Blogger news

Jumaat, 24 April 2015

Kemaafan Ramadhan (Bab 6)



KRING!!!!!

Sekarang bermulanya sesi rehat. Semua pelajar berpusu-pusu ke kantin. Almaklumlah, siapa cepat dia dapat semangkuk mi kari yang menjadi kegilaan murid-murid di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Balak. Kalau tidak, pilihlah apa yang ada. Namun diantara 350 jumlah murid disekolah itu, kelihatan seorang murid begitu muram dan tidak bersemangat seperti yang lain.

“Apalah nak buat sekarang ni?” Ramadhan sendiri tidak pasti apa yang ingin dilakukan pada waktu rehat. Hendak makan, duitnya tidak cukup. Hendak tidur, pelajar tidak dibenarkan berada didalam kelas pada waktu rehat. Hendak berbual, Rabiah sudah tiada disini.

“Ishhh, tak habis-habis pasal Rabi. Adan, Rabi dah duduk KL dah. Bawak-bawaklah terima hakikat weyh” Ramadhan bermonolog didalam hatinya. Memang benar, dia dan Rabiah memang umpama belangkas. Ke mana Ramadhan pergi, Rabiah pasti akan mengekori. Sekiranya Ramadhan tidak mempunyai sebarang aktiviti pada waktu itu, Rabiah pasti dicarinya untuk diajak berbual.

Di perpustakaan, Ramadhan sendiri tidak pasti akan genre buku apa yang ingin dibacanya. Diperginya setiap satu persatu rak buku, melihat jika ada buku yang mampu menarik perhatiannya. Jika.

“hurmmm…” satu dengusan panjang dikeluarkan. Hampa melihat koleksi buku yang ada, seakan semua buku sudah dibacanya.

Ramadhan segera mendapatkan kerusi yang terletak di sudut perpustakaan tersebut. Mengadap jendela, dia memandang lambaian dahan pokok yang ditiup angin dan burung-burung yang singgah di dahan. Berehat.

Sebenarnya, Ramadhan masih tidak mampu membuang bayangan Rabiah dari benaknya. Cubalah apapun untuk mengalih perhatiannya, namun ternyata Rabiah seolah-olah masih menari-nari di mindanya. Apalah yang mampu dia lakukan pada saat ini? Bukannya dia ada kawan yang lain. Tidak semua murid-murid di sekolah itu yang mampu menerima dirinya sebagai anak luar nikah. Dia sedar siapa dirinya untuk bersosial dengan budak sebayanya. Baru sahaja dia mencuba untuk berkawan, sudah dicemuh murid-murid disekeliling. Bagi mereka, Ramadhan anak haram, tidak layak dan tak sama taraf untuk berkawan dengan mereka. Hairan Ramadhan memikirkan dari manalah budak-budak ni belajar untuk berperangai sedemkian?

Nampaknya, sepanjang hari Ramadhan tidak memberikan fokus sepenuhnya.  Sepanjang hari dan berhari-hari baginya serupa. Dia seakan tidak mampu memberikan perhatian pada perkara-perkara 
lain. Semenjak hilangnya Rabiah, Ramadhan banyak menghabiskan masa bersendirian di tepi pantai. Merenung setiap hempasan air di pesisir agar memberikannya ilham untuk meneruskan kehidupan dan merasakan tiupan bayu laut untuk menyampaikan salam rindunya pada Rabiah.

“Rabiah, baliklah kampung. Aku rindukan kau” pinta anak muda itu disudut hatinya. Kosong hatinya tiada berteman. Hendak diadu pun, pada siapa? Harapkan ibunya, alamat dimaki-makilah jawabnya. Hendak ditanya khabar pada Mak Jah, takut terusik hati wanita itu. Dia tahu yang Mak Jah juga dilanda perasaan rindu sepertinya.

“Apa kata aku jumpa Ustaz Syah? Dia mesti faham” sejenak dia teringat pada Ustaz Syah kesayangannya.

“Assalammualaikum, Ramadhan. Apa kamu renung lagi tu?” sapa Ustaz Syah dari belakangnya.
Bagaikan tidak percaya. Baru saja disebut-sebut orangnya, tak sangka sudah siap standby dibelakangnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui hati hamba-hambaNya. Itulah yang terfikir difirasat Ramadhan.

“eh, Ustaz. Waalaikummusalam. Tak perasan saya ustaz ada kat belakang saya tadi. Ustaz buat apa kat sini?” Ramadhan masih sedikit kaget. Namun, dia segera bersalam dengan Ustaz Syah.

“aik, dia tanya balik soalan yang sama. Kamu tu, ada apa renung pantai tu dalam-dalam?” usik Ustaz Syah. Dia cuba untuk memahami anak muridnya.

“takde apala ustaz. Saja je duduk sini. Jemputlah duduk ustaz,” pelawa Ramadhan.
perkara yang sama seperti Ramadhan; merenung pantai. Lalu, Ustaz Syah bertanya;

“kamu teringat seseorang ke?”

“takdela ustaz,” Ramadhan membidas.

“ingat makwe?” usik Ustaz Syah.

