Blogger news

Selasa, 16 Ogos 2011

Kemaafan Ramadhan (Bab 2)




BAB 2

10 tahun kemudian

“Allahuakbar, Allahuakbar” azan maghrib berkumandang. Seisi kampung kini di rumah masing-masing menyambut ketibaan malam. Ada yang sedang bersiap hendak ke masjid, ada yang sedang memasak untuk makan malam, ada yang sedang menyucikan diri & ketika ini, Ramadhan sedang memperbetulkan baju dan kain pelikat yang dipakainya. Dia sedang bersiap untuk ke masjid untuk menyertai kelas mengaji bersama kawannya, Rabiah. Selesai bersiap, dia mengapai beg yang berisi Al-Quran serta rehal di atas almari bajunya. Dia terdengar jeritan Rabiah dari luar rumah;

“Assalammualaikum, Ramadhan. Wei, awak dah siap ke belum?”
Ramadhan tersenyum girang terus ke tingkap dan melihat rakannya, Rabiah yang comel mengenakan baju kurung siap bertelekung menunggang basikalnya.

“Waalaikummussalam. Rabi, kau tunggu kejap. Nanti aku turun” balas Ramadhan geli hati melihat telatah kawannya berpeluk tubuh sambil menunggunya.

Ramadhan segera berlari ke dapur untuk mendapatkan ibunya. Salmah yang ketika itu hendak ke bilik air untuk mengambil wuduk.

“Mak, mak. Adan pergi mengaji, mak” kata Ramadhan kepada ibunya. Namun, Salmah sedikit pun tidak memalingkan mukanya ke arah anaknya. Dia berpura-pura tidak peduli pada anaknya. Ramadhan yang sudah terbiasa dengan sikap ibunya terus berlalu pergi, biarpun dalam hatinya agak sedikit terkilan dengan perilaku ibunya selama ini. Bukan sekali ibunya bersikap begini. Dari kecil, dia tidak pernah dimanjakan ibunya. Baginya, caci maki serta sikap tidak peduli dari ibunya sudah menjadi kebiasaan. Adakalanya, ibu tidak memperdulikan apa yang terjadi pada dirinya. Pernah suatu ketika, dia diherdik ibunya sebagai “anak sial” di khalayak ramai kerana mahukan kereta mainan sewaktu dia kecil. Jauh disudut hati Ramadhan, dia sangat dahagakan kasih sayang dari satu-satu ibunya, sementelah mengetahui dia tidak menpunyai bapa. Dia pernah bertanyakan perihal bapanya pada ibunya, namun apa yang didapati hanyalah kata-kata kesat dan maki hamun dari ibunya yang mengatakan dia amat membenci bapanya & Ramadhan sendiri. Kini, biarpun dia cumalah budak berumur 10 tahun, namun dia sering bermunajat pada Allah agar ibunya dapat menerimanya & segala kebenaran mengenai siapa dirinya terungkap satu hari nanti. Seperti mana kata-kata Ustaz Shah yang sering menjadi pegangan bahawa “syurga di bawah tapak kaki ibu” tatkala dia bersabar tika mengenangkan nasib diri yang tidak diterima ibu kandungnya sendiri.

“lambatnya....” rungut Rabiah.

“Dah siap dah, jom”, ajak Ramadhan. Dia cuba menyembunyikan rasa sedihnya dari pengetahuan Rabiah. Mereka berdua terus mengayuh basikal masing-masing ke masjid. Di sepanjang perjalanan, keadaan Ramadhan yang senyap membuatkan Rabiah tidak senang hati;

“Wei, awak kenapa Ramadhan? Kenapa tiba-tiba senyap ni?”

“Eh, tak ada apalah, Rabiah. Aku macam tak sedap perut je sekarang ni”, Ramadhan tidak mahu menceritakan apa yang terbuku dihatinya. Dia tidak mahu Rabiah tahu mengenai sikap ibunya.
Sesampai di masjid, kelihatan Ustaz Shah baru sahaja selesai mengambil wuduk. Ramadhan dan Rabiah segera menempatkan basikal mereka di sebuah pokok, lalu berjalan ke arah Ustaz dan memberi salam dengan kuat;

“Assalammualaikum ya Ustaz!!” laung mereka.

“Waalaikumussalam. Astagfirullah, kamu berdua ni tak payahlah bagi salam kuat-kuat. Runtuh masjid ni nanti...” ngomel Ustaz Shah tersenyum melihat keletah dua anak murid kesayangannya yang tersengih-sengih.

“Sudah. Sekarang ni, kamu berdua dah ambil wuduk ke belum? Cepat, solat maghrib nak mula ni..”

“Baik, ustaz”, kata Ramadhan. Dia sentiasa akur & mendengar kata ustaz kesayangannya. Ustaz Shah sememangnya peramah serta menyayangi kanak-kanak & Ramadhan adalah antara murid kesayangannya. Sejak Ramadhan dilahirkan, dia selalu membantu Salmah menjaga Ramadhan kerana baginya, anak kawan-kawannya umpama seperti anaknya sendiri. Semenjak dia kehilangan isteri dan anaknya sewaktu nahas jalan raya dulu, dia memutuskan untuk tidak berkahwin lagi. Meskipun begitu, adakalanya Ustaz Shah cumalah bapa yang amat rindukan keletah kanak-kanak. Kerana itu, Ustaz Shah mengabdikan dirinya di masjid untuk mengajar hafazan Al-Quran dan ilmu-ilmu agama kepada anak-anak kecil di kampung, untuk merawat kedukaannya. Melihat Ramadhan, baginya seperti melihat anaknya yang telah lama mengadap ilahi. Sedikit sebanyak, melihat Ramadhan membesar membuatkan dia merasa bahagia.

