Blogger news

Jumaat, 24 April 2015

Kemaafan Ramadhan (Bab 6)



KRING!!!!!

Sekarang bermulanya sesi rehat. Semua pelajar berpusu-pusu ke kantin. Almaklumlah, siapa cepat dia dapat semangkuk mi kari yang menjadi kegilaan murid-murid di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak. Kalau tidak, pilihlah apa yang ada. Namun diantara 350 jumlah murid disekolah itu, kelihatan seorang murid begitu muram dan tidak bersemangat seperti yang lain.

“Apalah nak buat sekarang ni?” Ramadhan sendiri tidak pasti apa yang ingin dilakukan pada waktu rehat. Hendak makan, duitnya tidak cukup. Hendak tidur, pelajar tidak dibenarkan berada didalam kelas pada waktu rehat. Hendak berbual, Rabiah sudah tiada disini.

“Ishhh, tak habis-habis pasal Rabi. Adan, Rabi dah duduk KL dah. Bawak-bawaklah terima hakikat weyh” Ramadhan bermonolog didalam hatinya. Memang benar, dia dan Rabiah memang umpama belangkas. Ke mana Ramadhan pergi, Rabiah pasti akan mengekori. Sekiranya Ramadhan tidak mempunyai sebarang aktiviti pada waktu itu, Rabiah pasti dicarinya untuk diajak berbual.

Di perpustakaan, Ramadhan sendiri tidak pasti akan genre buku apa yang ingin dibacanya. Diperginya setiap satu persatu rak buku, melihat jika ada buku yang mampu menarik perhatiannya. Jika.

“hurmmm…” satu dengusan panjang dikeluarkan. Hampa melihat koleksi buku yang ada, seakan semua buku sudah dibacanya.

Ramadhan segera mendapatkan kerusi yang terletak di sudut perpustakaan tersebut. Mengadap jendela, dia memandang lambaian dahan pokok yang ditiup angin dan burung-burung yang singgah di dahan. Berehat.

Sebenarnya, Ramadhan masih tidak mampu membuang bayangan Rabiah dari benaknya. Cubalah apapun untuk mengalih perhatiannya, namun ternyata Rabiah seolah-olah masih menari-nari di mindanya. Apalah yang mampu dia lakukan pada saat ini? Bukannya dia ada kawan yang lain. Tidak semua murid-murid di sekolah itu yang mampu menerima dirinya sebagai anak luar nikah. Dia sedar siapa dirinya untuk bersosial dengan budak sebayanya. Baru sahaja dia mencuba untuk berkawan, sudah dicemuh murid-murid disekeliling. Bagi mereka, Ramadhan anak haram, tidak layak dan tak sama taraf untuk berkawan dengan mereka. Hairan Ramadhan memikirkan dari manalah budak-budak ni belajar untuk berperangai sedemkian?

Nampaknya, sepanjang hari Ramadhan tidak memberikan fokus sepenuhnya.  Sepanjang hari dan berhari-hari baginya serupa. Dia seakan tidak mampu memberikan perhatian pada perkara-perkara 
lain. Semenjak hilangnya Rabiah, Ramadhan banyak menghabiskan masa bersendirian di tepi pantai. Merenung setiap hempasan air di pesisir agar memberikannya ilham untuk meneruskan kehidupan dan merasakan tiupan bayu laut untuk menyampaikan salam rindunya pada Rabiah.

“Rabiah, baliklah kampung. Aku rindukan kau” pinta anak muda itu disudut hatinya. Kosong hatinya tiada berteman. Hendak diadu pun, pada siapa? Harapkan ibunya, alamat dimaki-makilah jawabnya. Hendak ditanya khabar pada Mak Jah, takut terusik hati wanita itu. Dia tahu yang Mak Jah juga dilanda perasaan rindu sepertinya.

“Apa kata aku jumpa Ustaz Syah? Dia mesti faham” sejenak dia teringat pada Ustaz Syah kesayangannya.

