Blogger news

Selasa, 16 Ogos 2011

Kemaafan Ramadhan (Bab 2)




BAB 2

10 tahun kemudian

“Allahuakbar, Allahuakbar” azan maghrib berkumandang. Seisi kampung kini di rumah masing-masing menyambut ketibaan malam. Ada yang sedang bersiap hendak ke masjid, ada yang sedang memasak untuk makan malam, ada yang sedang menyucikan diri & ketika ini, Ramadhan sedang memperbetulkan baju dan kain pelikat yang dipakainya. Dia sedang bersiap untuk ke masjid untuk menyertai kelas mengaji bersama kawannya, Rabiah. Selesai bersiap, dia mengapai beg yang berisi Al-Quran serta rehal di atas almari bajunya. Dia terdengar jeritan Rabiah dari luar rumah;

“Assalammualaikum, Ramadhan. Wei, awak dah siap ke belum?”
Ramadhan tersenyum girang terus ke tingkap dan melihat rakannya, Rabiah yang comel mengenakan baju kurung siap bertelekung menunggang basikalnya.

“Waalaikummussalam. Rabi, kau tunggu kejap. Nanti aku turun” balas Ramadhan geli hati melihat telatah kawannya berpeluk tubuh sambil menunggunya.

Ramadhan segera berlari ke dapur untuk mendapatkan ibunya. Salmah yang ketika itu hendak ke bilik air untuk mengambil wuduk.

“Mak, mak. Adan pergi mengaji, mak” kata Ramadhan kepada ibunya. Namun, Salmah sedikit pun tidak memalingkan mukanya ke arah anaknya. Dia berpura-pura tidak peduli pada anaknya. Ramadhan yang sudah terbiasa dengan sikap ibunya terus berlalu pergi, biarpun dalam hatinya agak sedikit terkilan dengan perilaku ibunya selama ini. Bukan sekali ibunya bersikap begini. Dari kecil, dia tidak pernah dimanjakan ibunya. Baginya, caci maki serta sikap tidak peduli dari ibunya sudah menjadi kebiasaan. Adakalanya, ibu tidak memperdulikan apa yang terjadi pada dirinya. Pernah suatu ketika, dia diherdik ibunya sebagai “anak sial” di khalayak ramai kerana mahukan kereta mainan sewaktu dia kecil. Jauh disudut hati Ramadhan, dia sangat dahagakan kasih sayang dari satu-satu ibunya, sementelah mengetahui dia tidak menpunyai bapa. Dia pernah bertanyakan perihal bapanya pada ibunya, namun apa yang didapati hanyalah kata-kata kesat dan maki hamun dari ibunya yang mengatakan dia amat membenci bapanya & Ramadhan sendiri. Kini, biarpun dia cumalah budak berumur 10 tahun, namun dia sering bermunajat pada Allah agar ibunya dapat menerimanya & segala kebenaran mengenai siapa dirinya terungkap satu hari nanti. Seperti mana kata-kata Ustaz Shah yang sering menjadi pegangan bahawa “syurga di bawah tapak kaki ibu” tatkala dia bersabar tika mengenangkan nasib diri yang tidak diterima ibu kandungnya sendiri.

“lambatnya....” rungut Rabiah.

“Dah siap dah, jom”, ajak Ramadhan. Dia cuba menyembunyikan rasa sedihnya dari pengetahuan Rabiah. Mereka berdua terus mengayuh basikal masing-masing ke masjid. Di sepanjang perjalanan, keadaan Ramadhan yang senyap membuatkan Rabiah tidak senang hati;

“Wei, awak kenapa Ramadhan? Kenapa tiba-tiba senyap ni?”

“Eh, tak ada apalah, Rabiah. Aku macam tak sedap perut je sekarang ni”, Ramadhan tidak mahu menceritakan apa yang terbuku dihatinya. Dia tidak mahu Rabiah tahu mengenai sikap ibunya.
Sesampai di masjid, kelihatan Ustaz Shah baru sahaja selesai mengambil wuduk. Ramadhan dan Rabiah segera menempatkan basikal mereka di sebuah pokok, lalu berjalan ke arah Ustaz dan memberi salam dengan kuat;

“Assalammualaikum ya Ustaz!!” laung mereka.