“ishh, ke situ pulak. Hahahaha” ketawa Ramadhan mendengar pertanyaan itu. Dia tahu, Ustaz Syah cuma melawak sahaja.

“Sabarlah, nanti adalah khabar dari Rabiah,” kata Ustaz Syah. Tersentak Ramadhan apabila nama Rabiah disebut. Tidak menyangka ustaz kesayangannya itu mampu membaca isi hatinya.
Ramadhan memandang tepat ke arah mata Ustaz Syah. Masih memandang pada lautan, Ustaz Syah meneruskan kata-katanya;

“kamu lihat pada lautan tu.” Tunjuk Ustaz Syah pada Ramadhan.

“Apa yang kamu nampak?” tanya Ustaz Syah pada Ramadhan. Dia cuba mengakali Ramadhan.

“saya nampak lautan, burung-burung laut, awan, langit, matahari,” jawab Ramadhan tidak mengerti akan maksud soalan itu.

“Cuba kamu lihat pada burung-burung laut tu. Ramadhan, sejauh mana pun burung itu berterbangkan ke serata dunia, ia tetap akan pulang ke sini. Lihat pula pada lautan, biar mana besar pun lautan tu, pada pantai juga dia setia menghempas. Pada pantai jugalah lautan itu kembali. Begitu juga Rabiah. Biar jauh mana pun dia berada, InsyAllah pasti Rabiah akan kembali. Kamu bersabarlah,” pujuk Ustaz Syah. Sungguh tidak menyangka Ustaz Syah mampu memberikan kata-kata sedemikian rupa. Ramadhan hanya mampu mengiyakan segala kata-kata Ustaz Syah.

*          *          *
Lautan adalah misteri. Kedalamannya sukar dijangka, isinya adalah khazanah yang tidak terkira banyaknya, luasnya pula meliputi 2/3 bumi ini. Terlalu luas nikmat Allah. Lalu, nikmat Allah mana yang kau mahu dustakan?

Rabiah terpesona melihat sekumpulan ikan berenang-renang di akuarium besar itu. Pertama kalinya dia menjejak kaki di Aquaria, KLCC. Sebelum ini, dia cuma mendengar Aquaria dari kaca televisyen. Tidak terjangka ibunya ingin membawanya berjalan-jalan dan dibawanya ke Aquaria.
“Kalau Adan nampak ni, mesti dia suka,” Rabiah berbisik sendirian. Dia ingat benar kegemaran Ramadhan. Hampir setiap hari, Ramadhan akan datang ke rumah Mak Jah untuk menonton rancangan National Geographic pada pukul 2 petang bersama Rabiah.

Panorama laut ciptaan disekelilingnya benar-benar menghanyutkan Rabiah pada suatu dunia yang asing. Memori, impian, ilusi segalanya bercampur baur. Tidak sedikit pun dia terkejut melihat lintasan ikan jerung dihadapannya. Didalam hatinya, terwujud satu cita-cita yang jarang didengar; ahli sains marin.

“budak kampung…” suatu suara halus menghentikan lamunan imaginasi Rabiah. Rabiah menoleh kiri dan kanan. Terlihat di belakangnya 4 orang budak perempuan lebih kurang sebayanya saling tergelak dan menjeling sinis ke arahnya. Mereka berlalu pergi.

Baru Rabiah sedar, kata-kata tersebut ditujukan padanya. Rabiah hanya cuma memandang mereka. Sedikit dihatinya tidak terusik dengan sindiran. Bekas ajaran Mak Jah; jangan mudah sombong dan bangga diri masih diingati hingga ke hari ini. Biarpun Rabiah cuma gadis cilik kampung berbaju kurung, namun tak luntur semangatnya pada gadis kota yang tiada adab sopan. Rabiah tersenyum bangga dengan peribadinya.

“Seronok anak mama jalan-jalan yek,” Datin Sharrina menyapa anaknya. Rabiah memandang ibunya dan mengangguk tanda setuju. Sudah lama mereka tidak keluar bersama-sama. Nasib baik bapa tirinya tidak ikut serta. Kalau tidak, hilang mood agaknya.

“Mama, nanti ada masa, mama kan. Apa kata kita bawak nenek sekali? Nenek mesti suka tengok ikan-ikan ni, mama,” Rabiah memberikan cadangan pada ibunya. Datin Sharrina tersenyum kelat mendengar cadangan Rabiah itu. Dia membalas;

“Nanti kita bawa nenek yek sayang,” balas Datin Sharrina sekadar menyenangkan hati anaknya. Dia tahu sejak perkahwinan dia dan Haikal, Mak Jah seakan-akan merajuk dengannya. Diajak tinggal bersama pun ditolak mentah-mentah oleh Mak Jah.

Mereka berdua pergi ke kedai cenderamata di Aquaria. Datin Sharrina ingin membelikan Rabiah anak patung berupa ikan lumba-lumba. Rabiah begitu menyukainya. Sudah lama dia tidak mendapat hadiah dari ibunya. Inilah masa dan peluang untuk bermanja dengan ibunya setelah sekian lama. Tiba-tiba, Rabiah ternampak kepingan poskad berillustrasikan lautan dan hidupan marin. Dia 
mengambil sekeping dan menyerahkan pada ibunya;

“mama, boleh tak Rabi nak ni?” soal Rabiah.