“Assalammualaikum, Ramadhan. Apa kamu renung lagi tu?” sapa Ustaz Syah dari belakangnya.
Bagaikan tidak percaya. Baru saja disebut-sebut orangnya, tak sangka sudah siap standby dibelakangnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui hati hamba-hambaNya. Itulah yang terfikir difirasat Ramadhan.

“eh, Ustaz. Waalaikummusalam. Tak perasan saya ustaz ada kat belakang saya tadi. Ustaz buat apa kat sini?” Ramadhan masih sedikit kaget. Namun, dia segera bersalam dengan Ustaz Syah.

“aik, dia tanya balik soalan yang sama. Kamu tu, ada apa renung pantai tu dalam-dalam?” usik Ustaz Syah. Dia cuba untuk memahami anak muridnya.

“takde apala ustaz. Saja je duduk sini. Jemputlah duduk ustaz,” pelawa Ramadhan.
perkara yang sama seperti Ramadhan; merenung pantai. Lalu, Ustaz Syah bertanya;

“kamu teringat seseorang ke?”

“takdela ustaz,” Ramadhan membidas.

“ingat makwe?” usik Ustaz Syah.

“ishh, ke situ pulak. Hahahaha” ketawa Ramadhan mendengar pertanyaan itu. Dia tahu, Ustaz Syah cuma melawak sahaja.

“Sabarlah, nanti adalah khabar dari Rabiah,” kata Ustaz Syah. Tersentak Ramadhan apabila nama Rabiah disebut. Tidak menyangka ustaz kesayangannya itu mampu membaca isi hatinya.
Ramadhan memandang tepat ke arah mata Ustaz Syah. Masih memandang pada lautan, Ustaz Syah meneruskan kata-katanya;

“kamu lihat pada lautan tu.” Tunjuk Ustaz Syah pada Ramadhan.

“Apa yang kamu nampak?” tanya Ustaz Syah pada Ramadhan. Dia cuba mengakali Ramadhan.

“saya nampak lautan, burung-burung laut, awan, langit, matahari,” jawab Ramadhan tidak mengerti akan maksud soalan itu.

“Cuba kamu lihat pada burung-burung laut tu. Ramadhan, sejauh mana pun burung itu berterbangkan ke serata dunia, ia tetap akan pulang ke sini. Lihat pula pada lautan, biar mana besar pun lautan tu, pada pantai juga dia setia menghempas. Pada pantai jugalah lautan itu kembali. Begitu juga Rabiah. Biar jauh mana pun dia berada, InsyAllah pasti Rabiah akan kembali. Kamu bersabarlah,” pujuk Ustaz Syah. Sungguh tidak menyangka Ustaz Syah mampu memberikan kata-kata sedemikian rupa. Ramadhan hanya mampu mengiyakan segala kata-kata Ustaz Syah.

*          *          *
Lautan adalah misteri. Kedalamannya sukar dijangka, isinya adalah khazanah yang tidak terkira banyaknya, luasnya pula meliputi 2/3 bumi ini. Terlalu luas nikmat Allah. Lalu, nikmat Allah mana yang kau mahu dustakan?

Rabiah terpesona melihat sekumpulan ikan berenang-renang di akuarium besar itu. Pertama kalinya dia menjejak kaki di Aquaria, KLCC. Sebelum ini, dia cuma mendengar Aquaria dari kaca televisyen. Tidak terjangka ibunya ingin membawanya berjalan-jalan dan dibawanya ke Aquaria.
“Kalau Adan nampak ni, mesti dia suka,” Rabiah berbisik sendirian. Dia ingat benar kegemaran Ramadhan. Hampir setiap hari, Ramadhan akan datang ke rumah Mak Jah untuk menonton rancangan National Geographic pada pukul 2 petang bersama Rabiah.

Panorama laut ciptaan disekelilingnya benar-benar menghanyutkan Rabiah pada suatu dunia yang asing. Memori, impian, ilusi segalanya bercampur baur. Tidak sedikit pun dia terkejut melihat lintasan ikan jerung dihadapannya. Didalam hatinya, terwujud satu cita-cita yang jarang didengar; ahli sains marin.