“Waalaikumussalam. Astagfirullah, kamu berdua ni tak payahlah bagi salam kuat-kuat. Runtuh masjid ni nanti...” ngomel Ustaz Shah tersenyum melihat keletah dua anak murid kesayangannya yang tersengih-sengih.

“Sudah. Sekarang ni, kamu berdua dah ambil wuduk ke belum? Cepat, solat maghrib nak mula ni..”

“Baik, ustaz”, kata Ramadhan. Dia sentiasa akur & mendengar kata ustaz kesayangannya. Ustaz Shah sememangnya peramah serta menyayangi kanak-kanak & Ramadhan adalah antara murid kesayangannya. Sejak Ramadhan dilahirkan, dia selalu membantu Salmah menjaga Ramadhan kerana baginya, anak kawan-kawannya umpama seperti anaknya sendiri. Semenjak dia kehilangan isteri dan anaknya sewaktu nahas jalan raya dulu, dia memutuskan untuk tidak berkahwin lagi. Meskipun begitu, adakalanya Ustaz Shah cumalah bapa yang amat rindukan keletah kanak-kanak. Kerana itu, Ustaz Shah mengabdikan dirinya di masjid untuk mengajar hafazan Al-Quran dan ilmu-ilmu agama kepada anak-anak kecil di kampung, untuk merawat kedukaannya. Melihat Ramadhan, baginya seperti melihat anaknya yang telah lama mengadap ilahi. Sedikit sebanyak, melihat Ramadhan membesar membuatkan dia merasa bahagia.

Selesai solat maghrib berjemaah, kelas hafazan Al-Quran dimulakan. Ketika ini, semua murid Ustaz Shah bergilir-gilir membaca ayat Al-Quran sambil diteliti tajwidnya oleh Ustaz Shah. Begitu juga Ramadhan dan Rabiah. Untuk kelas pada malam itu, Ramadhan lebih fokus untuk memperbetulkan sebutan tajwidnya, manakala Rabiah masih mengaji Muqaddam. Kedua-duanya kelihatan tekun, namun adakalanya kemesraan antara dua sahabat ini terpancar apabila mereka sempat mengusik antara satu sama lain. Ustaz Shah yang memerhati cuma mengeleng kepala sahaja. Lucu melihat telatah dua sahabat karib itu.

“Sadakallahuazim”, demikian berakhirnya kelas hafazan pada malam itu. Kesemua pelajar beransur pulang. Begitu juga Ramadhan, Rabiah & Ustaz Shah. Setelah memohon diri dan bersalaman dengan Ustaz Shah, Rabiah dan Ramadhan segera mendapatkan basikal mereka untuk pulang.

“Adan, kau dah hafaz Al-Quran sampai Juzuk berapa?” tanya Rabiah.

“3, kenapa?” jawab Ramadhan ,hairan dengan soalan Rabiah.

“ Huhhh...Banyak lagi aku nak kejar kau. Kau dah sampai baca Al-Quran, aku ni tak habis lagi mengaji Muqaddam” rungut Rabiah. Ternyata, dia cemburu dengan pencapaian hafazan Ramadhan.

“Hahahaha....”, Ramadhan begitu geli hati mendengar penjelasan sahabatnya. Rabiah yang sedikit masam turut tertawa kecil.

“Ala, relaks la. InsyAllah, nanti lama-lama habislah mengaji Muqaddam tu. Lepas tu, kau tu bolehlah kau mula baca Al-Quran”

“Tapi, apapun kau tak boleh potong aku..hahahaha” usik Ramadhan. Rabiah yang mendengar terus mengacah basikal Ramadhan tanda tidak puas hati.

“Iyalah, aku taulah kau mengaji dulu dari aku. Memanglah kau cepat” rajuk Rabiah. Dia seolah-olah menyesal kerana menolak kata-kata neneknya untuk mengaji sejak dari darjah 1. Dia mula mengaji apabila mengetahui Ramadhan sudahpun membaca Al-Quran dari darjah 2 dari neneknya. Dia terasa ketinggalan dari kawannya.

