah. Dia memandang Ramadhan yang kelihatan agak pucat mukanya. Rabiah menoleh kedepan. Barulah dia tahu. Rupa-rupanya Ibu Ramadhan, Salmah terpacak di depan muka pintu. Dia dapat mengagak sesuatu bakal terjadi.

“Macam mana ni Ramadhan? Mak kau macam tengah marah tu” Rabiah berasa tidak senang hati. Rabiah juga tahu akan perangai ibu Ramadhan, seorang yang amat garang. Berkali-kali dia pernah menyaksikan Ramadhan di”baham” ibunya didepan matanya.

Ramadhan pula hanya diam seribu bahasa. Dia ternyata sedikit kecut. Melihat ibunya di depan pintu mengundang rasa resahnya. Seperti Rabiah, dia juga tahu ada sesuatu yang tak kena.

Rabiah dan Ramadhan terpisah di pintu pagar rumah. Ramadhan menuju ke halaman rumahnya, manakala Rabiah meneruskan perjalanannya. Namun, Rabiah sengaja memberhentikan basikalnya di sebalik pokok untuk memerhatikan apa yang bakal terjadi.

“Assalammualaikum, mak...” Ramadhan memberi salam pada ibunya. Melihat wajah ibunya yang merah padam umpama gunung merapi yang bakal meletus, Ramadhan bagaikan tahu apa yang bakal terjadi.

“Woii, budak bodoh!! Kau ingat aku nak tunggu lama-lama kau balik masjid? Kau ingat kau siapa, hah??? Wei, anak sial! Kalau tak sebab orang kampung duk kecoh cakap aku kejam kat anak sial macam kau, dah lama aku kunci saja pintu. Biar kau tidur kat depan rumah ni sampai pagi.” amukan Salmah bagaikan tidak dibendung. Anaknya diterkam di tangga, lalu dilempang berkali-kali serta telinga Ramadhan dipulas sekuat-kuatnya. Berkali-kali Ramadhan memohon maaf, namun tidak diendahkan. Ternyata amarah Salmah amat menggila.

“Mak, Adan minta maaf mak. Adan janji tak buat lagi...”, berkali-kali Ramadhan merayu-rayu. Dia diseret ibunya masuk kedalam rumah. Selepas daun pintu ditutup rapi, raungan Ramadhan kedengaran makin jelas.

Rabiah yang memerhati kejadian itu dengan mata berlinang. Dia terlalu kecil untuk mempertahankan kawannya. Dia tidak tahu hendak mengadu pada siapa. Dia tidak tahu hendak buat apa.

Sabtu, 13 Ogos 2011

Kemaafan Ramadhan (Bab 1)


BAB 1

Pada suatu subuh Ramadhan, kelihatan riuh rendah di sebuah rumah itu. Seorang lelaki kelihatan resah mundar mandir di anjung rumah. Masakan tidak, didalam rumah tersebut, ada seorang wanita sedang bersabung nyawa melahirkan satu lagi hamba Allah dimuka bumi ini. Disisi wanita itu, seorang mak bidan membantu menyambut kelahiran bayi itu.

“Salmah, dengar cakap Mak Jah ni. Kali ni, kau teran kuat-kuat,” kata Mak Jah resah. Dia merasa runsing, kedudukan bayi adalah songsang, menyukarkan lagi proses kelahiran.

“Ya Allah!! Saya tak tahan, Mak Jah!!” Jeritan Salmah sedikit sebanyak memecah keheningan subuh di perkampungan itu.

“Aduh, macam mana ni,” keluh Mak Jah. “Lepas ni, ambil nafas banyak-banyak. Mak Jah cuba lakukan yang termampu”.

“Kenapa, Mak Jah? Saya terdengar dari luar Salmah menjerit. Ada apa-apa ke?” Ustaz Shah panik.

“Tak ada apa ustaz. Salmah cuma susah nak beranak je. Budak dalam kandungan ni songsang kedudukannya,”

“Ustaz tak perlu risau. InsyAllah, Mak Jah cuba usaha,” kata Mak Jah cuba menenangkan Ustaz Shah yang kerisauan.