“Sayang nak buat apa dengan poskad ni? Sayang nak bagi kat siapa?”, Datin Sharrina sedikit pelik dengan permintaan anaknya.

“Rabi nak bagi kata Adan, dia suka tengok laut..” belum sempat Rabiah menghabiskan kata-katanya, Datin Sharrina mencelah;

“tak payah beli apa-apa untuk budak tu. Membazir jek. Tak boleh!” tegas Datin Sharrina. Moodnya serta merta berubah mendengar nama Ramadhan. Reaksi Rabiah sama sekali terkejut melihat perubahan sikap ibunya yang mendadak.

Di dalam kereta, suasana menjadi suram. Rabiah tidak tahu bagimana untuk menyapa ibunya setelah apa yang berlaku. Dia sama sekali tidak menyangka akan apa yang terjadi. Kini, dia terpaksa membisu mengharapkan ibunya memulakan perbualan dulu.

Datin Sharrina pula menjadi serba salah tentang apa yang terjadi. Dia tidak berniat untuk menengking Rabiah di Kedai Cenderamata Aquaria tadi. Tindakan spontan tadi berlaku hanyalah kerana satu nama yang tidak disukainya: Ramadhan. Anak haram itu tidak sedarjat dan tidak sepatutnya berkawan dengan Rabiah. Takut-takut tempias “sial” akan melekat pada Rabiah.   

Dia sama sekali tidak menyukai Rabiah berkawan dengan Ramadhan. 

Rabu, 22 April 2015

Kemaafan Ramadhan (Bab 5)


Di jendela sebuah banglo di Taman Jaya, seorang gadis kecil termenung jauh. Sesekali dia menyeka air mata yang tiba-tiba mengalir. Ingatannya pada Mak Jah, Ustaz Shah, Ramadhan, basikal tua selalu ditunggangnya, desiran pantai yang menghempas, gelak tawa bersama rakan sekelas. Rabiah terpaksa akur dengan pujukan neneknya. Kini, dia di sebuah bandar yang asing. Rumah yang terletak ditengah hutan konkrit Kuala Lumpur kini menjadi tempat baru baginya. Meskipun dia berada dirumahnya, namun kenangan terhadap di rumah itu teramat sedikit. Seingatnya, kali terakhir dia dirumah banglo itu ketika dia berusia 3 tahun. Apalah memori yang dapat diingat pada umur 3 tahun?

Sesekali dia membelek satu album lama yang hampir berhabuk. Rabiah terpandang satu gambar lama keluarganya. Gambar dimana Rabiah masih bayi, didukung oleh arwah ayahnya dan sisinya ada Datin Sharrina, ibunya. Hampir dia terlupa akan rupa arwah ayahnya. Manakala, rupa ibunya dulu kelihatan jauh lebih jelita dari sekarang yang tak lebih dari kesan mekap berlebihan untuk menutup kesan kedutan. Ternyata Rabiah hampir terlupa, dia juga mempunyai sebuah keluarga bahagia suatu ketika dahulu.

“ehh, kenapa tak tidur lagi? Esokkan nak mula dah sekolah?” sapa lembut Datin  Sharrina. Rabiah sedikit terkaget, tidak menyedari ibunya membuka pintu biliknya.

“Apa anak mama tengok tu?” Datin Sharrina tertanya apakah yang membuat anaknya terleka sehingga tidak menyedari kehadiran seketika tadi.

“takde ada apa ibu. Rabi terjumpa ni,” Rabiah menunjukkan album lama itu.
Datin Sharrina menyambut album lama itu dari anaknya, lalu dibelek setiap halaman satu-persatu. Terimbas kembali segala kenangan lamanya bersama arwah suaminya lima tahun yang lalu. Dahulu, dia, Rabiah dan arwah suaminya saling melengkapi sebagai satu keluarga. Namun apakan daya, sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kehilangan arwah suaminya akibat barah meretakkan segala impian bahagia dia. Kini, dia sendiri bersama Rabiah. Nak harapkan Haikal, ternyata bagai langit dan bumi kalau nak dibandingkan dengan arwah suaminya. Dia menikahi Haikal pun kerana sangkanya Haikal mampu memberinya cinta kedua, tapi ternyata hampa.

“Mama..”Rabiah menyedarkan ibunya dari lamunan.

“Mama tak apa-apa ke? Kenapa mama senyap?” Tanya Rabiah kehairanan melihat gelagat ibunya.