Tiba-tiba, basikal Ramadhan terhenti. Rabiah yang mengikuti di sebelahnya terkejut;

“kenapa, Ramadhan? Kenapa kau berhenti?” soal Rabiah. Dia memandang Ramadhan yang kelihatan agak pucat mukanya. Rabiah menoleh kedepan. Barulah dia tahu. Rupa-rupanya Ibu Ramadhan, Salmah terpacak di depan muka pintu. Dia dapat mengagak sesuatu bakal terjadi.

“Macam mana ni Ramadhan? Mak kau macam tengah marah tu” Rabiah berasa tidak senang hati. Rabiah juga tahu akan perangai ibu Ramadhan, seorang yang amat garang. Berkali-kali dia pernah menyaksikan Ramadhan di”baham” ibunya didepan matanya.

Ramadhan pula hanya diam seribu bahasa. Dia ternyata sedikit kecut. Melihat ibunya di depan pintu mengundang rasa resahnya. Seperti Rabiah, dia juga tahu ada sesuatu yang tak kena.

Rabiah dan Ramadhan terpisah di pintu pagar rumah. Ramadhan menuju ke halaman rumahnya, manakala Rabiah meneruskan perjalanannya. Namun, Rabiah sengaja memberhentikan basikalnya di sebalik pokok untuk memerhatikan apa yang bakal terjadi.

“Assalammualaikum, mak...” Ramadhan memberi salam pada ibunya. Melihat wajah ibunya yang merah padam umpama gunung merapi yang bakal meletus, Ramadhan bagaikan tahu apa yang bakal terjadi.

“Woii, budak bodoh!! Kau ingat aku nak tunggu lama-lama kau balik masjid? Kau ingat kau siapa, hah??? Wei, anak sial! Kalau tak sebab orang kampung duk kecoh cakap aku kejam kat anak sial macam kau, dah lama aku kunci saja pintu. Biar kau tidur kat depan rumah ni sampai pagi.” amukan Salmah bagaikan tidak dibendung. Anaknya diterkam di tangga, lalu dilempang berkali-kali serta telinga Ramadhan dipulas sekuat-kuatnya. Berkali-kali Ramadhan memohon maaf, namun tidak diendahkan. Ternyata amarah Salmah amat menggila.

“Mak, Adan minta maaf mak. Adan janji tak buat lagi...”, berkali-kali Ramadhan merayu-rayu. Dia diseret ibunya masuk kedalam rumah. Selepas daun pintu ditutup rapi, raungan Ramadhan kedengaran makin jelas.

Rabiah yang memerhati kejadian itu dengan mata berlinang. Dia terlalu kecil untuk mempertahankan kawannya. Dia tidak tahu hendak mengadu pada siapa. Dia tidak tahu hendak buat apa.

Ahad, 14 Ogos 2011

Celoteh Ramadhan

Setiap kali masuk je bulan puasa ni mesti banyak cerita-cerita lucu yang menggelikan hati. Semua aspek kehidupan seolah berbeza bila masuk je bulan puasa. dan masyarakat dari pelbagai lapisan, khususnya di Malaysia ada cerita untuk dikongsi:-


1. Budak-budak sekolah rendah: Mula buat muka sebab kena bangun sahur awal pagi. Bila balik sekolah, penat, curi-curi makan

2. Suami: stand-by balik awal. Kerja sepanjang bulan puasa slow and steady. By kul 4 dah siap bertolak balik rumah.

3. Anak-anak di perantauan: Ramadhan first dah pasang lagu raya, especially lagu Sudirman. tangkap leleh beb..Dah teringat rumah. Tu baru puasa hari first. Hari tu lah jugak teringat masakan mak. Yang belajar local, hari first memang cari chan (chance) je nak sahur bersama family kat kampung.

4. Family: Masuk je bulan puasa dah plan nak beli baju raya kat mana. Tambahan kalau dah dekat-dekat penghujung, Jalan TAR, dan seluruh KL-sesak beb. Diborongnya segala khazanah. Dengan kedai-kedainya sekali. Baju raya, langsir, kuih raya.