Selesai solat maghrib berjemaah, kelas hafazan Al-Quran dimulakan. Ketika ini, semua murid Ustaz Shah bergilir-gilir membaca ayat Al-Quran sambil diteliti tajwidnya oleh Ustaz Shah. Begitu juga Ramadhan dan Rabiah. Untuk kelas pada malam itu, Ramadhan lebih fokus untuk memperbetulkan sebutan tajwidnya, manakala Rabiah masih mengaji Muqaddam. Kedua-duanya kelihatan tekun, namun adakalanya kemesraan antara dua sahabat ini terpancar apabila mereka sempat mengusik antara satu sama lain. Ustaz Shah yang memerhati cuma mengeleng kepala sahaja. Lucu melihat telatah dua sahabat karib itu.

“Sadakallahuazim”, demikian berakhirnya kelas hafazan pada malam itu. Kesemua pelajar beransur pulang. Begitu juga Ramadhan, Rabiah & Ustaz Shah. Setelah memohon diri dan bersalaman dengan Ustaz Shah, Rabiah dan Ramadhan segera mendapatkan basikal mereka untuk pulang.

“Adan, kau dah hafaz Al-Quran sampai Juzuk berapa?” tanya Rabiah.

“3, kenapa?” jawab Ramadhan ,hairan dengan soalan Rabiah.

“ Huhhh...Banyak lagi aku nak kejar kau. Kau dah sampai baca Al-Quran, aku ni tak habis lagi mengaji Muqaddam” rungut Rabiah. Ternyata, dia cemburu dengan pencapaian hafazan Ramadhan.

“Hahahaha....”, Ramadhan begitu geli hati mendengar penjelasan sahabatnya. Rabiah yang sedikit masam turut tertawa kecil.

“Ala, relaks la. InsyAllah, nanti lama-lama habislah mengaji Muqaddam tu. Lepas tu, kau tu bolehlah kau mula baca Al-Quran”

“Tapi, apapun kau tak boleh potong aku..hahahaha” usik Ramadhan. Rabiah yang mendengar terus mengacah basikal Ramadhan tanda tidak puas hati.

“Iyalah, aku taulah kau mengaji dulu dari aku. Memanglah kau cepat” rajuk Rabiah. Dia seolah-olah menyesal kerana menolak kata-kata neneknya untuk mengaji sejak dari darjah 1. Dia mula mengaji apabila mengetahui Ramadhan sudahpun membaca Al-Quran dari darjah 2 dari neneknya. Dia terasa ketinggalan dari kawannya.

Tiba-tiba, basikal Ramadhan terhenti. Rabiah yang mengikuti di sebelahnya terkejut;

“kenapa, Ramadhan? Kenapa kau berhenti?” soal Rabiah. Dia memandang Ramadhan yang kelihatan agak pucat mukanya. Rabiah menoleh kedepan. Barulah dia tahu. Rupa-rupanya Ibu Ramadhan, Salmah terpacak di depan muka pintu. Dia dapat mengagak sesuatu bakal terjadi.

“Macam mana ni Ramadhan? Mak kau macam tengah marah tu” Rabiah berasa tidak senang hati. Rabiah juga tahu akan perangai ibu Ramadhan, seorang yang amat garang. Berkali-kali dia pernah menyaksikan Ramadhan di”baham” ibunya didepan matanya.

Ramadhan pula hanya diam seribu bahasa. Dia ternyata sedikit kecut. Melihat ibunya di depan pintu mengundang rasa resahnya. Seperti Rabiah, dia juga tahu ada sesuatu yang tak kena.

Rabiah dan Ramadhan terpisah di pintu pagar rumah. Ramadhan menuju ke halaman rumahnya, manakala Rabiah meneruskan perjalanannya. Namun, Rabiah sengaja memberhentikan basikalnya di sebalik pokok untuk memerhatikan apa yang bakal terjadi.

“Assalammualaikum, mak...” Ramadhan memberi salam pada ibunya. Melihat wajah ibunya yang merah padam umpama gunung merapi yang bakal meletus, Ramadhan bagaikan tahu apa yang bakal terjadi.

“Woii, budak bodoh!! Kau ingat aku nak tunggu lama-lama kau balik masjid? Kau ingat kau siapa, hah??? Wei, anak sial! Kalau tak sebab orang kampung duk kecoh cakap aku kejam kat anak sial macam kau, dah lama aku kunci saja pintu. Biar kau tidur kat depan rumah ni sampai pagi.” amukan Salmah bagaikan tidak dibendung. Anaknya diterkam di tangga, lalu dilempang berkali-kali serta telinga Ramadhan dipulas sekuat-kuatnya. Berkali-kali Ramadhan memohon maaf, namun tidak diendahkan. Ternyata amarah Salmah amat menggila.

“Mak, Adan minta maaf mak. Adan janji tak buat lagi...”, berkali-kali Ramadhan merayu-rayu. Dia diseret ibunya masuk kedalam rumah. Selepas daun pintu ditutup rapi, raungan Ramadhan kedengaran makin jelas.

Rabiah yang memerhati kejadian itu dengan mata berlinang. Dia terlalu kecil untuk mempertahankan kawannya. Dia tidak tahu hendak mengadu pada siapa. Dia tidak tahu hendak buat apa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Pages

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...