“Takde apa-apa Rabi. Rabi simpanlah album ni elok-elok. Dahlah, sayang tidur yek. Esok mama nak daftar Rabi kat sekolah baru. Nanti Rabi ada kawan-kawan baru. Rabi tidur yek, sayang”, kata Datin Sharrina lembut. Selepas itu, dia mengucup dahi Rabiah dan meyelimutnya selepas itu. Album lama tadi diletakkan diatas meja tulis. Beransur dia keluar dari bilik tidur anaknya, dia melihat sekali lagi Rabiah sebelum merapatkan pintu. Sebaik pintu bilik ditutup, satu keluhan dilepaskan oleh Datin Rabiah. Dia sangkakan Rabiah masih bersedih dan tidak dapat menyesuaikan diri. Ini adalah kali pertama Rabiah pulang ke rumah semenjak kematian bapanya dan juga kali pertama Rabiah akan tinggal bersama-sama dengan bapa tirinya. Sebelum ini, Rabiah tidak berpeluang untuk lebih mengenali Haikal. Biarpun sudah hampir 3 tahun usia perkahwinan Datin Sharrina dan Haikal, tetapi mereka jarang meluangkan masa bersama-sama dengan Rabiah. Jikalau balik ke kampung pun, hanya pada cuti hari raya sahaja. Itupun cuma 2, 3 hari sahaja sementelah Haikal selalu memaksa Datin Sharrina untuk pulang awal.

“Hah, mana pulak laki aku ni? Senyap jek,” teringat pulak dia akan suaminya. Selalunya bagi Datin Sharrina, Haikal pasti akan berada di depan televisyen untuk menonton Liga Inggeris pada waktu ini.
Perlahan-lahan dia berjalan ke arah bilik tidur utama. Pintu bilik dibuka.

“kat sini rupanya,” keluh Datin Sharrina melihat Haikal sudahpun tidur diatas katil. Pada mulanya, dia berhajat ingin menyambung perbincangan bersama Haikal mengenai Rabiah yang tertangguh semalam. Sedikit kesal di hati Datin Sharrina memikirkan semalam tingkah Haikal yang acuh tak acuh apabila diajukan isu mengenai Rabiah.

“Biarpun Rabiah bukan anak kandung kau, tapi segala tanggungan dah jatuh pada kau sebagai bapa tiri,” Datin Sharrina monolog di dalam hatinya. Kesal memikirkan sikap Haikal yang seakan-akan ingin lepas tangan dalam soal tanggungjawab terhadap Rabiah. Malas memikirkan karenah suaminya, Datin Sharrina terus menuju ke katil dan menarik comforter menutup badannya. Dia ingin segera melelapkan mata dan berhenti untuk memikirkan soal dunia yang tak sudah.  

*          *          *

“alah, sayang. I rindula kat you. Bilala kita nak jumpa lagi?” demikianlah mesej whatssapp yang diterima oleh Haikal. Tersenyum simpul dia dibuatnya. Fikirnya jerat sudah mengena. Memikirkan Aliza, pembantu peribadi isterinya sendiri bermain cinta dengannya.

“hurmm, betina ni. Tak puas lagi ke? Esok jela aku layan kau,” sinis Haikal didalam hati. Dia ingin membuat perempuan simpanannya itu tertunggu-tunggu dan seterusnya kemaruk dirinya. Inilah diantara skill yang pernah dibuat Haikal pada skandal-skandalnya yang lain.

Opss silap. Tiada istilah cinta dihati Haikal. Dia ingin bermain nafsu dan menajamkan skill mata keranjangnya dengan memikat sesiapa yang dia suka. Dulu baginya, memperisterikan Datin Sharrina adalah satu kejayaan besar. Sekarang tidak lagi. Dia masih tidak puas bermain nafsu. Segala wanita jelita ingin didakapnya dan pastinya semudah ABC untuk mendapat segalanya sementelah menikahi Datin Sharrina. Wang ringgit langsung tidak menjadi isu apabila ditaja segalanya. Datin Sharrina sama sekali tidak mengetahui segala tindak tanduk curang Haikal dibelakangnya.

BEEPP…BEPPP…..sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi, tanda mesej baru saja masuk.
“Hai, sayang!!!  Let’s shopping tomorrow! Bukan ke you ada janji dengan I nak belikan new Gucci dress?” kata mesej tersebut. Kali ini, bukan dari Aliza. Tapi dari skandalnya yang lain, Sarah.
Haikal memikirkan sesuatu dan lalu membalas mesej tersebut;

I tak lupa, sayang. I’m always waiting to date with you, baby. Esok, I akan datang ambil you” balas Haikal. Sepintas lagi handphonenya berbunyi;

auww, sweet. I love you baby. Muahhh” balas mesej tersebut bersama emoticon beruang comel dan simbol hati. Selesai membaca, handphonenya menerima mesej sekali lagi;

“ok. I nak tidur dulu, sayang. I love you” bunyi mesej terakhir itu. Haikal segera membalas;

“ok. Sweet dream baby. Love you too”.

Puas di hati Haikal dapat mempermainkan perasaan wanita-wanita tersebut. Dia merasakan dirinya adalah lelaki buruan wanita yang takkan henti digilai sesiapa sahaja. Berbekalkan wajah yang kacak dan gaya lelaki urban, dia merasakan dirinya bebas dan mampu untuk menggoda sesiapa sahaja di dunia ini. Bukan sahaja wanita, malahan ada juga sesetengah lelaki juga yang juga ter”pesong” melihat dirinya. Kini terasa dirinya lengkap segala-galanya; duit, perempuan, kereta mewah, kekacakkan, pangkat dan harta. Lengkap segalanya untuk melayakkan diri digelar KASANOVA.