“budak kampung…” suatu suara halus menghentikan lamunan imaginasi Rabiah. Rabiah menoleh kiri dan kanan. Terlihat di belakangnya 4 orang budak perempuan lebih kurang sebayanya saling tergelak dan menjeling sinis ke arahnya. Mereka berlalu pergi.

Baru Rabiah sedar, kata-kata tersebut ditujukan padanya. Rabiah hanya cuma memandang mereka. Sedikit dihatinya tidak terusik dengan sindiran. Bekas ajaran Mak Jah; jangan mudah sombong dan bangga diri masih diingati hingga ke hari ini. Biarpun Rabiah cuma gadis cilik kampung berbaju kurung, namun tak luntur semangatnya pada gadis kota yang tiada adab sopan. Rabiah tersenyum bangga dengan peribadinya.

“Seronok anak mama jalan-jalan yek,” Datin Sharrina menyapa anaknya. Rabiah memandang ibunya dan mengangguk tanda setuju. Sudah lama mereka tidak keluar bersama-sama. Nasib baik bapa tirinya tidak ikut serta. Kalau tidak, hilang mood agaknya.

“Mama, nanti ada masa, mama kan. Apa kata kita bawak nenek sekali? Nenek mesti suka tengok ikan-ikan ni, mama,” Rabiah memberikan cadangan pada ibunya. Datin Sharrina tersenyum kelat mendengar cadangan Rabiah itu. Dia membalas;

“Nanti kita bawa nenek yek sayang,” balas Datin Sharrina sekadar menyenangkan hati anaknya. Dia tahu sejak perkahwinan dia dan Haikal, Mak Jah seakan-akan merajuk dengannya. Diajak tinggal bersama pun ditolak mentah-mentah oleh Mak Jah.

Mereka berdua pergi ke kedai cenderamata di Aquaria. Datin Sharrina ingin membelikan Rabiah anak patung berupa ikan lumba-lumba. Rabiah begitu menyukainya. Sudah lama dia tidak mendapat hadiah dari ibunya. Inilah masa dan peluang untuk bermanja dengan ibunya setelah sekian lama. Tiba-tiba, Rabiah ternampak kepingan poskad berillustrasikan lautan dan hidupan marin. Dia 
mengambil sekeping dan menyerahkan pada ibunya;

“mama, boleh tak Rabi nak ni?” soal Rabiah.

“Sayang nak buat apa dengan poskad ni? Sayang nak bagi kat siapa?”, Datin Sharrina sedikit pelik dengan permintaan anaknya.

“Rabi nak bagi kata Adan, dia suka tengok laut..” belum sempat Rabiah menghabiskan kata-katanya, Datin Sharrina mencelah;

“tak payah beli apa-apa untuk budak tu. Membazir jek. Tak boleh!” tegas Datin Sharrina. Moodnya serta merta berubah mendengar nama Ramadhan. Reaksi Rabiah sama sekali terkejut melihat perubahan sikap ibunya yang mendadak.

Di dalam kereta, suasana menjadi suram. Rabiah tidak tahu bagimana untuk menyapa ibunya setelah apa yang berlaku. Dia sama sekali tidak menyangka akan apa yang terjadi. Kini, dia terpaksa membisu mengharapkan ibunya memulakan perbualan dulu.

Datin Sharrina pula menjadi serba salah tentang apa yang terjadi. Dia tidak berniat untuk menengking Rabiah di Kedai Cenderamata Aquaria tadi. Tindakan spontan tadi berlaku hanyalah kerana satu nama yang tidak disukainya: Ramadhan. Anak haram itu tidak sedarjat dan tidak sepatutnya berkawan dengan Rabiah. Takut-takut tempias “sial” akan melekat pada Rabiah.   

Dia sama sekali tidak menyukai Rabiah berkawan dengan Ramadhan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pages

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...