5. Anak-anak yatim: bulan puasa diorang demand skit. Kalau nak ajak jemput buka puasa, nak kena tengok diari dulu, free tak. Sebab kalau clash dengan jemputan berbuka kat hotel 5 star, buka puasa kecik-kecik kat surau ni tak main lah. (tak semua..Sebahagian kecil saja)

6. Imam-imam: budak-budak hafiz, kalau bulan puasa memang ramai yang dipanggil menjadi imam tarawih. Tapi nak jadi imam, kena tengok package nye. Tengok bayaran. Bayar cikai, package tak lengkaplah jawabnya. Kalau bayar sikit, boleh compare dengan bayaran ramadhan tahun lepas plak tu. Katanya, tahun lepas kat kawasan-kawasan dato' tu, diorang bayar 5k, takkan ni bayar skit je?...kalau nak boleh. tapi package tak lengkap. bacaan ringkas je. doa pun pendek je. hehehe... (tak semua.. sebahgian kecil)

7. Peniaga pasar Ramadhan: tak menang tangan para peniaga pasar Ramadhan ni. ada aje cara untuk tambah pendapatan. Lokasi pulak yang strategic. Booking tempat, kalau dengan DBKL berbulan-bulan awalnya. Itu pun kena mark up banyak. Tak pa. Ramadhan punya pasal.

8.Budak-budak bujang: Time ni lah tak payah nak susah2 pikir pasal makn. Tinggal buat diari planner je. Hari ni kat mana, esok kat mana. Rezeki bersepah-sepah. dari rumah orang dah kahwin, masjid, syarikat tempat kerja, atau rumah lecturer, rumah boss. Mana-mana pun boleh.

9. Orang-orang yang mengelat: orang yang nak mengelak lah tu. Ingatkan zaman dulu je ada orang-orang yang rumah kata pergi, kubur kata mari lari dari puasa. zaman sekarang pun masih ada lagi. Macam-macam alasan. Gastrik lah. Pastu gi makan sembunyi-sembunyi. Dah kene tangkap dengan JAWI baru nak tau malu. Esok keluar suratkhabar, Datuk 10 cucu ditangkap tak berpuasa.

10. Shopping mall: first puasa dah buat iklan untuk raya. sebesar-besar alam. berjenis-jenis. Sambutan bulan puasanya tak seberapa, tapi rayanya sakan bagai. Hotel-hotel pulak buat hidangan special sempena ramadhan. ingatkan ramadhan untuk besederhana, tapi kat hotel sumbat makanan dalam perut macam untuk setahun. Ye lah nak bagi berbaloi dengan duit yang dibayar.

Tu lah sebahagian coretan masyarakat kita kat Malaysia ni. Bulan Ramadhan bulan rezeki untuk semua. Saya cuma teringat kisah-kisah lucu tatkala menghampiri bulan mulia ini. Cerita-cerita di atas adalah sekadar celoteh ramadhan. Yang baik jadikan ikutan, buruk jadikan ingatan. Besederhana dalam Ramadhan. Selamat Berpuasa semua...

PS: time nila aku teringat...PIL PUASA..hahahahaha


thankzz: ADA SESIAPA YANG ZAMAN KANAK-KANAKNYA DI TAHUN 80an & AWAL 90an

Kisah-Kisah Ramadhan & Raya

Kisah 1

Kata orang raya setahun sekali. Tapi setiap tahun keseronokannya berbeza bagi sesetengah orang. Ada yang makin seronok dan ada yang makin hambar barangkali.Terutamanya orang yang dah berumur macam saya. Anak dah dua tiga dan bajet pula banyak yang keluar nak balik kampung sendiri dan balik kampung orang rumah.Tapi, yang pasti, dalam agama, Ramadhan adalah penghulu segala bulan dan 1 Syawal pula adalah hari kemenangan bagi orang-orang yang beriman.

Apabila diimbas semula, ternyata zaman kanak-kanak adalah zaman yang paling menyeronokkan bagi sesiapa pun - kecualilah bagimereka yang kurang bernasib baik. Yang jadi mangsa dera, mangsa perceraian,mangsa pengabaian ibu bapa dan sebagainya. Dan, keseronokan waktu bulan puasa serta hari raya adalah keseronokan yang tak terhingga bagi kanak-kanak. Apalagi kalau hari raya tu jatuh waktu musim cuti sekolah.