Tiba-tiba pintu bilik terbuka. Seakan panik, Haikal terus berpura-pura melelapkan mata sambil handphonenya disorokkan dibawah bantal. Dia tahu siapa yang memasuki bilik itu;

“sampai dah perempuan tua ni. Kacau betul!” getus Haikal dalam hati. 

Datin Sharrina berdiri belakang badannya yang tidur mengiring. Haikal tahu yang Datin Sharrina masih memerhatinya dari belakang.

“isshh, perempuan tua ni. Apa kau nak? Tak puas pasal semalam la tu. Kecoh sangat pasal budak kampung tu.” Haikal tahu yang Datin Sharrina masih ingin berbincang mengenai anaknya. Dia tak mahu pun ambil kisah mengenai anak tirinya, malahan menganggap Rabiah sebagai satu ancaman pada rancangan “besar”nya.

Agak lama Datin Sharrina berdiri dibelakangnya, barulah Datin Sharrina baring di sebelah dan tidur. Pada yang sama, Haikal juga merasakan dirinya juga memerlukan rehat dan keesokkan hari juga dia harus ke pejabat dan berdating dengan Sarah. 

Selasa, 21 April 2015

September

Untuk kami,
Untuk September,
Kami adalah anak seni di alam mimpi

Kami pemimpi,
Untuk kisah fantasi,
Ajnas dari realiti, kesempurnaan.

Kami adalah biru,
Seperti saphirre dan lautan,
Kasih kami sedalam jurang marina,
Tersimpan rahsia yang tak teungkap
Tak tercapai dek akalmu

Mentari adalah ilham kami,
Jadi sinar untuk setiap harapan,
Jadi harapan untuk setiap kemungkinan,
Jadi kemungkinan untuk setiap masa depan.

Untuk kami, September.

Jumaat, 23 Januari 2015

Resipi Orang Bujang: Oreo Cheese Cake



Assalammualaikum, semua. Lama PL tak update pasal Resipi Orang Bujang ni. Almaklumla sejak dah berpindah duk kampung ni, nak masak pun ikut selera mak abah. Tak nak bereksperimen sangat. Tapi baru-baru ni, kakak PL tiba-tiba mengidam nak makan kek oreo cheese yang dulu pernah PL buat, katanya. PL pulak kebetulan semenjak dah duk  kampung ni memang rindu sangat-sangat nak makan kek macam duk kat Putrajaya dulu. So, berkat permintaan kakak ni PL akan kongsikan pada kalian bagaimana nak buat kek Oreo Cheese yang mudah, tak perlu nak bakar pun. Cuma, kena sejuk bekukan & paling best, korang akan dapat tekstur tak ubah macam kek aiskrim cheese. Sangat sesuai untuk dimakan kala nak masuk musim panas/kemarau ni.

Bahan-Bahan:


Oreo (2 bungkus. Kalau kat kedai bahan-bahan kek, ada jual ready-made crumble oreo. Lagi senang.)
Cream Cheese (satu paket yang macam dalam gambar ni 250g)
Yogurt (perisa Plain. satu cup kecil dah cukup)
Whipping Cream (kotak kecil: 200g)
Butter (Pakai 1/3 jek. Tak perlu banyak.)
Gula Aising (100g. Kalau takde, boleh blend/kisar gula kasar sampaila jadi halus. Jadila gula aising. hehe)
Esen Vanilla 
Gelatin (ambil 2 sudu & larutkan dalam air panas.)

Cara-cara:


1. Buka 2 paket oreo. Asingkan krim dari biskutnya. Jangan dibuang krimnya. Sementara itu, cairkan butter dengan api perlahan. Pastikan tidak hangus.


2. Bahagikan biskut oreo yang diasingkan krim tadi kepada 2 bahagian. Satu bahagian dikisar menjadi serbuk halus yang akan dicampurkan dalam krim keju, manakala lagi satu bahagian pula dihancurkan menjadi serbuk kasar untuk dijadikan tapak/base.


3. Serbuk kasar yang dihancurkan tadi digaulkan dengan butter yang dicarikan. Adunkan sebati. Setelah itu, masukkan adunan biskut tadi kedalam acuan/bekas kek dan mampatkan untuk dijadikan lapisan tapak kek. Namun, jangan terlalu mampat untuk mengelakkan tapak menjadi terlalu keras apabila dibekukan. Setelah selesai, masukkan acuan kedalam peti sejuk untuk mengeraskan tapak kek sebelum krim keju akan dilapiskan diatas.


5. Untuk menyediakan topping/lapisan keju diatas, pukul krim keju dengan kelajuan serdahana sehingga kembang. Kemudian, masukkan pula Whipping Cream dan Krim Biskut yang diasingkan tadi. Pukul dengan kelajuan serdahana sehingga sebati.


6. Masukkan pula Yogurt dan Gula Aising. Pukul sebentar. Masukkan pula gelatin yang dilarutkan ke dalam acuan krim. Pukul sehingga sebati. Selepas itu, masukkan serbuk halus oreo yang dikisar & pukul adunan sehingga sebati adunan.


7. Keluarkan bekas adunan yang disejukkan dalam peti sejuk tadi. Tuangkan adunan krim keju tadi ke atas tapak kek dan ratakan. Setelah itu, masukkan acuan kek yang berisi adunan krim keju dan tapak kek tadi ke dalam bahagian sejuk beku. Bekukan selama semalaman atau sampai tekstur krim kejunya sudah menjadi keras seperti aiskrim.