Bagaikan jiwa tidak keruan, Ustaz Shah segera melantunkan zikir-zikir dan doa:

“Ya Allah tidak ada kemudahan selain apa yang Engkau jadikan mudah dan Engkau dapat menjadikan perkara sulit menjadi mudah jika Engkau kehendaki”

Bagaikan rahmat dari Allah Subhanallah Taala yang memperkenankan doa-doa hambaNya yang bertakwa, bayi itu berjaya dilahirkan dengan selamat. Seorang bayi lelaki yang sempurna sifatnya. Kini, wajah kerisauan Mak Jah bertukar riang, seraya dihatinya mengucapkan Alhamdulillah kepada Yang Esa. Salmah yang tercungap-cungap, kini boleh bernafas dengan lega. Bayi itu segera dimandikan& dipakaikan kain putih dengan penuh cermat. Setelah itu, Mak Jah meletakkan bayi itu disisi ibunya.

“Alhamdulillah, Salmah. Kau dapat anak lelaki, Salmah” kata Mak Jah. Mak Jah segera bingkas mendapatkan Ustaz Shah di anjung untuk mnyampaikan khabar gembira itu. Namun, berita gembira itu umpama berita kebencian yang langsung tidak menyenangkan hati Salmah.

“Ustaz! Ustaz!! Alhamdulillah ustaz, Salmah bersalin dengan selamat,”

“Syukur Allahamdulillah. Anak lelaki ke perempuan?” tanya Ustaz Shah turut gembira.

“Anak lelaki,” kata Mak Jah. Kemudian Mak Jah segera ke bilik bersalin untuk menemui Salmah. Dia terlupa untuk menyuruh Salmah mengazankan anaknya.

“Salmah, kau dah azankan anak kau ke belum? Cepatlah azankan..”

Salmah diam membatu. Dia bagaikan dilema, samada mngazankan anaknya atau tidak. Dalam hatinya berkecamuk, dia keliru untuk menyayangi atau membenci anak yang baru dilahirkannya. Bagi dia, anak itulah punca segala kebahagiaannya diragut dahulu. Kerana anak itu, dia kehilangan syurganya, suatu tika dahulu. Kegembiraan tiada lagi terpancar pabila usia kandunganya mencecah 5 bulan, tidak seperti ibu-ibu yang lazimnya gembira akan kandungan membesar.

“Salmah, kau dengar tak?” Mak Jah menghentikan lamunan Salmah.

“Saya tak nak bayi ni. Dia bukan anak saya..” kata Salmah tersekat-sekat. Dia bagaikan menahan amarah, namun di hati dia ingin menangis kekesalan. Segalanya bercampur baur.

“Salmah, yang sudah tu sudahlah....” belum sempat Mak Jah menghabiskan kata-katanya, Salmah terus memaki Mak Jah& melepaskan apa yang terpendam dalam hatinya.

“Saya dah kata tak nak, tak naklah! Anak ni anak sial, dia bukan anak saya. Sebab budak ni, saya hilang mak ayah saya. Sebab budak ni, abang Azman tinggalkan saya. Saya tak nak, saya tak nak!!”
Rontaan Salmah menakutkan Mak Jah. Takut-takut Salmah meroyan kerana baru sahaja lepas bersalin. Bayi disisi Salmah turut menangis terkejut dengan rontaannya. Mak Jah segera mengambil bayi itu dari sisi ibunya yang dikhuatiri meroyan itu.

“Astagfirullah, Salmah. Bawak mengucap banyak-banyak..” Mak Jah cuba menenangkan Salmah.

“Kalaulah aku gugurkan kau dari dulu lagi...” kata-kata Salmah menyebabkan Mak Jah terus menjauhkan bayi itu dari Salmah, apatah melihat Salmah bagaikan dirasuk menjegil matanya ke arah anak kecil yang tidak berdosa itu. Mak Jah takut Salmah akan mengapa-apakan anaknya sendiri. Dia terus mebawa anak itu berjumpa Ustaz Shah di luar.

“Ustaz, tolonglah saya. Salmah sekarang macam tengah meroyan, ustaz”. Mak Jah kerisauan.

“Astagfirullah, macam mana boleh jadi macam tu?”