"Dam, dam, dum... bunyi mercun. Kanak-kanak datang berduyun-duyun". "Miskin kaya memakai baju baru warnawarni....", "Minta mak, kuih sepotong. Saya mahu makan kerna perut kosong". Semua lirik-lirik ini menggambarkan betapa seronoknya menyambut hari lebaran. Setiap kali berkemundang lagu-lagu nostalgia ini, setiap kali itu jugalah, secara automatik pastinya minda kita mengimbau semula kenangan 10, 20 atau 30 tahun lepas.

Sewaktu zaman kanak-kanak saya dulu, pada tahun70an. Meriam buluh belum diharamkan. Mercun pun. Kadang-kadang pakai kabaid untuk buat meriam. Asal masuk ramadhan, memang setiap petang dan malam selepas terawih, bunyi dentuman meriam bersahut-sahutan tanpa henti. Seolah-olah berlawan antara satu kampung dengan kampung sebelah. Biasanya waktu malam kalau bulan Ramadhan memang semua orang kampung berkumpul di surau sembahnyang terawih. Syoknya makan mi rebus moreh. Apalagi, kita ni anak orang susah.Jarang-jarang makan mi rebus yang ada daging, ayam, udang dalamnya. Tapi, kalau moreh, mi rebus, roti jala, mi goreng dan sebagainya memang mewah. Selain makanannya yang sedap, barang kali itulah nikmat yang Tuhan bagi sebab makan selepas sunat terawih.


meriam buluh


Malam-malam, kalau bukan pasal Ramadhan memang tak boleh nak ke mana-mana. Memang waktu untuk menelaah buku pelajaran. Tapi,istimewanya bulan puasa, kanak-kanak dapat lesen besar. Lepas sembahyang terawih, selalunya kami berkumpul ramai-ramai. Macam-macam permainan, polissentri, main sembunyi-sembunyi dan berbagai-bagai lagi. Dulu, ibu bapa tak risau anak main-main tengah malam. Bukan ada orang jahat pun. Paling syok kalau7 malam terakhir. Semua rumah di kelilingi dengan pelita terang benderang.

Sebelum pengharaman mercun, memang meriah pesta bunga api dan mercun ni. Teringat pulak masa tahun 80an, umur dah remaja.Teknik bermain pun makin tambah brutal. Bayangkan, tiap-tiap malam main perang macam Iran-Iraq dulu. Pakai mercun lidi dan mercun telur. Memang kita tak sehebat seperti mat rempit zaman sekarang. Tapi, sempatlah juga rambut hangus dan kepala berasap kena mercun lidi. Kerja bodoh tapi memang seronok.

Tapi, sekarang ni. Kesian saya tengok anak-anak saya. Duduk kawasan perumahan, bandar besar macam KK, nak keluar rumah pun takut-takut. Kita pun tak bagi. Kalau balik kampung barulah mereka seronok sikit. Kita sendiri pulak, bila hari raya, perasaan seronok tu bercampur baaur dengan perasaanberdebar-debar. Seronok kalau dapat jumpa semua adik-beradik dan sahabathandai. Tapi, bedebar-debar memikirkan bajet yang mungkin banyak lari selepas raya nanti.

Kisah 2

Walaupun saya nih muda lagi, tapi zaman macam tu sempat gak rasa. Masih dalam zaman meriam buluh kalau kat kampung. Cuma saya tak tinggal kat kampung (jadi saya terlepas bahagian meriam buluh tu... Sedihnya... hehehe...). Tapi macam yang bro bwan cakap, kebanyakan ibu bapa zaman tu memang tak kasi anak2 kuar malam sangat. Tapi masa ramadhan adalah malam yang agak bebas bagi kanak2. Terawikh buat lapan rakaat jer. Abis kul 9.30 paling2 lewat. Tapi sampai rumah adalah dalam kul 11.30 atau 12.00 malam. Mana tidaknya. Dengan acara perang mercun lah, main bunga api lah, game2 kampung lain lah (polis sentri, sembunyi2, etc...) dan lain2 lagi. Balik umah jer bukan kena marah sebab lambat tapi sebab baju melayu berlubang sana sini kena bedilan mercun pihak tentera musuh. Hahaha... Indahnya zaman tu. Zaman yang tidak ada erti "duduk bersendirian mengadap ps3 lagi bagus" macam kanak2 zaman ini.