Macam mana? Seronok tak? Senang bukan nak buat kek oreo cheese ni? Tak perlu nak bakar masuk oven bagai, even bagi PL pun budak-budak pun boleh belajar buat kek ni sendiri. Tapi, ok course la mak bapak kena pantau anak-anak ni. Apapun, selamat mencuba yek!! Kalau ada sapa-sapa dah try buat, jangan lupa boleh postkan kat PL untuk rasa ke? hahahaha. Anyway, happy cooking!

Rabu, 14 Januari 2015

Kita

Assalammualaikum, semua. Hari ni agak cerah & berangin kat Melaka. PL amati semuanya berjalan lancar, dari trafik hinggalah bilangan pesakit yang datang ke Klinik Kesihatan Tengkera. Semuanya normal. Tiada kelam kabut. Alhamdulillah, aman.

Nampaknya, malam ni seperti biasa. PL akan jadi super-blur, boring dan sewaktunya. biasanya PL akan tidur awal, tapi memandangkan ada tugasan untuk menjahit seluar sekolah adik yang terlalu panjang kaki, jadi terpaksala niat tu ditahan. Tapi, mood menjahit pulak takde. Puaslah PL berguling bagai diatas katil, lagu raya dimainkan untuk membangkit nuansa entah apa-apa, laman Facebook discroll berulang kali mengharap cerita dan update sensasi. namun, hampeh. Lantas, Handphone dicapai dan nombor sekian-sekian dicari. Siapa lagi, BFF la!!

Mula-mula, try telefon yang sorang ni. tak angkat, off handphone agaknya. Cari pulak mangsa kedua. Teringat pulak BFF yang sorang ni, dak Fakhrul. Fakhrul ni BFF saya since kitorang darjah 5 lagi. lama woo. Alhamdulillah, kita best friend sampai sekarang. Banyak perkara kitorang kongsi, dari minat, sukan, taste awek, even kadang-kadang nasib kitorang pun serupa. senang cakap, senang sama-sama, susah tu pandai-pandaila ko handle sendiri, aku tolong mana yang patut jek. hahahaha.

Lama jugak kitorang berbual. Almaklumla, bukan selalu berjumpa. Baru-baru ni dia kabokan kat PL, katanya kalau murah rezeki(amin...) dia akan bekerja di Langkawi. Alhamdullilah beb, berhasil gak kesabaran dia selama ni. Aku pun selama ni jenuh jugakla memberi sokongan dengan nasihat kat dia supaya jangan give-up dengan cita-cita. Rezeki setiap orang tak sama, kenapa nak compare nasib sendiri dengan orang lain? Tapi, sekarang ni sama-samala berdoa untuk masa depan yang baik. InsyAllah, dapatlah kerja tu Fakhrul. Jangan risaulah. Kalau tak dapat, adolah bahagian untuk kau yang Allah S.W.T dah reserved untuk kau. tak gitu?

Lepas bercerita pasal kerja, kitorang bercerita pasal benda-benda lain. Alah, biasala kalau lelaki berbual. Kalau tak melawak lucah, cerita 18SX tak sah. Adola kisah sakat-menyakat, almaklumla dak Fakhrul ni sejak dah kerja part time ni kemain sensitif nau. tak boleh disakat langsung, emo jek. hahahaha. Jangan marah yek beb!
 
Sekarang ni, jangankan perempuan, kitorang yang lelaki ni pun pandai gak bergosip tadi. hahaha. maju betul kitorang kan? haha. Dari kisah tak puas hati kat tempat kerja, sampaila kisah pasal ex-awek masing-masing. Semua open table. Time nila, segala perasaan dendam kesumat yang tak jadi penumbuk tu terluah dalam handphone. Aku dengar luahan perasaan dia, dak Fakhrul pulak dengar keluh kesah aku. Nasib baik takde drama airmata tadi. 

pada fasa cooling down perbualan tadi, kitorang saja buat flashback & kenangkan banyak perkara masa lalu. Ada masa kitorang bergaduh, ada masa bila kitorang melepak sama-sama, kenangan zaman sekolah mengingatkan terlalu cepat masa berlalu bersama-sama kenangan yang tak mungkin dilupakan. kalau tak, masakan la kitorang boleh jadi BFF. kalau dulu, jarak aku dan fakhrul cuma kelas sebelah-menyebelah, tapi kini 230KM pula jadi penghalang. Namun, apa yang penting adalah kepercayaan, persahabatan dan kesetiaan tu yang penting. 

Sementelah kehilangan ramai orang yang disayangi, PL akui sukar untuk PL memilih untuk berjalan kehadapan. teringat sewaktu pemergian Arwah K'ekin(kakak), 2 minggu tidak ke sekolah akibat terlampau sedih. Tapi setelah ditampar oleh ustazah dan dipaku pula kata-kata yang tak mungkin PL lupakan, PL belajar untuk berdikari dan berlari melawan kesedihan. Kata-kata yang sama digunakan juga tatkala berhadapan situasi perpisahan. Kata-kata itu jugalah menggerakkan kaki PL ke hadapan.
Biarpun berapa banyak perpisahan yang telah PL alami, ternyata tamparan Ustazah sudah memberi kekebalan pada hati PL untuk melawan kesedihan. 