“InsyAllah, tak ada apa-apala ustaz. Biasalah, orang baru lepas bersalin. Apapun, saya nak minta tolong ustaz untuk mengazankan budak ni. Kesian budak ni...” rintih Mak Jah simpati akan nasib bayi itu kelak. Emaknya tidak redha akan kelahiranya, malah membencinya. Mak Jah segera memangku bayi itu ke tangan Ustaz Shah untuk diazankan.

“Bismillahirrahman Irrahim”. Ustaz Shah membetulkan kedudukan ke arah qiblat dan terus mengazankan di telinga kanan serta Iqamat di telinga kiri bayi itu. Mak Jah yang menyaksikan kejadian itu menjadi sebak, sebak sehingga menitiskan airmatanya. Dalam hatinya, dia berdoa agar Allah memelihara nasib itu serta memberikan ketabahan kepada anak kecil itu untuk mengharungi hidup-hidupnya yang akan mendatang. Di sudut hati mak Jah, dia tahu anak kecil itu akan mengharungi pelbagai dugaan besar disepanjang hidupnya. Dia juga memohon agar Salmah dapat menerima anaknya dengan rela.

“Mak Jah, Salmah dah berikan nama?” tanya Ustaz Shah.

“Belum lagi, Ustaz. Mak Jak tak sempat nak tanya..Salmah kan masih tak tenteram lagi” Mak Jah sengaja berdalih. Dia tidak tahu bagaimana cara untuk menerangkan pada ustaz bahawa Salmah tidak menerima anaknya. Malahan, Mak Jah sendiri merasa mustahil untuk bertanya pada Salmah memandangkan situasinya sekarang. Pasti disumpah seranah anaknya sendiri jika ditanya nama anaknya.

“Saya rasa baiklah ustaz sendiri namakannya. Saya pasti, Salmah pasti setuju dengan cadangan ustaz. Ustaz kan kawan baik Salmah”, cadang Mak Jah sambil tersenyum pahit sedikit. Dia cuba untuk tidak menunjukkan sebarang permasalahan yang berlaku.

“Kalaula budak ni anak saya, tentu saya namakan dia RAMADHAN sebab dia dilahirkan pada bulan Ramadhan, yakni bulan kerahmatan”, seloroh Ustaz Shah kegembiraan. Dia terasa bagaikan menyambut anaknya sendiri, meskipun bayi itu adalah anak sahabat karibnya dari kecil lagi.

“itulah seelok-eloknya, ustaz”, sokong Mak Jah. Baginya, apa yang diperkatakan Ustaz Shah adalah benar. Nama yang baik akan membawa rahmat pada pemiliknya& Mak Jah berharap agar Ramadhan mampu merubah hati Salmah untuk menyayangi dirinya. Subuh kian berlabuh kini menampakkan suria mengembangkan sinarnya. Keindahan fajar bagaikan meraikan kelahiran seorang anak kecil yang bernama Ramadhan.

Khamis, 4 Ogos 2011

Mohon Maaf


Assalammualaikum, semua. Aku penglipur lara nak minta maaf banyak-banyak sebab tak menunaikan janji-janji untuk menerbitkan novel bersiri secara online "Adakah Untuk Kita". Novel bersiri tu tak dapat disiarkan buat masa sekarang, memandangkan internet interruption+ ketidaksesuaian waktu menjadi masalah penglipur lara tak dapat nak berlara meng"update" blog ni. Apapun, korang tak payah berkecil hati kerna rancangan novel bersiri tetap berjalan, cuma ceritanya bukan seperti dijanjikan. Okla, Apapun aku memohon seribu kemaafan sempena Awal Ramadhan ni diatas kekhilafan yang berlaku. Sebagai ganti, terimalah sebuah novel bersiri sempena Ramadhan ini, "Kemaafan Ramadhan"....