Tapi kini semuanya dah berubah... Tak sama malah boleh dikatakan jauh sekali. Tapi adat la. Zaman akan sentiasa berubah... Sekarang ni merupakan tahun pertama saya beraya bersama kdn. Dan juga tahun pertama beraya tanpa seorang insan yang bergelar ibu... Suasana dah lain. Tah macam mana la agaknya. Mungkin juga akan jadi tahun pertama saya beraya dalam tangisan. Siapa tahu... Tapi apa sekalipun, nostalgia zaman kanak2 dulu tetap dalam ingatan...

Kisah 3

Mmg tak nafikan sambutan ramadhan dan syawal setiap tahun kebelakang ni makin hambar.tp mungkin saya sorang je yg terasa begitu kot.mungkin bro2 yg lain ok je dan makin meriah.saya blh lihat budak2 skrg pun dah tak bersemangat sgt menyambut ramadhan mcm saya masa budak2 nakal dulu2..dulu saya dan geng2 cukup rajin ke surau atau ke masjid join org terawih walaupun ada kalanya kami tak terawih tp sekadar nak melepak2 je pastu menyelit time moreh..hehehhe.budak2 time skrg lak saya tgk lepas berbuka puasa lebih suka berkumpul kat simpang2 jln,bawah2 lampu jln,atau kat taman2 perumahan.ni saya duduk kat kawasan kampong,klu kat pekan2 atau Bandar tak tau la macamana..


Ttg bunga api dan mercun lak lg la sedih..saya bukan la nak membelakangkan undang2 negara,tp kesian gak kat budak2 yg dah takleh main bunga api dan mercun sgt (tp ada gak yg main sbb masih boleh dibeli kat sesetengah tempat dan juga tokan2 mercun).dulu saya cukup suka main bunga api.thunderclap,mercun katak,air bomb,cili kering,mercun naga,mercun cili padi,mercun cina,mercun lalat,mercun ayam,paying terjun,kereta kebal..dll..skrg ni yg blh jumpa pun bunga api lidi,bunga api besi,mercun bola dan jenis2 yg bahaya je..sbb tu undang2 bunga api pun makin ketat sbb mercun2 yg selamat dah susah nak jumpa..


Kisah 4

Masa dulu, awal pagi raya memang suasana yang sungguh syahdu. Pagi-pagi mandi, lepas tu pakai baju baru, cium tangan mak bapak. Lepas sembahyang, habis semua rumah jiran satu kampung kita serbu. Punya seronok walau pun masa tu satu rumah biasanya dapat seposen je. Kalau rumah cikgu ke atau rumah orang berada sikit, dapat la dua posen atau rekod saya lima puluh sen satu rumah. Itu macam dah kena loteri masa tu. Tak cukup jiran kampung sendiri, boleh pulak seberang ke kampung sebelah.

Tapi anak-anak kita sekarang, bukan kata nak bertandan ke rumah jiran, kita nak bawa pergi rumah saudara mara pun tak mahu. Semua nak melepek kat TV tengok rancangan TV sempena hari raya.

thankzz: ADA SESIAPA YANG ZAMAN KANAK-KANAKNYA DI TAHUN 80an & AWAL 90an.

Sabtu, 13 Ogos 2011

Kemaafan Ramadhan (Bab 1)


BAB 1

Pada suatu subuh Ramadhan, kelihatan riuh rendah di sebuah rumah itu. Seorang lelaki kelihatan resah mundar mandir di anjung rumah. Masakan tidak, didalam rumah tersebut, ada seorang wanita sedang bersabung nyawa melahirkan satu lagi hamba Allah dimuka bumi ini. Disisi wanita itu, seorang mak bidan membantu menyambut kelahiran bayi itu.

“Salmah, dengar cakap Mak Jah ni. Kali ni, kau teran kuat-kuat,” kata Mak Jah resah. Dia merasa runsing, kedudukan bayi adalah songsang, menyukarkan lagi proses kelahiran.

“Ya Allah!! Saya tak tahan, Mak Jah!!” Jeritan Salmah sedikit sebanyak memecah keheningan subuh di perkampungan itu.

“Aduh, macam mana ni,” keluh Mak Jah. “Lepas ni, ambil nafas banyak-banyak. Mak Jah cuba lakukan yang termampu”.