Pada Fakhrul, i'm just wanna said, how i'm proud of u. Soal dapat kerja atau tak tu tak penting bagi aku, tapi bila melihat kita sama-sama melangkah alam dewasa, sama-sama menyokong antara satu sama lain, susah senang bersama, it just make me wanna cry on your shoulder. kau tau beb, aku berasa bertuah coz kita dah berkawan hampir 14 tahun selepas macam-macam perkara berlaku. mustahilla kan kalau mana-mana perhubungan takde bergaduh. tapi, Alhamdulillah kitorang dapat atasi dengan baik. Cuma bila masa kita melangkah alam dewasa ni, aku faham dan sedar kalau lepas ni kita dah tak boleh huru-hara macam dulu lagi. kita mungkin tak akan jadi kawan seperti dulu lagi, sementelah kita masing-masing akan dihujani pelbagai tanggungjawab dimasa akan datang. Aku juga mengerti andai persahabatan kita akan terhenti bila kita membawa haluan masing-masing nanti. Sebab tu, aku tak risau kalau bil handphone aku melambung coz bagi aku kenangan ini lebih berharga dari duit. kenangan ini yang akan aku bawa sampai akhir hayat kalau kita sudah terpisah jauh membawa haluan. sebagai sahabat kau, sudah jadi tanggungjawab aku untuk menyokong kau,memberi kata-kata semangat dan juga merelakan andai suatu masa bila kau perlu meninggalkan aku untuk menuju ke arah kejayaan kau. Semestinya aku akan memeluk engkau dan ucapkan selamat maju jaya sambil melihat kau mengorak langkah ke puncak. itulah impian setiap sahabat. 

"Ko ni sengetla, Fakhrul" PL dan my BFF, Fakhrul..

Setelah satu jam berbual, PL rasa tiba masanya untuk menuliskan sebuah coretan untuk mengabdikan kenangan ini. Kala menaip, PL terfikir apakah perancangan PL pula untuk jalan masa depan sendiri? Sebenarnya PL sudah ada perancangan sendiri. Perancangan itu sendri sudah menyedarkan PL mengenai pelbagai kemungkinan untuk PL hadapi & salah satunya adalah hala tuju persahabatan PL dan Fakhrul. Sesungghnya, pada Allah S.W.T lah PL mengharapkan segala-galanya. Andai ada perpisahan, biarlah ia pengakhiran yang terbaik untuk kami berdua. Apapun, sudah PL sediakan hati ini terus mempercayai Rukun Iman ke Enam, Percaya pada Qada dan Qadar.....

Isnin, 5 Januari 2015

New Year Dilemma

Asslamammualaikum, semua. Happy new year 2015 PL ucapkan pada semua. kita semua tahu 2014 adalah tahun terburuk (mungkin) bagi Malaysia. Banyak sangat musibah berlaku; dari kes MH370 hilang, MH17 ditembak, musibah banjir terbesar dalam sejarah, nilai ringgit jatuh, dan terbaru pesawat AirAsia AK8510 terhempas pula. Sungguh kejadian yang tak disangka, apa yang PL boleh lakukan adalah mendoakan kesejahteraan dan bersabarlah terhadap segala yang terjadi.

Bila masuk 2015, apa yang selalu kita harapkan adalah permulaan baru, kehidupan baru, kisah baru, baru, baru, baru segalanya....

Tapi, adakah kita terfikir mampukah untuk kita mengorak perubahan dalam hidup kita? sudah kuatkah asas berdiri kita untuk kehadapan atau sebaliknya?

Pada awal tahun ini, seperti stereotaipnya lafaz azam tahun baru akan diucapkan. Catatlah segala macam impian dan harapan untuk dicapai pada sepanjang tahun ini. Namun, berapa lama bertahan semangat cita-cita tersebut?

Mungkin sampai pertengahan tahun, 2-3 bulan atau seminggu sahaja? atau sehari sahaja membara? 

Adakah PL mempersendakan mereka yang bercita-cita? Tidaklah PL bermaksud demikian.  Cuma, PL ternyata ingin berkongsi pendapat dan idea sejauh mana relevan berimpian di tahun baru? Berbaloi atau tidak?


Seperti kalian, PL juga sudah tentu memasang niat dan impian sepanjang tahun ini. Dari segala aspek kehidupan, kerjaya, hubungan, peribadi difikirkan. Almaklumlah, ketika itu semangatnya untuk membuka lembaran baru begitu membuak-buak. Masing-masing tidak mahu kalah. Alahai..

Tapi, apabila baru-baru ini PL dihimpit masalah kerjaya dan peribadi, ini membuatkan PL tertanya-tanya pada diri ini; you still gonna do it or not?

PL akui agak terkilan juga dengan ketidakcekalan diri ini untuk tegas pada impian. Mudah teranjak diduga angin kuat, belum ribut taufan lagi. PL terasa malu memikirkan bagaimana mudah diri ini beralah pada masalah & lebih memalukan pada diri ini yang bagai terlupa cita yang digarap panjang lebar 5 hari lepas. Aduhai~~~

Susah, susah...