Jumaat, 22 Julai 2011

Jalan Terakhir


Nanti di persimpangan jalan
Pilihlah
Ikutilah
Kata hatimu

Kau jalan tak berhenti
Melawan kesepian
Mencari kebahagiaan di setiap sisi perjalanan
Yang mungkin lurus atau sebaliknya
Itu terpulang pada dirimu

Permulaan dari rahim
Kita meniti kehidupan
Ada perkara jijik, ada perkara mulia
Berkalang antara dosa dan pahala
Kita harungi dengan kebijaksanaan

Kehidupan
Banyak drama dan realitinya
Banyak jatuh, banyak juga bangkitnya
Namun,
Sesungguhnya kejatuhan yang nyata adalah ketidakbangkitan selama-lamanya

Jalan terakhir
untuk sekiannya
untuk penghujung tanpa sesalan
Tiada kisah selain noktah
Tamat dengan penuh kebanggaan
Dari sepanjang perjalanannya yang dulu.

Khamis, 21 Julai 2011

Cubaan Garapan

Assalammualaikum, semua. Untuk bermulanya sambutan bulan Ramadhan Al-Mubarak ni, aku akan cuba mengarap sebuah cerita dari minggu ke minggu. Urmm, ni adalah percubaan pertama aku untuk memaparkan hasil nukilan aku secara online. So, aku harap korang, kawan-kawan aku dapat membaca hasil kreativiti aku, ok? Sekarang ni, draf cerita aku dah rangka. So, apa kata korang check-it-out sipnosisnyer ok??

Sipnosis:


Apakah rasa cinta? manis? pahit? Apakah cinta sememangnya terjanji bahagia? Pengakhir segala duka? Bagaimana cinta yang terhalang? Adakah PANGKAT, LATAR BELAKANG yang menjadi ukuran? Sesungguhnya cinta itu anugerah Allah S.W.T. Tiada yang mampu merubah takdir selain dariNya, andai jodoh dia bukanlah untukmu, biarpun dia bererti bagimu. Alamilah Kecekalan Annissa menemukan syurga hatinya, Ketabahan Khalif menepis kehinaan, Kasih Sayang Mia yang tak berbelah bagi& Kerinduan Hazrul meraih cinta seumur hidup. Masa berlalu, undang ketawa& sendu mereka dalam perjalanan meraih cinta dipenghujungnya.

Amacam? ok tak sipnosis?? Aku pun tak sabar nak tulis bab 1. Harap-harap penulisan aku konsisten kali ni. OK, jumpa lain kali. Assalammualaikum.

Sabtu, 26 Mac 2011

Keluh Kesah

penulis antologi: Usman Awang
tahun: 1934
buku: Titian Zaman

penulis sajak: Pungguk


Waktu senja burung terbang
Waktu adinda bersedih cita
Hancur dan lebur di kalbu abang
Sedihkan adik panah dewata

Waktu dinihari malam yang sunyi
Waktu kanak-kanak kehilangan ibu
Abang meratap berbagai bunyi
Merindukan adik bernyala di kalbu

Waktu subuh menyingsing di angkasa
Waktu tabuh bersahut-sahutan
Abang termimpi berbagai rasa
Adik disangka hanyut di lautan

Waktu kabut menyambut siang
Waktu makhluk bangun berkerja
Abang terlalai waktu sembahyang
Asyikkan adinda intan durja

Isnin, 22 November 2010

HATI



buka matamu,
aku bukannya itu

hidupmu, hidupku,
batasmu, batasku,
asamu, asaku,
kau mengerti?

bersatu dalam takdir,
bersama dalam iman,
namun,
egomu jadi sempadan

salahkahku mengasihi?
kerana naluri
salahkahku menyayangi?
kerana perasaan
salahkahku menyintai?
kerana jiwa

mana temanku? mana kasihku? mana syurgaku?
apa yang ada untukku untukmu?

tak terdalam lautan kasih?
tak terluas daratan sayang?
tak bersempadan langit cinta?
Maka, nikmat Tuhan mana yang engkau mahu dustakan?

tutup matamu,
pandanglah oasis itu
kerana itulah hatimu.....

Selasa, 27 Oktober 2009

Ganti

Sudahlah

Biarkan ia berlalu

Biarkan daku menapak

Biarkan harapanku retak

Malam

Sepinya alam

Jiwaku kelam

Berulit pilu tiada teman

Daku kesepian

Moga yang berlalu

Berlalulah pergi

Moga yang hilang

Ku temu jua

Biarkan cuma ganti

Asalkan terubat sepiku

Biarkan

Biarkan

Pages

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...