“Kenapa, Mak Jah? Saya terdengar dari luar Salmah menjerit. Ada apa-apa ke?” Ustaz Shah panik.

“Tak ada apa ustaz. Salmah cuma susah nak beranak je. Budak dalam kandungan ni songsang kedudukannya,”

“Ustaz tak perlu risau. InsyAllah, Mak Jah cuba usaha,” kata Mak Jah cuba menenangkan Ustaz Shah yang kerisauan.

Bagaikan jiwa tidak keruan, Ustaz Shah segera melantunkan zikir-zikir dan doa:

“Ya Allah tidak ada kemudahan selain apa yang Engkau jadikan mudah dan Engkau dapat menjadikan perkara sulit menjadi mudah jika Engkau kehendaki”

Bagaikan rahmat dari Allah Subhanallah Taala yang memperkenankan doa-doa hambaNya yang bertakwa, bayi itu berjaya dilahirkan dengan selamat. Seorang bayi lelaki yang sempurna sifatnya. Kini, wajah kerisauan Mak Jah bertukar riang, seraya dihatinya mengucapkan Alhamdulillah kepada Yang Esa. Salmah yang tercungap-cungap, kini boleh bernafas dengan lega. Bayi itu segera dimandikan& dipakaikan kain putih dengan penuh cermat. Setelah itu, Mak Jah meletakkan bayi itu disisi ibunya.

“Alhamdulillah, Salmah. Kau dapat anak lelaki, Salmah” kata Mak Jah. Mak Jah segera bingkas mendapatkan Ustaz Shah di anjung untuk mnyampaikan khabar gembira itu. Namun, berita gembira itu umpama berita kebencian yang langsung tidak menyenangkan hati Salmah.

“Ustaz! Ustaz!! Alhamdulillah ustaz, Salmah bersalin dengan selamat,”

“Syukur Allahamdulillah. Anak lelaki ke perempuan?” tanya Ustaz Shah turut gembira.

“Anak lelaki,” kata Mak Jah. Kemudian Mak Jah segera ke bilik bersalin untuk menemui Salmah. Dia terlupa untuk menyuruh Salmah mengazankan anaknya.

“Salmah, kau dah azankan anak kau ke belum? Cepatlah azankan..”

Salmah diam membatu. Dia bagaikan dilema, samada mngazankan anaknya atau tidak. Dalam hatinya berkecamuk, dia keliru untuk menyayangi atau membenci anak yang baru dilahirkannya. Bagi dia, anak itulah punca segala kebahagiaannya diragut dahulu. Kerana anak itu, dia kehilangan syurganya, suatu tika dahulu. Kegembiraan tiada lagi terpancar pabila usia kandunganya mencecah 5 bulan, tidak seperti ibu-ibu yang lazimnya gembira akan kandungan membesar.

“Salmah, kau dengar tak?” Mak Jah menghentikan lamunan Salmah.

“Saya tak nak bayi ni. Dia bukan anak saya..” kata Salmah tersekat-sekat. Dia bagaikan menahan amarah, namun di hati dia ingin menangis kekesalan. Segalanya bercampur baur.

“Salmah, yang sudah tu sudahlah....” belum sempat Mak Jah menghabiskan kata-katanya, Salmah terus memaki Mak Jah& melepaskan apa yang terpendam dalam hatinya.

“Saya dah kata tak nak, tak naklah! Anak ni anak sial, dia bukan anak saya. Sebab budak ni, saya hilang mak ayah saya. Sebab budak ni, abang Azman tinggalkan saya. Saya tak nak, saya tak nak!!”
Rontaan Salmah menakutkan Mak Jah. Takut-takut Salmah meroyan kerana baru sahaja lepas bersalin. Bayi disisi Salmah turut menangis terkejut dengan rontaannya. Mak Jah segera mengambil bayi itu dari sisi ibunya yang dikhuatiri meroyan itu.

“Astagfirullah, Salmah. Bawak mengucap banyak-banyak..” Mak Jah cuba menenangkan Salmah.

“Kalaulah aku gugurkan kau dari dulu lagi...” kata-kata Salmah menyebabkan Mak Jah terus menjauhkan bayi itu dari Salmah, apatah melihat Salmah bagaikan dirasuk menjegil matanya ke arah anak kecil yang tidak berdosa itu. Mak Jah takut Salmah akan mengapa-apakan anaknya sendiri. Dia terus mebawa anak itu berjumpa Ustaz Shah di luar.