Tapi, kehidupan mana yang tiada susah? You can't simply get what you want. Masih teringat cita- cita tahun lepas. Sedih memikirkan suku sahaja yang berjaya dicapai. Hahaha. Waktu tu baru PL realise yang PL sendiri making my life joke. Hahaha. Patutlah rasa F*** semacam. Asas PL berdiri untuk cita-cita pun tak betul, ada hati nak buat impian baru. Makin tak menjadila jawabnya...

Kita mudah menutur janji, tapi apa dengan menunaikannya? Termuhasabah PL sebentar. 

Mudah sangat bercita-cita, tapi mudah pula tersilap mengukur kemampuan sendiri. Jadi, bagaimana untuk mengubahnya?

Ada siapa-siapa mahu membantu?

Ahad, 13 Julai 2014

Resipi Orang Bujang: Garlic Chicken Grill with Mushroom




Assalammualaikum, semua. Semenjak menyertai fitness ni, PL belajar dan mula menyukai makanan-makanan berpanggang(grill) dan kukus(steam) untuk menjaga tahap lemak dan calori-intake seharian. Jadi untuk Resepi Orang Bujang kali ini, PL akan menunjukkan satu resipi panggang yang amat mudah dan lazat serta rendah kalori. Resipi Garlic Chicken ni sebenarnya PL belajar melalui buku masakan, tapi diolah cara masakan dan penggunaan bahan untuk mengurangkan kadar kalori dan melazatkan rasa dan aroma resipi ini dengan menambahkan elemen aroma cendawan dan herba. So, jadilah resipi Garlic Chicken Grill and Mushroom!!

Bahan-Bahan:


Ayam (terpulang pada bahagian kegemaran kalian. Kali ini, PL menggunakan whole leg)

Bawang Putih (satu labu, cincang. Jumlah bawang putih bergantung pada saiz ayam)
Cendawan Kering (bilangan terpulang pada kalian)
Daun Parsley/Daun Sup (boleh guna yang dalam botol. Kalau dapat yang segar, lagi bagus)
Marjerin (Kalau boleh, dapatkan mentega yang rendah kolesterol dan lemak tepu. Dalam resipi ini, PL menggunakan marjerin Planta kerana rendah kandungan lemak tepu dan  0% kolesterol. Selain itu, baunya agak wangi dan senang didapati di kedai.)

Air (untuk merebus cendawan)

Untuk resipi ini, PL mengesyorkan kalian menggunakan Pemanggang Ajaib (tak kisahlah mana-mana jenama pun) kerana sifatnya tidak melekat dan penutup yang rapat memudahkan ayam dipanggang sempurna(isi dalamnya masak dan lapisan luar tidak hangus).

Cara-cara:


1. Jerang air didalam periuk dan masukkan cendawan kering. Sementara itu, cincang selabu bawang putih dan ketepikan. Apabila cendawan sudah menjadi kembang, tos dan sejukkan. Jangan dibuang air rebusan cendawan kerana akan digunakan ketika memasak ayam.


2. Leburkan marjerin (sukatannya bergantung pada saiz ayam. Ketika ini, PL menggunakan 3 sudu besar marjerin). Kemudian, masukkan pula bawang putih yang sudah dicincang. Sautekan sehingga naik bau bawang putih. Sementara menunggu tumisan naik bau, bolehlah menghiris sebentar cendawan dan buang batangnya. Apabila naik bau, masukkan cendawan yang baru dihiris tadi kedalam bahan tumisan dan kacau. Elakkan bawang putih menjadi hangus. Apabila tumisan menjadi kering, masukkan air rebusan cendawan tadi. Kacau sehingga mengelegak.


3. Setelah mengelegak, masukkan ayam bersama daun parsley yang dihiris kecil. Rebus ayam sehingga suku masak (jangan sampai masak sepenuhnya). Selepas itu, tutup api dan sejukkan sebelum dipindahkan ke dalam bekas penyimpanan/perapan. Selepas ayam dipindahkan ke dalam bekas penyimpanan/perapan, perap ayam  bersama air rebusan dan cendawan selama 1-2 jam.


5. Setelah ayam siap diperap, bolehlah ayam dan cendawan dipanggang. Sentiasa perhatikan ayam agar tidak terlalu masak dan hangus (peruntukkan satu bahagian dipanggang selama 5-6 minit). Ketika memanggang, curahkan sedikit air rebusan ke atas ayam untuk mengelakkan lapisan luar terlalu garing.

6. Isi ayam yang dipanggang sempurna apabila isinya  bertukar putih sepenuhnya, tetapi lembut ketika memotong. Setelah ayam diyakini masak, hidangkan bersama hirisan cendawan yang di panggang bersama. Siap!!!


Begitulah resipi Garlic Chicken and Mushroom. Ayam yang dipanggang beraroma herba bawang putih dan daun parsley, serta cendawan yang enak mampu membuka selera. Siapa sangka hidangan ini rendah lemak tepu. Tanpa garam pulak tu. Sekian resepi sihat ini Selamat mencuba!!


Pages

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...