“Ustaz, tolonglah saya. Salmah sekarang macam tengah meroyan, ustaz”. Mak Jah kerisauan.

“Astagfirullah, macam mana boleh jadi macam tu?”

“InsyAllah, tak ada apa-apala ustaz. Biasalah, orang baru lepas bersalin. Apapun, saya nak minta tolong ustaz untuk mengazankan budak ni. Kesian budak ni...” rintih Mak Jah simpati akan nasib bayi itu kelak. Emaknya tidak redha akan kelahiranya, malah membencinya. Mak Jah segera memangku bayi itu ke tangan Ustaz Shah untuk diazankan.

“Bismillahirrahman Irrahim”. Ustaz Shah membetulkan kedudukan ke arah qiblat dan terus mengazankan di telinga kanan serta Iqamat di telinga kiri bayi itu. Mak Jah yang menyaksikan kejadian itu menjadi sebak, sebak sehingga menitiskan airmatanya. Dalam hatinya, dia berdoa agar Allah memelihara nasib itu serta memberikan ketabahan kepada anak kecil itu untuk mengharungi hidup-hidupnya yang akan mendatang. Di sudut hati mak Jah, dia tahu anak kecil itu akan mengharungi pelbagai dugaan besar disepanjang hidupnya. Dia juga memohon agar Salmah dapat menerima anaknya dengan rela.

“Mak Jah, Salmah dah berikan nama?” tanya Ustaz Shah.

“Belum lagi, Ustaz. Mak Jak tak sempat nak tanya..Salmah kan masih tak tenteram lagi” Mak Jah sengaja berdalih. Dia tidak tahu bagaimana cara untuk menerangkan pada ustaz bahawa Salmah tidak menerima anaknya. Malahan, Mak Jah sendiri merasa mustahil untuk bertanya pada Salmah memandangkan situasinya sekarang. Pasti disumpah seranah anaknya sendiri jika ditanya nama anaknya.

“Saya rasa baiklah ustaz sendiri namakannya. Saya pasti, Salmah pasti setuju dengan cadangan ustaz. Ustaz kan kawan baik Salmah”, cadang Mak Jah sambil tersenyum pahit sedikit. Dia cuba untuk tidak menunjukkan sebarang permasalahan yang berlaku.

“Kalaula budak ni anak saya, tentu saya namakan dia RAMADHAN sebab dia dilahirkan pada bulan Ramadhan, yakni bulan kerahmatan”, seloroh Ustaz Shah kegembiraan. Dia terasa bagaikan menyambut anaknya sendiri, meskipun bayi itu adalah anak sahabat karibnya dari kecil lagi.

“itulah seelok-eloknya, ustaz”, sokong Mak Jah. Baginya, apa yang diperkatakan Ustaz Shah adalah benar. Nama yang baik akan membawa rahmat pada pemiliknya& Mak Jah berharap agar Ramadhan mampu merubah hati Salmah untuk menyayangi dirinya. Subuh kian berlabuh kini menampakkan suria mengembangkan sinarnya. Keindahan fajar bagaikan meraikan kelahiran seorang anak kecil yang bernama Ramadhan.

Khamis, 4 Ogos 2011

Mohon Maaf


Assalammualaikum, semua. Aku penglipur lara nak minta maaf banyak-banyak sebab tak menunaikan janji-janji untuk menerbitkan novel bersiri secara online "Adakah Untuk Kita". Novel bersiri tu tak dapat disiarkan buat masa sekarang, memandangkan internet interruption+ ketidaksesuaian waktu menjadi masalah penglipur lara tak dapat nak berlara meng"update" blog ni. Apapun, korang tak payah berkecil hati kerna rancangan novel bersiri tetap berjalan, cuma ceritanya bukan seperti dijanjikan. Okla, Apapun aku memohon seribu kemaafan sempena Awal Ramadhan ni diatas kekhilafan yang berlaku. Sebagai ganti, terimalah sebuah novel bersiri sempena Ramadhan ini, "Kemaafan Ramadhan"....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...